Friday, 21 February 2014

Ucapan Penangguhan || Mesyuarat Agung Tahunan MPMMJ kali ke-14 ||

Ketua Hewi MPMMJ 2014/2015
Naib-naib Presiden MPMMJ 2014/2015
Barisan Kepimpinan MPMMJ sesi 2014/2015.
Pengarah Mesyuarat Agung Tahunan MPMMJ keli ke14
Barisan Kepimpinan MPMMJ sesi 2013/2014
Barisan Kepimpinan Persatuan Zon, Badan Kebajikan Anak Negeri dan Kelab.

Para Perwakilan dan Pemerhati/ Hadirin-Hadirat yang dirahmati Allah s.w.t.

Bersyukur kepada Allah s.w.t dalam suasana yang hening ini, kita diberikan ruang dan peluang untuk sama-sama berada di dewan besar ini bagi meneruskan usaha-usaha untuk kita melihat mahasiswa Jordan terus membangun dan melangkuh maju kehadapan.

Saya mewakili barisan kepimpinan MPMMJ sesi 2014/2015 merakamkan ucapan jutaan Terima Kasih kepada pengarah mesyuarat agung tahunan MPMMJ kali ke-14 beserta ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus bermula bulan November sehingga ke saat ini untuk meihat mesyuarat agung tahunan yang diadakan pada hari ini berjalan dengan lancar.

Saya juga ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh kepimpinan di setiap peringkat kerana terutama kepada para pembahas yang telah sama-sama berusaha untuk memberi nafas baru kepada mesyuarat agung tahunan mpmmj pada tahun ini. Setiap cadangan, kritikan dan penambahbaikan yang telah dilontarkan oleh para perwakilan akan diteliti oleh kepimpinan mpmmj demi melihat mpmmj terus membangun dan melangkah maju.

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan ucapan penghargaan kepada pihak jawatankuasa pemilihan MPMMJ (SPR) yang telah berjaya menjalankan tugas dengan baik. Alhamdulillah, tagline “MPMMJ untuk semua” yang selama ini hanya berlegar dalam kalangan kepimpinan MPMMJ, PZ, BKAN dan Kelab telah berjaya dipecahkan temboknya dengan perlaksanaan proses pengundian untuk seluruh warga MPMMJ.

Tahniah saya ucapkan.

Ucapan setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga MPMMJ yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam memilih barisan kepimpinan yang bakal memimpin MPMMJ.

Urusan memilih kepimpinan adalah suatu urusan yang amat dititik beratkan oleh islam, Firman Allah s.w.t. :


Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (An-Nisa:58)

MPMMJ -14 Tahun-.

Sidang perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah s.w.t. sekalian.

Sebelum memanjangkan kalam penangguhan saya pada petang ini, izinkan saya untuk membawa sidang dewan sekalian ingin mengimbas sedikit sebanyak maklumat penting berkaitan MPMMJ.

Tujuan asal penubuhan MPMMJ

Fasal 8 perlembagaan MPMMJ ada tercatat bahawa penubuhan asal MPMMJ adalah sebagai salah sebuah medan yang mengumpulkan setiap persatuan bagi membina kesatuan dan kebersamaan mahasiswa Malaysia di Jordan.

Dengan kata lain, MPMMJ adalah sebuah badan induk yang bernaung dibawah Education Malaysia Jordan (EMJ) dalam masa yang sama menaungi persatuan-persatuan zon, BKAN-BKAN dan kelab.

MPMMJ sesi 2014/2015.

Firman Allah s.w.t.

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.(al-Mujadalah:11)

Dengan semangat ayat yang dibacakan, MPMMJ sesi 2014/2015 bersetuju untuk memilih “Membangun Mahasiswa Muslim Kelas Pertama.” Visi ini bertepatan dengan suasana kita yang hidup dalam suasana ilmu dan kehidupan masyarakat mahasiswa.

Mahasiswa yang kita cita-citakan bukan mahasiswa yang semata-mata pakar dalam bidang ilmu masing-masing tetapi lupa akan raka-rakan disekeliling. Mahasiswa yang dicita-citakan ialah mahasiswa yang sentiasa terkehadapan  dalam bidang ilmu masing-masing dalam masa yang sama kita prihatin dengan keadaan dan suasana sekeliling kita, saling tolong-menolong, saling bantu-membantu.

Firman Allah s.w.t.
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (al-Maidah:2)

Sidang perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah s.w.t. sekelian.

Untuk mencapai visi yang disepakati bersama-bersama ini termasuk presiden-presiden persatuan zon, kita bersetuju untuk menjadikan visi “membangun mahasiswa muslim kelas pertama” sebagai sebagai visi bersama mpmmj dan bersatuan. Dan itulah juga harapan kepada BKAN-BKAN.

Dalam menggarap visi ini, MPMMJ juga telah menyenaraikan secara ringkas misi-misi yang perlu digarap oleh kita semua untuk mencapai visi yang kita gagaskan ini.

1) Pembudayaan Ilmu dalam kalangan mahasiswa.

Ilmu sebagai asas kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan tamadun, tanpa ilmu masyarakat dan tamadun tidak mampu untuk membangun.

Dengan asas itulah, pembudayaan ilmu perlu untuk terus subur dalam kalangan mahasiswa, diskusi, bedah buku, pembentangan kertas kerja dan lain-lain program ilmiah perlulah diteruskan dan dalam masa yang sama penumpuan kepada kelas-kelas talaqqi luar universiti perlu untuk dititik beratkan.

Saya rakamkan, ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh warga MPMMJ yang telah berusaha dengan usaha masing-masing dalam menjayakan program-program ilmiah samaada dibawah anjuran persatuan mahupun usaha persendirian.

Jangan hanya bergantung kepada persatuan semata-mata, tetapi mahasiswa perlu berdikari untuk melihat kita hidup dalam suasana masyarakat cintakan ilmu.

2. Kesedaran jati diri muslim.

Pada petang berbahagia ini, suka untuk saya menarik perhatian para perwakilan dan pemerhati sekalian. Pada mesyuarat agung tahunan MPMMJ yang lepas, isu MC hangat diperkatakan oleh para perwakilan yang hadir, ada bersetuju ada yang tidak bersetuju da nada yang mencadangkan pelbagai altenatif untuk melihat institusi smart group atau usrah berjalan dengan baik.

Alhamdulillah, saya kira isu yang dibangkitkan itu sebagai satu sensitivity yang positif.
Untuk perhatian sahabat-sahabat sekalian.

Pada pertengahan sesi kepimpinan MPMMJ yang lepas, kita telah bersetuju untuk meletakkan institusi smart group ini dibawah portfolio timbalan presiden MPMMJ di peringkat se-jordan dan dibawah portfolio timbalan presiden 1 persatuan zon untuk peringkat zon.

Apa  yang saya sebut sebentar tadi adalah berbentuk protocol dan teknikal.
Yang lebih besar, MPMMJ ingin melihit bahawa smart group ini menjadi medan pembangunan jati diri muslim, medan pembangunan budaya ilmu dan apa yang lebih penting, dengan berjalannya institusi smart group, kita akan melihat suasana masyarakat mahasiswa yang harmoni, hidup dalam keadaan ingat-mengingati dan pesan-memesan Antara satu sama lain.

Firman Allah s.w.t.
 [1] Demi Masa![2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian [3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (al-Asr:1-3)

3) Budaya Muafakat.

Imam Ibn Kathir rahimahumullah dalam menafsirkan ayat surah al-Mujadalah:11, beliau memetik sebuah hadith rasulullah s.w.t. riwayat Ibnu Majah.

وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ 
Barang siapa yang memudahkan urusan orang yang susah, nescaya Allah akan memudahkan urusannya didunia dan diakhirat. Allah sentiasa berada bersama hamba-Nya selagi hamba-Nya sentiasa dalam membantu saudara-maranya.

Sahabat-sahabat sidang perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah sekalian.

Isu kebajikan bukan lagi satu isu asing dalam masyarakat mahasiswa Jordan pada hari ini, isu semangat kemantiqahan yang ada cuba dibangkit oleh salah seorang pembahas ucapan dasar sebentar sebentar tadi dan banyak lagi isu-isu yang berkaitan permuafakan yang mana mutakhir dilihat mula ditimbul.

Berkait rapat dengan isu kebajikan, saya ingin tegaskan bahawa kebajikan adalah tanggungjawab bersama warga MPMMJ, namun disana dari sudut teknikal, kita sepakat untuk meletakkan urusan kebajikan dibawah bidang kuasa Badan Kebajikan Anak Negeri. Tetapi hal ini bukan bermakna MPMMJ, Persatuan Zon dan Kelab boleh untuk berlepas diri daripada tanggungjawab kebajikan warga MPMMJ.

Bertitik tolak daripada itu, saya  melihat bahawa kerjasama yang baik Antara persatuan zon dengan persatuan zon yang lain, BKAN dengan BKAN yang lain, Kelab dengan Kelab yang lain dan kolaborasi pintar Antara MPMMJ, PZ, BKAN dan Kelab perlu dibinakan dan disuburkan oleh kita semua.

Sinerge Persatuan Zon, BKAN dan Kelab dalam membangun mahasiswa.    

a) Sedia maklum bahawa, persatuan zon adalah sebuah persatuan yang berdiri sendiri tanpa ada sendi daripada mana-mana kerajaan negeri, tanpa ada sebarang badan yang benar-benar menjadi tulang belakang kepada PZ untuk menyalurkan kewangan dan lain-lain bantuan. Dan sebagai memetik apa yang disampaikan oleh perwakilan daripada Pahang, saya kira BKAN merupakan badan yang mempunyai kekuatan mereka yang tersendiri dari sudut kewangan, walaupun tidak dinafikan bahawa ada sebahagian BKAN yang di anaktirikan oleh kerajaan negeri, apapun. Yang menjadi point utama saya adalah, sinerge kekuatan ahli yang menyeluruh di persatuan zon dan kekuatan kewangan BKAN perlulah ditingkatkan Antara PZ dan BKAN bagi menganjurkan sebarang aktiviti ilmiah dan program-program utama di persatuan zon.

b) Saya ingin mengutarakan satu pandangan berkaitan program-program yang telah dan sedang dirancang oleh sahabat PZ, BKAN dan Kelab. Saya kira satu kajian serius perlu dilakukan oleh seluruh kepimpinan berkaitan program-program yang dijalankan dibawah persatuan masing-masing. Satu pesanan yang perlu kita semat didalam hati kita; “Buatlah program ikut keperluan, bukan ikut kemahuan kepimpinan semata-mata.”

c) Perkara yang saya kira penting untuk saya sebutkan pada petang ini adalah berkaitan hal kewangan. Perkara ini saya kira perlu dititik beratkan oleh setiap kepimpinan. Kewangan persatuan bukanlah duit poket kita, bukan duit poket keluarga kita. Tetapi kewangan persatuan yang kita uruskan adalah amanah yang akan dipersoalkan keatas kita. Berhati-hatilah dalam menguruskan kewangan, Minimumkan perbelanjaan, maksimumkan hasil.

Mahasiswi memacu kemajuan Ummah.  

a) Permasalahan wanita semakin hari semakin menjadi satu isu yang sentiasa diperkatakan. Setiap falsafah dan agama mempunyai penyelesaian tersendiri, tetapi pada hakikatnya, penyelesaian yang dibawa oleh islam adalah sebaik-baik penyelesaian yang lengkap dan sempurna.

b) Menjadi kewajipan kepada para ilmuan terutama mahasiswi dalam menghadapi dan mendepani isu-isu ini. Saya melihat mahasiswi Jordan menjadi satu aset penting untuk memimpin masyarakat dalam menyelesaikan pelbagai cabaran yang timbul mutakhir ini.

Saya bercita-cita untuk melihat mahasiswi Jordan di bawah kepimpinan Ketua HEWI MPMMJ sesi 2014/2015 berusaha mengadakan satu persidangan khusus untuk mahasiswi segah PERTAMA bagi membincangkan persoalan-persoalan berkaitan kewanitaan dan kekeluargaan.

Dr Yusuf al-Qaradhawi berpesan:”Sesungguh isu wanita adalah isu yang besar pada zaman ini dan kesannya amat mendalam ini kerana wanita mempunyai peranan yang besar di dalam kehidupan keluarga dan kehidupan masyarakat. Tidak mungkin masyarakat dan keluarga akan menjadi baik, sekiranya wanita tidak menjadi soleh.”

Kesimpulan.

1) MPPMJ, PZ, BKAN dan Kelab bukanlah sebuah badan politik, apatahlagi badan berkecuali atau sebagainya, akan tetapi MPMMJ, PZ, BKAN dan Kelab adalah sebuah badan persatuan yang menjadi penyatu dan badan kesatuan kepada seluruh mahasiswa.

2) MPMMJ tidak mampu untuk mencapai visi dan misi yang digagaskan tanpa adanya sokongan dan dokongan warga MPMMJ semua. Kita sebagai warga MPMMJ harus mengembeleng tenaga untuk mencapai apa yang kita gagaskan.

3) Terima kasih kepada semua warga MPMMJ kerana terus memberikan sokongan pada kepada MPMMJ, hari ditaklifkan untuk memimpin MPMMJ, akan tetapi saya bukanlah yang terbaik dalam kalangan warga MPMMJ, sekiranya apa yang cuba bawakan dan laksanakan baik untuk MPMMJ maka dokonglah, dan jika sekiranya ada kelompongan dan kekurangan, perbetulkanlah saya.


Wallahu’alam.Salam Hormat.
Abdul Hakim Bin Othman.
(21 Februari 2014/Jumaat/3.01 p.m/Dewan Masrah,Mu’tah,Jordan)  

No comments:

Post a Comment