Tuesday, 12 February 2013

Mujahir, adakah kita tergolong dalamnya?

Kebebasan jaringan laman sosial hari ini tidak lagi mampu dinafikan sama sekali. Bermula dari kanak-kanak tadika, ahli perniagaan, guru-guru, mahasiswa dan para pendakwah semuanya memiliki akaun laman sosial masing-masing, samaada Facebook, Twiter, Friendster, Yahoo Mail dan lain-lain lagi.

Suatu yang amat membanggakan apabila semua jaringan ini dimanfaat sepenuhnya oleh pemilik akaun sebagai salah satu platform untuk menyebarkan kebaikan dan menjalankan kebajikan, samaada menyebarkan peringatan yang bersifat peribadi, keluarga, masyarakat mahupun negara, ada juga yang memanfaatkan sebagai medium iklan untuk menyebarkan program-program yang berunsurkan keagamaan dan sebagainya.

Lebih membanggakan apabila ruang jaringan ini telah mampu membantu untuk menyebarluas dakwah islam bukan hanya dalam rumah-rumah muslim, bahkan seluruh pelosok rumah non-muslim juga mampu dimasuki dengan mudah.

Namun semua itu akan berlaku dengan adanya kefahaman kepada batas-batas agama. Bermula dengan asas syariat islamiyyah dan sunnah insaniyyah. Ummat Islam dididik untuk meniti kehidupan dengan timbangan dosa dan pahala, syurga dan neraka.. Ummat islam diberikan kebebasan seluas-luasnya dalam apa jua sudut dan ruang selagi tidak bercanggah dengan syariah. Bukan itu sahaja, ummat islam juga dituntut untuk menunaikan sunnah insaniyyah kepada seluruh ummat, samaada muslim mahupun non-muslim.

Dalam kepesatan perkembangan jaringan laman sosial, timbul suatu kebejatan dan kemungkaran yang mungkin atas dasar kejahilan dalam asas agama ramai yang terjebak kedalamnya.. Pada mulanya, hanya dengan niat untuk berkongsi kegembiraan dengan teman-teman. Tanpa disedari batas agama telah dilangkau dengan hanya satu butang enter. 




Memelihara Aib.

Hari ini, terlalu mudah untuk mendapatkan berita-berita sensasi samaada cerita tersebut berlaku dilubang cacing sekalipun. Jika sebelum kewujudan laman sosial, berita-berita sensasi hanya wujud didalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah picisan yang terluas di pasaran.

Tetapi hari ini, semuanya hanya dihujung jari. Kalau dulu, pasangan kekasih yang bermadu asmara tanpa sebarang ikatan yang diiktiraf oleh syara' segan silu untuk berendut bersama buah hati masing-masing, bahkan perhubungan yang dijalin pasti menerusi ibu bapa atau saudara-mara, tetapi hari ini fenomena itu telah diubah apabila kisah berendut pasangan kekasih samaada ditempat tersembunyi mahupun tempat awam dengan mudah di share luas bersama teman-teman, gambar-gambar dimuat naik dengan pelbagai aksi yang menjijikan ditambah pula aurat yang tiada diendahkan.

Permasalahan pasangan madu kasih yang tiada ikatan yang sah mungkin masih boleh dikonsider lagi. Tetapi bila timbul pula pasangan yang diijab kabul menurut lunas-lunas syara' dengan mudah ber share cerita yang tidak sepatutnya didalam ruangan sosial, bahkan, kadang-kadang menimbulkan retak-retak perpecahan dalam bahtera kekeluargaan.

Tidak kurang juga status hot yang bercerita perihal aib ahli keluarga, teman-teman, sanak-saudara, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Semua benda seronok di share bersama, seronok menunggu like & comment daripada friend & follower.

Berkongsi itu perkara yang baik, bahkan Islam menuntut ummatnya untuk sentiasa berkongsi. Sebagai contoh Islam mensyariatkan Zakat sebagai tanda hidup manusia itu perlu dikongsi bersama.. Namun tidak semua perkara perlu untuk dikongsikan kepada semua. Aib pasangan hidup tidaklah perlu diheboh-hebohkan, pertengkaran keluarga tidak perlu dibawa ke ruangan awam untuk diperdebatkan. Cukuplah dengan perbincangan pihak-pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan yang datang.

Pesan Nabi s.a.w. : " Sesiapa yang menutupi keburukan saudaranya seislam, Allah akan menutupi keburukannya pada hari kiamat. Dan sesiapa yang menyingkap keburukan saudaranya seislam, Allah akan menyingkap keburukannya sehingga ia akan terhina meskipun di rumahnya sendiri ". (Riwayat Ibnu Majah).

Hadith tersebut jelas menggambarkan kepada setiap individu muslim bahawa betapa besarnya akibat membuka aib orang lain. Dan budaya membuka aib orang adalah perkara yang diharamkan oleh syarak kecuali dalam perkara-perkara yang berkecuali, bahkan budaya membuka aib ini dijanjikan dengan hukuman yang tidak terperi di akhirat kelak.

Golongan Mujahir. 

Setiap muslim bukan hanya dituntut untuk memelihara aib saudara seislam, bahkan setiap individu muslim juga dituntut untuk memelihara aib diri sendiri dan sama sekali tidak menyebarkannya di khalayak umum.

Sabda Nabi s.a.w. : " Sesiapa yang menutupi ( aib dan dosa) seseorang Muslim, Allah akan menutupinya ( aib dan dosa ) di dunia dan di akhirat ". (Riwayat Muslim).

Muslim yang dimaksudkan didalam hadith tersebut bukanlah semata-mata orang lain, bahkan termasuk juga muslim Itu adalah diri individu muslim itu sendiri.

Yang dimaksudkan dengan golongan mujahir adalah golongan yang telah kehilangan rasa malu, tanpa segan silu melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. lalu menceritakan kemaksiatan dan perbuatan dosa tersebut kepada khalayak tanpa rasa gerun kepada azab Allah s.w.t. dan berbangga dengan perbuatan maksiat tersebut.

Nabi s.a.w. mengingatkan Ummatnya dengan sebuah hadith yang bermaksud :
" Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali mereka yang mendedahkan (dosanya),ada di kalangan yang mendedahkan ini , melakukan suatu dosa di waktu malam, berpagi-pagi sedang Allah menutup keaiban dosa itu, namun tiba-tiba dia mendedahkan seraya berkata :" Wahai fulan, semalam aku lakukan itu dan ini" maka terhapuslah tutupan Tuhannya dan jadilah ia membuka (rahmat) Allah yang(sebelum ini) menutup keaibannya ".( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Berbahagialah bilamana setiap yang berlaku kepada diri sendiri terpelihara daripada pengetahuan khalayak umum. Dalam sebuah hadith Nabi s.a.w. :

" Tidaklah Allah menutupi aib seseorang hamba di dunia, melainkan Allah akan menutupi juga aib itu pada hari Kiamat ". ( Riwayat Muslim).

Kesimpulan.

1. Sebagai anak adam yang sememangnya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Makanya wajarlah keatas setiap muslim untuk sentiasa memuhasabah diri dalam setiap perkara yang dilakukan sepanjang hayatnya dan bertaubat diatas segala kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukan dan bersyukur diatas segala peluang dan ruang kebaikan yang telah dikurniakan.

2. Menunaikan hak mereka yang sepatutnya, jika dulu kita pernah membuka aib saudara kita, maka hendaklah kembali meminta maaf kepadanya dan memperbaiki semula berita keaiban yang disebarkan berkaitan saudara kita itu.

3. Jika keaiban kita mahupun saudara kita di share di khalayak umum, makanya perbetulkanlah perkara tersebut, jika masih tersimpan dimana-mana ruang laman sosial, segeralah untuk memadam semua itu.

Alangakah perkara baik yang mungkin menimbulkan fitnah seperti pertunangan juga dituntut untuk disembunyikan, apatah lagi kesalahan dan keaiban, maka terlebih aulalah kesalahan dan keaiban itu disembunyikan.

Membangun Jiwa Khalifah.

Abdul Hakim Othman.
110213.
Sweileh, Jordan.

No comments:

Post a Comment