Tulisan saya ini hanya sedikit – sebanyak daripada
pendengaran dan pembacaan yang daripada sumber yang terbatas berkaitan “Nikah
Gantung”. Antara faktor kekurangan sumber adalah kerana “Nikah Gantung” tidak
dibincangkan secara khusus dalam bab yang khusus.
#Istilah : "Nikah Biasa" - (nikah yang
difahami masyarakat umum)
Pengenalan.
Perkahwinan adalah satu nikmat yang besar dan salah satu
tanda kebesaran Allah yang dianugerahkan kepada hamba-Nya. Ia juga merupakan
satu sunah para rasul dan nabi-nabi. Islam telah menjelaskan kepentingannya dan
telah menerangkan banyak kali tentang kesannya yang amat besar dalam al-Quran
dan hadis. Firman Allah s.w.t. :
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya
dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki),
isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup
mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih
sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang
berfikir.[ar-Rum : 21]
Hikmah pensyariatan perkahwinan dalam Islam.
1) Memenuhi keperluan fitrah manusia.
Allah s.w.t. menjadikan manusia mempunyai keinginan seksual.
Kaum lelaki berkeinginan terhadap kaum wanita dan begitulah sebaliknya.
Oleh sebab Islam adalah agama fitrah yang memenuhi tuntutan
dan mengatur segala urusan manusia, ia mensyariatkan perkahwinan bagi menyahut
seruan batin manusia dan menjadikan sebagai satu-satunya cara untuk melempiaskan
keinginan tersebut.
Bahkan, di dalam Islam, amalan membujang dan kerahiban
adalah diharamkan sama sekali sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis
Rasulullah s.a.w. :
Hadis Pertama.
Maksudnya : Nabi s.a.w. melarang seseorang membujang
kerana beribadat. (Riwayat at-Tirmizi)
Hadis Kedua.
Maksudnya : Rasulullah s.a.w. menolak hidup
membujang Uthman bin Maz’un kerana beribadat. Jika baginda membenarkannya,
sudah tentu kami mengkasikan diri kami. (Riwayat Muslim & at-Tirmizi)
2) Mengembangkan masyarakat Islam dengan keturunan yang soleh
dan generasi terdidik.
Islam mengajak umatnya meramaikan keturunan yang merupakan
antara matlamat untuk membentuk masyarakat yang digeruni kerana kehebatannya.
Ini bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w. :
Maksudnya : Kahwinilah wanita yang subur dan
penyayang, sesungguhnya aku berbangga dengan kamu sebagai umat yang ramai pada
hari kiamat. (Riwayat Abu Daud, al-Nasaie, Ahmad & Ibn Hibban)
Perkahwinan di dalam Islam juga bertujuan untuk
mengembangkan masyarakat kepada generasi anak-anak yang dilahirkan oleh ibu
bapa yang penyayang dan belas Ehsan serta berusaha mendidik akal dan
mengembangkan bakat mereka. Hal ini adalah lebih baik daripada anak-anak yang
lahirnya di ceruk-ceruk yang tersembunyi dan gelap, yang merupakan mangsa
keruntuhan nafsu serakah zina.
3) Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketemteraman rohani.
Perkahwinan yang menurut syarak dan terhormat akan
menghasilkan ketenangan dan ketenteraman dalam diri (Mawaddah, Rahmat dan
Sakinah). Firman Allah s.w.t.
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai
kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati
dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri)
perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang
yang berfikir.[ar-Rum : 21]
As-Syahid Syed Qutb r.hm menyebut “Penjelasan al-Quran yang
lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan ini dengan gambaran
yang amat menarik, seolah-olah gambaran ini diambil dari lubuk hati dan
perasaan: “Supaya kamu tenang tenteram bersamanya dan Dia jadikan di antara
kamu rasa kemesraan dan kasih sayang”.
Firman Allah s.w.t. :
Maksudnya : Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu
pun adalah pakaian bagi mereka. [al-Baqarah : 187]
Ayat ini menatijahkan bahawa suami isteri sebagai pakaian
bagi pasangan masing-masing kerana mereka saling melindungi, keperluan suami terhadap
isteri dan isteri terhadap suami adalah seperti mana keperluan mereka kepada
pakaian.
Jika pakaian menutup keaiban tubuh badan dan menjaga
daripada kesakitan, suami isteri pula akan menjaga kemuliaan pasangannya,
memelihara kehormatan dan memberi kerehatan serta ketenteraman.
4) Memelihara daripada kemerosotan dan keruntuhan akhlak.
Syeikh Abdullah Naseh Ulwan menyebut di dalam kitabnya
Tarbiyatul Aulad : “ Dalam perkahwinan, masyarakat akan terselamat daripada
keruntuhan akhlak, individu aan terpelihara daripada perpecahan masyarakat,.
Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita bahawa setiap orang mempunyai
kefahaman serta akal fikiran. Apabila nafsu seks dipuaskan dengan sistem
perkahwinan yang ditentukan oleh syariat dan perhubungan yang halal, kita pasti
melihat suatu umat yang mempunyai sifat-sifat terpuji serta akhlak yang mulia.
Amat sesuai untuk menjalankan tugasnya serta memikul tanggungjawabnya,
sebagaimana yang diminta oleh Allah s.w.t. darinya.”
5) Mengembangkan institusi kekeluargaan dan mengeratkan semana
bekerjasama.
Melalui perkahwinan, akan meluaskan hubungan kekeluargaan
dua buah keluarga akan bertemu dan bersatu serta membentuk ikatan kekeluargaan
baru yang saling menyayangi, hasil daripada pembentukan baru tersebut.
“Suami isteri akan saing bekerjasama, isteri akan
membantu suaminya, seperti menguruskan makan, minum, pakaian, tempat tinggal,
mendidik anak-anak serta menjaga rumah tangga. Suami pula memenuhi keperluan
isteri, seperti memberi nafaqah, melindungi memelihara dan menjaga maruahnya.”
Secaranya ringkasnya, kelima-lima perkara yang telah
digariskan di atas merupakan tujuan/hikmah sesebuah perkahwinan. Oleh itu,
matlamat sebuah perkahwinan adalah mencapai perkara-perkara yang telah
digariskan di atas.
Gambar Hiasan.
Pengertian Nikah.
Nikah dari segi bahasa ialah dakap dan bertaut. Oleh itu,
apabila dikatakan pokok-pokok itu bernikah, ia
bermaksud bertaut antara satu
sama lain.
Dari sudu syara’ pula, nikah ialah akad yang mengharuskan
hubungan suami isteri yang dibenarkan oleh syara’.
Ia diistilahkan sedemikian kerana nikah mengikat dan
merapatkan hubungan individu. Orang arab menggunakan lafaz nikah dengan maksud
bermesra dan bersetubuh.
Namun, makna nikah yang dihendaki sebenarnya ialah akad,
manakala penggunaannya dengan makna persetubuhan itu adalah secara kiasan.
Al-Quran apabila menggunakan perkataan nikah tidak semata-mata mengisyaratkan
kepada persetubuhan, bahkan ia merangkumi sebuah akad perkahwinan. Sebagaimana
firman Allah s.w.t. :
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu
menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebeum
kamu mencampuri nya, maka sekali-kali tidak wajib atas mereka bagimu yang kamu
minta menyempurnakannya. [al-Ahzab : 49]
Maksud kahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman adalah
akad nikah dengan mereka. Hal ini berdasarkan maksud ayat: “Kemudian, kamu
ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya,” iaitu menyetubuhinya.
Berbezakah "Nikah Gantung" dan Nikah(yang
difahami masyarakat umum)
Pertamanya, istilah "nikah gantung" yang agak
popular akhir-akhir ini adalah merupakan satu istilah yang berbentuk 'Uruf
setempat. asal bagi sebuah akad pernikahan adalah suami isteri akan tinggal
bersama, suami wajib menanggung nafkah isteri (keluarga) dan segala hal-ehwal
isteri adalah dibawah tanggungjawab suami.
Dari sudut akad. Akad "nikah gantung" tiada
perbezaan dengan akad nikah yang biasa diamalkan oleh masyarakat umum, dari
sudut rukun, "nikah gantung" juga perlu memenuhi 5 rukun.
S - Suami.
I - Isteri.
S - Saksi.
W- Wali.
A - Akad.
Namun, selepas akad, yang membezakan antara
"nikah gantung" dan nikah biasa adalah, apabila selesai akad,
pasangan yang bersetuju untuk menjalani "nikah gantung", mereka akan
tinggal berasingan dalam satu tempoh masa yang telah dipersetujui oleh
kedua-dua belah pihak. Dan ketika masih tidak lagi tidak bersama, suami tidak
perlu menanggung apa-apa nafkah keatas isteri.
Bilakah suami wajib menanggung nafkah isteri?
Syeikh Sayyid Sabiq r.hm didalam Fiqh Sunnah menggariskan 5
syarat yang mewajibkan seorang suami menanggung nafkah keatas isterinya :
1) Akad Nikah yang sahih.
2) Isteri telah menyerahkan dirinya kepada suaminya.
3) Isteri telah membenarkan dan mengizinkan kepada suaminya
untuk menikmati dirinya.
4) Isteri sedia berpindah ke mana sahaja tempat yang
dikehendaki oleh suaminya.
5) Kedua-dua suami isteri masih mampu melaksanakan kewajipan
sebagai suami isteri (Istimta') iaitu
hubungan kelamin.
Dimana sandaran "Nikah Gantung" ?
Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.ha
Sebahagian yang menyebut berkaitan 'Nikah Gantung",
mereka menyandarkan perkara ini kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Bukhari r.hm didalam kitabnya dibawah bab perkahwinan Nabi s.a.w. dengan Aisyah
r.ha.
Yang mana, didalam hadis tersebut Saidatina Aisyah r.ha
menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah berkahwin dengannya ketika usianya 6
tahun ketika mereka berada di Makkah, dan Nabi s.a.w. telah bersama dengannya
ketika usianya 9 tahun dan pada masa itu mereka telah berhijrah ke Madinah.
"Setelah memperolehi kemenangan yang gemilang dalam
perang badar, kaum muslimin menyaksikan sambutan majlis perkahwinan Rasulullah
s.a.w. dan Aisyah. Majlis ini berlangsung pada bulan syawal tahun ke-2 hijrah.
Pengantin perempuan kemudiannya diiringi ke rumah Nabi s.a.w.". (Petikan
buku : Aisyah yang cerdas & dicintai, Ahmad Ibnu Salim Baduwilan)
*Penjelasan Dr Abdul Basit Abdul Rahman h.zh (Abu Anas)
berkaitan perkahwinan Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.ha.
Syeikh Sayyid Sabiq r.hm menyebut : "Sesungguhnya Nabi
s.a.w. berkahwin dengan Aisyah r.ha dan menggaulinya selepas 2 tahun (selepas
akad nikah), dan ketika 2 tahun itu, Nabi s.a.w. tidak menanggung sebarang
nafkah sehinggalah mereka bersama dan Nabi s.a.w tidak menggantikan apa yang
nafkah yang gugur ketika 2 tahun (Yang berlalu)
tersebut".
Bersandarkan kepada hadis perkahwinan Rasulullah s.a.w. dan
Aisyah r.ha, maka muncullah pendapat yang mengharuskan "nikah
gantung" dengan syarat, perkara itu perlulah dipersetujui oleh kedua-dua
belah pihak - Suami Isteri-.
Faktor kewujudan "Nikah Gantung" pada masa
kini.
Jika dinilai pada hadis Rasulullah s.a.w. berkahwin dengan
Aisyah r.ha pada usia 6 tahun dan bersama ketika usia 9 tahun, boleh dikatakan
faktor berlaku penangguhan tinggal bersama itu atas dasar usia. Namun, pada
hari ini, jarang didengari dalam masyarakat bahawa wujud pasangan yang
berkahwin pada usia terlalu muda atau dalam bahasa lain, usia yang belum
matang.
Hari ini, perbicangan "nikah gantung" lebih
berbalik kepada keadaan persekitaran masyarakat dan gaya pandang masyarakat
terhadap cinta dan kahwin. Kalau dulu, ibu bapa sukakan anak-anak mereka
dipermudahkan urusan perkahwinan, tiada syarat
yang ketat, tiada mahar yang mahal tiada pula karenah birokrasi yang menyusahkan
proses perkahwinan.
Akan tetapi, bilamana masyarakat mula memandang bahawa
perkahwinan sesuatu yang susah dan payah (Tidak dinafikan tanggungjawab dalam
sebuah perkahwinan adalah suatu perkara yang besar dan amanah yang akan
disoal), maka proses menuju gerbang perkahwinan juga disusah-susahkan.
2-3 tahun bertunang sebabnya, belum tamat belajar, belum
bekerja, belum ada pendapatan tetap dan lain-lain alasan, akhirnya, perkara
haram terlalu mudah untuk dicapai, pelacuran menjadi satu bidang pekerjaan,
penzinaan seolah-olah berlalu bagai tiada jalan penyelesaian, anak luar nikah
dipaparkan akhbar hampir setiap hari. Semua ini berbalik kepada individu dan
masyarakat itu sendiri.
Oleh itu, cadangan memperkenalkan "nikah
gantung" giat dijalankan bagi membendung budaya-budaya keji dalam masyarakat.
Antara sasaran yang diletakkan adalah para mahasiswa yang berkeinginan untuk
berkahwin namun belum mampu untuk menanggung pasangan, belum tamat belajar,
belum sedia menimang cahaya mata.
Pro dan Kontra "Nikah Gantung".
Pro
1) Akad nikah telah menghalalkan perhubungan antara lelaki
dan perempuan, makanya, telah tertutup sebahagian pintu fitnah.
2) "nikah gantung" merupakan altenatif yang baik
bagi menyelesaikan budaya couple pada hari ini, daripada berhubung (Dating)
dalam keadaan tiada sebarang ikatan yang sah disisi syara'. maka terlebih
baiklah untuk pasangan couple memilih untuk menikah secara "nikah
gantung".
Kontra
1) Sebagaimana yang disebut pada awal catatan ini, ulama
telah menggariskan beberapa isi penting berkaitan maqasid/tujuan sebuah akad nikah,
dengan terjalinnya "nikah gantung", sebahagian maqasid tersebut belum
boleh dicapai dan sebuah ikatan perkahwinan.
2) Dari sudut yang lain, masyarakat akan mula bermudah-mudah
dengan akad pernikahan, mungkin ada yang terfikir untuk saja-saja memilih
"nikah gantung". lalu tidak dilanjutkan dengan perhubungan yang
sempurna lalu ikatan akad nikah berakhir sekerat jalan.
3) Dalam masa yang sama, "nikah gantung" kurang
mengajar kepada pasangan yang memilih untuk menikah gantung soal tanggungjawab.
Dalam masa perkahwinan digantung, masing-masing masih membawa diri
masing-masing dan belum benar-benar merasai dan menjiwai rasa tanggungjawab dan
amanah sebuah perkahwinan.
Q & A tentang "Nikah Gantung".
1) Bolehkah pasangan yang memilih "nikah
gantung" untuk keluar bersama?
Dibolehkan kerana pernikahan gantung adalah seperti
pernikahan biasa, namun didalam "nikah gantung" hanya digantung
beberapa perkara yang lain seperti ; 1) Nafkah Zahir. 2) Nafkah Batin.
2) Apakah status anak yang dikandung ketika "nikah gantung"?
Anak yang dikandung adalah anak yang sah taraf disisi syara'
dan disisi undang-undang.
3) Bilakah "nikah gantung" dikira sebagai
"nikah biasa"?
Apabila kedua-dua pasangan telah mula duduk bersama dan
menjalankan tanggungjawab dan hak-hak kehidupan suami isteri yang normal.
4) Apakah disyaratkan persetujuan isteri dalam
menjalankan "nikah gantung".
Asal kepada sebuah perkahwinan adalah ikatan yang dibina
atas dasar keredhaan daripada kedua-dua belah pihak, makanya, persetujuan
isteri adalah menjadi satu syarat untuk menjalani "nikah gantung".
Jika sekiranya isteri tidak bersetuju, maka suami wajib menjalankan
tanggungjawab seorang suami kepada isteri.
Kesimpulan.
Penulis dengan penuh rendah hati, dengan kekurangan pengetahuan
dalam banyak perkara berpandangan bahawa "nikah gantung" adalah suatu
altenatif yang amat baik dengan pertimbangan keadaan sekeliling dan
persekitaran masyarakat pada hari ini.
Akan tetapi, penulis menetapkan bahawa kesesuaian
"nikah gantung" adalah bergantung kepada individu-individu yang
sememangnya mempunyai situasi yang berbeza. Bagi penulis, sebagaimana diawal
catatan telah digariskan beberapa tujuan besar dalam sebuah ikatan perkahwinan,
maka sebaik-baiknya perhubungan perkahwinan dijalankan dengan keadaan nikah
yang difahami oleh masyarakat pada hari ini (Nikah biasa).
Namun, jika sememangnya terdapat halangan dalam
menyempurnakan sebuah akad perkahwinan dengan "nikah biasa" dengan
kekangan-kekangan tertentu, maka memilih "nikah gantung" merupakan
pilihan yang baik daripada terus berhubungan tanpa sebarang perhubungan yang
sah disisi syara'.
Al-Faqir ilallah.
Abu Abdir Rahman.
15 Ramadhan 1434 H.
24 Julai 2013/ Rabu.
Sweileh, Amman,
Dikemaskini pada 17 Ramadhan 2013 bersamaan 26 Julai 2013.
Pandangan Dr Maza berkaitan "nikah gantung".
assalam..sy musykil..nikah pd 6thun?dn mnafkahi saidatina smsa 9thun?sy ad liht stu hadis..nabi nikah khitbah dn saidatina aisyah ktika brumur 9thun dan mggauli saidatina slps baligh...mohon pnjelasan, ,yg manakah benar, ,
ReplyDelete