Friday, 13 January 2012

Generasi Kebanggaan Rasulullah S.A.W.

Pemuda adalah satu zaman yang penuh dengan tatacara kehidupan,bangkit-jatuh sebuah masyarakat adalah kerana pemuda yang menjadi ahli masyarakat tersebut,maju-mundur sebuah negara adalah bergantung generasi muda yang menjadi akar kepada sesebuah negara.jika diibaratkan pemuda dengan sebatang pokok,maka pemuda adalah akarnya,baik akar sebatang pokok maka baiklah dahan,ranting,dan buahnya.

 “Generasi muda adalah generasi yang memiliki segala rupa kekuatan. Generasi 
yang hidupnya segar, jiwa dan fikirannya sentiasa membara. Justeru kehidupan pada zaman belia adalah kehidupan yang amat mencabar dan cukup istimewa,kehidupan yang penuh dengan idealisme dan sarat dengan cita-cita.”Dr Yusof Al-Qardawi:
Kewajipan Pemuda Islam Hari Ini.

Mutakhir Ini,kita mampu melihat iklim politik dunia mula berubah dengan pengaruh anak-anak muda yang menguasai pelbagai kemudahan teknologi,samaada malaysia,mesir,syiria,libya,tunisia dan rata-rata negara lain.pemuda telah bangkit daripada tidur yang panjang setelah dikejutkan oleh para ulama' dan murabbi yang mendidik.




Peri pentingnya kedudukan pemuda dalam dunia ini,bukan sahaja pada zaman kita bahkan telahpun dibuktikan oleh Rasulullah s.a.w.,dimana Baginda s.a.w. pada permulaan dakwah islam,Baginda s.a.w. dibantu oleh para pemuda,wanita dan hamba.lebih membanggakan,penyebaran islam pada zaman Baginda s.a.w. didominasi oleh para pemuda perindu syurga.sebagai contoh apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika saat hampir kewafatan Baginda s.a.w.,Baginda s.a.w. telah mengutuskan Usamah Bin Zaid ke syam untuk menyebarkan dakwah islamiyyah.

"Rasulullah s.a.w. telah melantik Usamah bin Zaid memimpin angkatan tentera tersebut padahal beliau adalah seorang remaja berusia 20 tahun. Di bawah kepimpinannya terdapat tokoh veteran Muhajirin dan Ansor seperti Abu Bakar, Umar,Othman, Ali dan lain-lain tokoh yang terlebih dahulu memeluk Islam dan telah terbukti keperwiraan mereka. Mereka juga lebih tua dan berkedudukan berbanding Usamah. Tindakan Rasulullah ini mempamerkan salah satu sunnah Islam yang terpuji".Dr Mustafa Siba'ie:Sirah Nabawiyyah-Pelajaran Dan Pengajaran.  

Kenapa Pemuda yang menjadi objek?

Di dalam salah satu majlis ceramah yang disampaikan oleh Dr Abdullah Naseh Ulwan,beliau telah membentangkan satu tajuk yang berkaitan pemuda-pemuda islam,dalam ceramah tesebut beliau telah menyebut kenapa pemuda yang diutamakan,bukannya wanita dan orang tua.antara teks ucapan beliau.

Wahai saudara-saudara yang mulia,tajuk muhadharah(ceramah) saya di malam ini ialah:

"Peranan Pemuda Di Dalam Menyampaikan Risalah Islam."

Wahai saudara-saudari semua!tidak diragui lagi bahawa muslimah juga tergolong dalam konteks peranan membawa risalah islam kepada kaum sesama jenis mereka.biarpun tajuk perbicaraan saya ini saya tujukan kepada "pemuda-pemuda",namun begitu tidaklah beerti kaum wanita terlepas daripada tanggungjawab bersama,cuma saya tumpukan topik ini untuk "pemuda-pemuda" kerana memandangkan dua aspek:

1)Lumrah kebiasaan "pemuda-pemuda" lebih berperanan daripada kaum wanita.
2)golongan pemuda lebih bersemangat,lebih mampu untuk mempelopori sebarang perhimpunan dan sebarang perjumpaan.
:Dr Abdullah Naseh Ulwan:- "Peranan Pemuda Di Dalam Menyampaikan Risalah Islam."


Pemuda juga terkandung didalamnya pemudi,bukanlah bermakna apabila disebut pemuda makanya kaum wanita muda terlepas daripada apa yang cuba disampaikan,tetapi menggunakan lafaz umum bagi menimbulkan rasa kebersamaan kita(pemuda-pemudi) dalam perjuangan islam.

Pemuda seharusnya berasa bangga kerana kita banyak diberikan perhatian oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak perkara,Allah s.w.t. juga menyebut "pemuda" didalam al-quran bagi menyatakan bahawa betapa besarnya peranan pemuda dalam kehidupan 'amnya dan kepada islam khususnya,sebagaimana yang berlaku kepada ashabul kahfi,pemuda yang melarikan diri untuk menyelamatkan aqidah daripada dimusnahkan oleh pemerintah yang zalim.

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.Surah Al-Kahfi:13.

Sebagai bukti betapa Rasulullah s.a.w. menitik beratkan urusan para pemuda,Baginda s.a.w. berusaha keras dalam mendidik dan melatih para pemuda untuk menjadi kader-kader islam pada zaman Baginda s.a.w dan selepas kewafatan baginda s.a.w.

·         Nabi Muhammad s.a.w. sentiasa mengingatkan kepada para pemuda agar mengingati Allah s.w.t. samaada semasa bersendirian mahupun berkumpulan,dalam keadaan aman mahupun huru-hara.

Sabda Rasulullah s.a.w.:"sesungguhnya allah sangat-sangat kagum terhadap pemuda  yang tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan akhlak".(Ahmad dan Abu Ya'la)

·         Nabi muhammad s.a.w. juga mendidik golongan muda supaya beriltizam dalam mentaati Allah s.w.t. dan beribadat kepadaNya dengan penuh tulus ikhlas,secebis hadis Rasulullah s.a.w..

"Tujuh jenis manusia yang mendapat naungan allah s.w.t,yang mana di hari tidak ada sebarang naungan selain lindungan tersebut.(diantara golongan yang mendapat lindungan tersebut iaitu) pemuda yang sepanjang umurnya sentiasa mengabdikan diri kepada allah s.w.t."(Syaikhan)

·         Nabi Muhammad s.a.w. menyeru pemuda dan pemudi supaya merebut peluang di masa muda untuk melatih keperibadian di sudut kerohanian dan jasmani serta akhlak dan moral.

"Rebutlah peluang lima perkara sebelum lima perkara:masa mudamu sebelum masa tua,sihat sebelum sakit,waktu kaya sebelum papa,masa lapang sebelum sempit,hidup sebelum kamu mati."(Riwayat Al-Hakim)

·        Nabi muhammad s.a.w. mengingatkan pemuda-pemudi bahawa kita akan dihisab setiap pekerjaan kita dihadapan allah s.w.t. tuhan semesta alam di akhirat kelak.

"Tidak akan berganjak kaki anak adam pada hari kiamat kelak di sisi tuhannya sehinggalah disoal tentang lima perkara: tentang umurnya pada apa yang telah dihabiskannya, masa mudanya pada apa yang telah dipenuhkannya, hartanya dari mana dia mendapatinya dan ke mana dia membelanjakannya dan ilmunya apakah yang telah dilakukan dengannya."
(Riwayat Tirmizi)

·         Nabi Muhammad s.a.w. juga sangat menitik beratkan perkara berkaitan penyelewangan moral kerohanian dalam kalangan pemuda-pemudi dengan menganjurkan kepada kita mendirikan rumah tangga seperti mana disyariatkan oleh Allah s.w.t.

"Wahai Golongan Pemuda,Barang siapa dikalangan kamu berkemampuan(zahir dan batin) maka berkahwinlah kerana yang demikian itu menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan,dan barangsiapa yang tidak mampu keatasnya untuk berpuasa kerana baginya penawar".(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sudah jelas kepada kita bahawa besarnya penghargaan dan perhatian Rasulullah s.a.w. terhadap pemuda,namun kita yang lupa dan alpa tidak cuba mengkaji semua itu.pemuda adalah usia keemasan bagi setiap insan,masih kuat dan gagah dalam apajua pekerjaan.


Perumpamaan matahari dan cahayanya. Cahaya matahari lebihterang dan terik pada tengah harinya, tidak di awal pagi atau di hujung harinya.Begitulah pemuda. Awalnya kanak-kanak yang ketika itu tersangat lemah sepertilemahnya cahaya matahari di awal pagi. Hujungnya adalah tua yang ketika itu jugalemahnya seperti cahaya matahari di hujung hari. Dan pemuda adalah cahaya ditengah harinya.(Rumusan Buku:Kewajipan Pemuda Islam Pada Hari Ini)

Rahsia kegemilangan dan kebangkitan islam adalah dipelopori oleh para pemuda,para pemudalah yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan islam,bermulanya dakwah Nabi Muhammad s.a.w. secara rahsia di rumah Al-Arqam sehingga tertegaknya sebuah daulah islamiyyah,
pemudalah yang menjadi akar kepada pohon yang rendang tersebut,Nabi Muhammad s.a.w. sendiri diwahyukan menjadi pada usia pemuda baginda s.a.w. mencapai usia empat puluh tahun,lain pula halnya yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.,beliau memeluk islam ketika umurnya kurang tiga tahun berbanding Rasulullah s.a.w.,Saidina Umar r.a. menjangkau usia 27 tahun ketika beliau memeluk islam,Saidina Uthman r.a. dan Saidina Ali k.w. lebih muda berbanding mereka.

Cabaran Dan Halangan

Menjadi sunnatullah dalam semua perkara pasti ada cabaran dan halangannya,bukan untuk mengusahkan hamba-hambaNya,akan tetapi untuk mengangkat darjat seseorang hamba itu,semakin banyak ujian dan cabaran yang diterima oleh seorang hambaNya makanya semakin tinggilah darjatnya disisi Allah s.w.t.,para rasul adalah mereka yang banyak menerima ujian kemudian mereka yang  mengikut jejak langkah mereka.

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar”. (Al-Baqarah:155)

Begitulah juga kehidupan seorang pemuda,terlebih banyak cabaran dan halangan yang perlu dihadapi,bukan sia-sia bahkan itulah yang akan mematangkan kehidupan seorang pemuda untuk meneruskan perjalanan kehidupan yang terlalu panjang,Dr Abdullah Naseh Ulwan dalam ucapannya semasa beliau menerima rawatan di london kepada para peserta perkhemahan musim panas.beliau telah membahagikan cabaran yang perlu dihadapi oleh para pemuda-pemudi adalah terbahagi kepada 2 bahagian,iaitu cabaran dalaman dan cabaran luaran.

1.CABARAN HAWA NAFSU & BISIKAN SYAITAN.

Secara ringkasnya,setiap insan terpaksa berhadapan dengan ujian ini,ujian yang benar-benar menguji keimanan dan ketaqwaan seseorang terhadap Allah s.w.t.,ujian ini lebih besar kepada pemuda,kerana pemuda jiwanya mudah goyah dan lemah dengan pujuk rayu nafsu dan bisikan syaitan,dan Allah s.w.t. telah menerangkan kepada hamba-hambaNya bahawa syaitan itu adalah sebenar-benar musuh kepada manusia.

2.CABARAN PEMIKIRAN DAN PERSEKITARAN.

Sebagaimana yagg telah diketahui umum,hari ini pelbagai isme telah tersebar kedalam setiap rumah disetiap kampung,sukar sekali membendung pembiakan isme-isme yang ditaja oleh manusia-manusia yang mahu melihat islam itu sentiasa lemah dan terus lemah dan tersungkur tidak bangun,isme yang disebarkan bukanlah semata-mata ideologi manusia bahkan yang lebih menyesatkan lagi apabila mengambil sebahagian daripada islam dan meninggalkan sebahagian yang lain.

Kita sebagai pemuda lebih mudah terdedah kepada isme-isme ini kerana mereka bertopengkan islam untuk menyebarkan matlamat dan tujuan isme-isme mereka,mereka memanfaatkan setiap sudut peluang yang ada untuk menyebarkan itu semua samaada,pendidikan,ekonomi,politik dan lain-lain peluang dan ruang yang ada.

Begitu juga persekitaran yang ada,ianya turut menjadi salah-satu cabaran kepada para pemuda,bagaimana budaya barat telah masuk kedalam diri pemuda dengan begitu mudah,tanpa perlu diisytiharkan bahawa seorang pemuda telah mengikut sesuatu budaya tetapi daripada perwatakan dan keterampilan sahaja sudah dapat dikenalpasti.




LANGKAH PENYELESAIAN SERTA PERSEDIAAN.

Dr Fathi Yakan menggariskan beberapa manhaj penting dalam mnyiapkan diri seorang pemuda yang mantap sekaligus mampu untuk menghadapi cabaran dan halangan yang menimpa diri pemuda,bukan setakat ini sahaja,masih banyak garis panduan yang disenaraikan oleh ulama'-ulama' terdahulu,sebagai contoh Abul 'Ala Al-Maududi dalam bukunya Tanggungjawab Pemuda,begitu juga Dr Abdullah Naseh Ulwan dalam beberapa siri ceramahnya yang dibukukan,antaranya:Peranan Pemuda Dalam Menyaimpaikan Risalah Islam & Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Masalah Masa Kini,dan banyak lagi karangan ulama yang menyebut perihal pemuda.

Terpulang kepada kita,sama rajin ataupun masal untuk menerokai hutan belantara ilmu yang telah sedia ada,tidak perlu bersusah payah mencari buku di kedai-kedai,internet sudah mampu membantu kita dalam mencapai matlamat "Pemuda Agen Kebangkitan Islam".

3 perkara pokok yang digariskan oleh Dr Fathi Yakan:

1)PERSEDIAAN DARI SEGI PEMIKIRAN.
2)PERSEDIAAN DARI SEGI KEJIWAAN.
3)PERSEDIAAN DARI SEGI HARAKI (PERGERAKAN).
                
1)PERSEDIAAN DARI SEGI PEMIKIRAN.

Dua perkara yang perlu ditekankan adalah berkaitan ILMU,kita sebagai pemuda perlulah melengkapkan diri kita dengan ilmu dengan semantap mungkin,terutama Thaqafah Islamiyyah atau pengetahuan islam secara umum mahupun secara mendalam.kita perlu menyiapkan diri kita dengan senjata ILMU agar tidak mudah disesatkan dengan serangan-serangan yang sesat lagi menyesatkan.

Seboleh-bolehnya kita melengkapkan diri kita dengan ilmu-ilmu asas di dalam,Al-Quran,Hadis,Sirah Nabawiyyah,Feqh,Aqidah dan Tazkiyatun Nafs,hal ini perlu dipandang besar oleh kita sebagai pemuda,banyak yang perlu dipelajari dan difahami daripada ilmu-ilmu ini,bukan sekadar untuk kepentingan diri bahkan untuk keluarga,agama,negara sehinggalah ke peringkat dunia.

Perkara yang kedua dalam menyediakan pemikiran yang mantap,bersih daripada unsur kesesatan dan penyelewengan,kita sebagai pemuda perlu dalam mendalami Thaqafah 'Ammah atau pengetahuan am,perlunya kita dalam mendalami ilmu kemanusiaan,sains,sejarah dan isu-isu semasa.

2)PERSEDIAAN DARI SEGI KEJIWAAN.

Persediaan ini amat penting kepada kita sebagai pemuda,sebagaimana fizikal dan mental kita memerlukan pengisian,begitulah juga halnya yang berlaku kepada spiritual kita,bahkan jiwa-lah yang lebih utama untuk menerima pengisian kerana ianya adalah raja dalam kehidupan seorang insan.

Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Persediaan kejiwaan yang dimaksudkan adalah menyediakan jiwa pemuda yang lenturan nalurinya cenderung kepada mematuhi segala perintah dan arahan syara' dan meninggalkan segala tegahan dan larangannya,bukanlah yang dimaksudkan dengan kejiwaan ini sebagaimana yang difahamkan oleh rahib,sami atau paderi dalam agama budha,kristian dan sebagainya,yang mana kefahaman mereka bahawa agama itu hanyalah bersifat ritual semata-mata dan meninggalkan keduniaan.ianya salah sama sekali dan bercanggahan dengan ajaran islam yang syumul.

Kita seharusnya memberikan perhatian yang besar terhadap perkara ini,tidak berguna jika akal kita diisi dengan sebegitu banyak ilmu,pelbagai bahan bacaan diisi semasa waktu lapang dan pelbagai lagi tumpuan kita kepada akal dan fizikal kita namun jika kita meninggalkan perkara yang sepatutnya lebih diberikan perhatian iaitu jiwa kita makanya,sia-sialah apa yang kita usahakan untuk akal kita.

Antara lainnya,persediaan ini juga penting untuk membendung diri kita daripada terjerumus kedalam lembah kesesatan hawa nafsu dan emosi semata-mata,apabila jiwa kita dibentuk dengan acuan yang dikehendaki oleh islam,makanya ia akan menjuruskanya diri kita terhadap kebaikan dan kejayaan.

3)PERSEDIAAN DARI SEGI HARAKI (GERAKAN).

Sebagaimana contoh yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. didalam sirah baginda,kita dapat menemui bagaimana Rasulullah s.a.w. bukan sahaja mendidik para sahabat dengan teori semata-mata,bukan hanya sekadar mendengar syarahan berkaitan keimanan,ketaqwaan dan sebagainya,lebih daripada itu,Rasulullah s.a.w. juga mendidik dan melatih para sahabat r.a. dalam sudut haraki samaada dalam bidang dakwah mahupun siasah.

Pemuda adalah penggerak utama kepada dakwah dan siasah islamiyyah,kita bukan ditarbiyah untuk diri kita semata-mata akan tetapi kita ditarbiyah untuk kepentingan seluruh ummat manusia.lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. mengutuskan para sahabat ke merata tanah arab semata-mata untuk menyebarkan dakwah islamiyyah,dan mengukuhkan siasah kerajaan islam.makanya kitalah yang menjadi tonggak utama untuk tugas besar ini,tidak perlu kita mengharapkan orang lain untuk menanggungnya tetapi kitalah yang menyahutnya.

Antara persediaan ringkas yang perlu kita lakukan:-

a)Melatih diri kita untuk menyempurnakan segala perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangannya,dan meningkatkan ibadah sunat agar ianya mampu melahirkan pemuda yang hebat luar dan dalamnya.

b)Menggabungkan diri kita dengan satu gerakan islam yang syumul,dengan menggabungkan diri kita dengan sebuah gerakan akan banyak membantu kita dalam melatih dan menyiapkan diri dengan keperluan-keperluan penting dalam amal islami.

Antara ciri-ciri gerakan yang perlu menjadi pilihan para pemuda.

1)Gerakan yang meyakini bahawa islam adalah satu-satunya kekuatan yang mampu membangunkan semula ummat islam pada hari ini tanpa terpengaruh dengan mana-mana aliran pemikiran samaada timur mahupun barat.

2)Gerakan yang mengambil islam secara keseluruhanya sebagai dasar kepada gerakan tersebut,bukannya gerakan yang memperjuangkan bangsa semata-mata.

3)Gerakan yang didirikan atas kesedaran bahawa ianya adalah tuntutan daripada al-quran dan sunnah,bukanlah ianya didirikan atas dasar tidak berpuas hati dengan sesuatu gerakan lain atau menjatuhkan sesuatu gerakan demi kepentingan tertentu.

4)Gerakan yang mengamalkan islam secara keseluruhan dan hanya menekankan dalam bidang-bidang tertentu sahaja,iaitu gerakan yang menjadi penggerak kepada TARBIYYAH ummah,menyebarkan DAKWAH islamiyyah dan berusaha menegakkan daulah islamiyyah atas tuntutan SIASAH islamiyyah. sesebuah gerakan yang meninggalkan salah satu daripada 3 aspek utama(TARBIYYAH,DAKWAH DAN SIASAH) tidak mungkin mampu merealisasikan tuntutan sebenar islam itu sendiri.

Masih banyak ciri-ciri yang perlu disenaraikan,tetapi cukaplah dengan apa yang dibentangkan sebagai panduan kepada kita para pemuda untuk memilih gerakan yang benar-benar mampu membantu kita dalam mempersiapkan diri dengan pengetahuan harakiyyah.

Semoga kita (para pemuda-pemudi) mampu untuk memikul tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan bukan secara berseorangan tetapi secara berkumpulan,dan semoga kita mampu menjadi pemuda yang menjadi kebanggaan Rasulullah s.a.w.,sebagaimana Hadis Rasulullah s.a.w.

...yang mendokong perjuanganku ialah pemuda sementara yang membelakangiku ialah orang - orang tua ...  al-hadith.

Tulisan ini adalah ringkasan kepada beberapa buku dan ucapan daripada tokoh-tokoh gerakan islam massa,pelbagai bentuk penyampaian yang dilakukan mereka kerana melihat peri pentingnya peranan pemuda dalam membangunkan islam yang ditindas pada hari.

Yang berminat untuk mendapatkan rujukan-rujukan penulisan ini bolehlah melakukan sedemikian dengan menghubungi penulis di FB:- http://www.facebook.com/profile.php?id=100002019775505 (Abdul Hakim Othman),insya allah akan di e-mail kan kepada yang berminat.

Rujukan:-
Dr Fathi Yakan:- Generasi Pemuda Dan Perubahan.
Dr Yusof Al-Qardawi:- Kewajipan Pemuda Islam Hari Ini.
Abu 'Ala Al-Maududi:-a)Peranan Pelajar,b)Tanggungjawab Pemuda.
Dr Abdullah Naseh Ulwan:-a)Peranan Pemuda Islam Dalam Menyampaikan Risalah Islam.
                                                b)Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini.

Siri 1.
Bayt Farid,Amman,Jordan.
19/Safar/1433.
13/Januari/2012.

No comments:

Post a Comment