Friday, 6 January 2012

Kita Dan Sirah Nabi Muhammad S.A.W.


Melepasi ujian akhir subjek sirah nabawiyyah dalam semester pertama,subjek yang kebanyakan kita melihatnya sebagai mudah dan ringkas namun sebenarnya sirah nabawiyyah bukanlah seperti yang disangkakan,pelajaran dan pengajarannya didalam dewan kuliyyah.

Kita mungkin telah memahami dan menghafal semua teori yang terkandung dalam sirah rasulullah s.a.w.,namun,Apa yang perlu kita sama-sama perhatikan adalah bagaimana caranya untuk "memindahkan" sirah nabawiyyah itu kedalam kehidupan kita sebagai individu muslim.didalam sirah nabi Muhammad s.a.w. kita melihat banyak peristiwa-peristiwa besar yang berlaku kepada baginda s.a.w. samaada perkara yang berkaitan individu mahupun berkumpulan.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang hayat Baginda s.a.w. bukanlah semata-mata menjadi sejarah atau biografi hidup tokoh biasa,tetapi,didalamnya terkandung seribu satu pelajaran dan pengajaran yang perlu kita titik beratkan dalam kehidupan kita.



Kenapa Nabi Muhammad s.a.w.?

Timbul pula persoalan dalam benak fikiran kita,untuk apa bersusah payah mengkaji sirah nabi Muhammad s.a.w,sedangkan,boleh sahaja jika kita mengambil pengajaran dan pembelajaran daripada tokoh-tokoh dunia terkemudian daripada nabi Muhammad s.a.w. yang terkemuka,mereka lebih hampir kepada kita berbanding nabi Muhammad s.a.w. dari sudut masa.ianya lebih memudahkan  kita untuk mengenali mereka.hujah ini hanya berdasar kepada logik semata-mata tanpa melihat justifikasinya.

Secara ringkasnya,Dr Mustafa Sibaie dalam kitab kecilnya "Sirah Nabawiyyah:Pelajaran dan Pengajaran" ada menggariskan lima noktah penting mengenai keistimewaan sirah nabi Muhammad s.a.w.,bukan semata-mata menjadi keistimewaan bahkan lebih besar daripada itu,ianya menjadi hujjah untuk sama-sama kita mencari Apa yang terkandung didalam sirah nabi Muhammad s.a.w. dan memikirkan bagaimana cara untuk mem"praktik"kan dalam kehidupan kita?.

1) Sirah Nabi s.a.w. istimewa lantaran ia merupakan sirah yang menceritakan sejarah nabi utusan Allah ataupun sejarah keagungan seorang tokoh islah yang paling sahih.

2) Kehidupan Rasulullah s.a.w. pada setiap peringkat hidupnya amat jelas; sejak
perkahwinan bapa Baginda, Abdullah dengan ibu Baginda, Aminah sehingga Baginda s.a.w.
wafat.

3) Sirah Rasulullah s.a.w. menceritakan perjalanan hidup seorang manusia yang
dimuliakan Allah dengan risalah-Nya.Namun ia tidak mengeluarkan Baginda daripada sifat
kemanusiaannya.

4) Sirah Rasulullah s.a.w. meliputi setiap sudut kemanusiaan yang dimiiiki manusia.

5) Sirah Muhammad s.a.w. adalah satu-satunya sirah yang memberi dalil yang
tidak diragui tentang kebenaran risalah dan kenabian Baginda kepada kita. Ia adalah
perjalanan hidup seorang manusia kamil.

"sudah terang lagi bersuluh",satu persatu hujah yang dibawakan kepada kita kenapa nabi Muhammad s.a.w yang menjadi pilihan bukannya tokoh dunia yang lain yang lebih dibanggakan dunia hari ini.

Untuk Apa?

Lebih mudah jika kita memetik noktah-noktah penting daripada Dr Sa'id Ramadhan Al-Buty dalam kitabnya "Fiqh Sirah An-Nabawiyyah",beliau menggariskan lima noktah penting dalam memudahkan kita memahami tujuaan sebenar kajian dan tela'ah  kita dalam sirah nabi Muhammad s.a.w.

1) Memahami peribadi Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam menerusi penghidupan dan suasana hidup baginda sendiri .

2) Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni, dari itu juga dapat dijadikan sebagai dasar dasar hidupnya.

3) Semoga kupasan tentang kehidupan Muhammad SallaL lahu ‘alaihi Wasallam boleh menolong manusia memahami dan mengecapi isi kandungan Al-Qur’an

4) Agar setiap Muslim dapat mengumpulkan seberapa banyak yang boleh perbendaharaan kebudayaan dan pengetahuan Islam yang sebenar samada pengetahuan bersangkutan dengan ‘aqidah kepercayaan,hukum-hakam dalam Islam atau tatasusilanya.

5) Membolehkan para pendidik penda’wah Islam mencontohi dan mengajar, mengikut sistem pendidikan dan pengajaran yang sihat kerana Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam sendiri adalah sebagai pendidik,penasihat,guru dan pertunjuk yang utama.

Bila mana kita berpenat-lelah mencari model mahupun icon untuk dijadikan suri teladan dalam kehidupan kita maka jawapannya terkandung dalam firman allah s.w.t. didalam  surah al-ahzab:21.

Sesungguhnya pada (diri) RasuluLlah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu.

Nabi Muhammad s.a.w. merupakan suri teladan yang terbaik dan telah diiktiraf samaada kawan mahupun lawan,Baginda s.a.w. telah diiktiraf oleh kaumnya mahupun dunia sejagat akan keistimewaannya yang universal,firman allah s.w.t. didalam surah al-anbiya':107.

Dan tiadalah kamu mengutuskan engkau (wahai Muhammad),melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Oleh itu,perlu kita fahami bahwa,sirah bukanlah semata-mata subjek atau silibus pelajaran semata-mata,bukan juga menjadi bahan bacaan picisan semata-mata,bahkan sirah boleh diletakkan tingkat pembacaannya selepas al-quran dan hadis rasulullah s.a.w.

Al-quran yang menyuruh dan melarang,supaya perintahnya dilakukan dan larangannya dijauhi,Sunnah yang menghuraikan dan menjelaskan al-quran,supaya petunjuk sunnah itu diikuti dan hikmahnya dimanfaatkan,Sirah yang membekalkan adab yang murni,kaedah yang betul dan cara berpolitik yang bijak. Syeikh Muhammad Al-Ghazali:"Fiqhu Sirah".

Bagaimana Caranya?

Islam bukanlah agama yang bersifat melarang dan membangkang semata-mata,akan tetapi perlu kita sedari islam adalah agama yang menyediakan seribu satu jalan dan altenatif kepada penganutnya untuk mudah dalam mengamalkan syariat islam.islam juga adalah agama yang mendidik atau dalam bahasa kurang sopan "menternak" penganut-penganutnya.

Tidak salah untuk kita meluangkan sedikit masa untuk berhibur,kerana jiwa manusia sentiasa berkehendak kepada hiburan,tetapi yang menjadi masalah apabila semuanya ingin jadikan sebagai hiburan semata-mata.

Bila jiwa merindukan kekasih hati,lagu cinta dipasang,bila teringatkan kampung halaman,syair dan gurindam dilantunkan,bila tiba hari kebesaran islam,selawat dan salam kita dendangkan,bila tiba musim peperiksaan,bacaan al-quran kita perdengarkan.

Kita seolah-olah mengambil al-quran sebagai satu bahan hiburan,selawat dan salam keatas nabi Muhammad s.a.w. kita gubah menjadi syair dan gurindam.(jangan kita mengambil allah s.w.t. dan rasulullah s.a.w. saat dalam kesusahan semata-mata dan meninggalkan allah dan rasul saat kita dalam kesenangan,bimbang allah dan rasul tidak mengambil kita saat kita teramat memerlukannya).

kita seharusnya membezakan antara perkara yang serius dan tidak serius,membahagikan masa untuk berhibur dan bertadabbur,sebahagian masa kita bahagikan untuk mentadabbur al-quran,sunnah,sirah dan ilmu-ilmu agama yang lain,ada masanya kita membahagikan masa untuk ilmu fardhu kifayah,sebahagian masa kita tetapkan untuk perkara yang kurang serius.

kita diperintahkan supaya menggunakan dan membahagikan masa bagi empat perkara:1)untuk agama iaitu melakukan ketaatan samaada fadhu mahupun sunat,2)untuk mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga,3)untuk berkhidmat kepada manusia dan melakukan perkara yang menberi manfaat kepada mereka,4)untuk kerehatan badan.-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna.

Langkah pertama dan seterusnya.

Pelbagai kajian yang telah dilakukan oleh para ulama berkaitan sirah nabi muhammad s.a.w.,samaada kajian yang berbentuk peristiwa semata-mata,kajian yang membongkar pengajaran dan pelajaran daripada nabi muhammad s.a.w.,kajian dari sudut gerakan dakwah nabi muhammad s.a.w. dan pelbagai bentuk kajian yang lain,ketimbunan kajian ini bukan kerana suatu kajian itu tidak memadai kepada sirah rasulullah s.a.w.,tetapi,ianya seolah-olah menggambarkan betapa luasnya skop pengajian sirah rasulullah s.a.w.

Yang demikian itu,kita seharusnya lebih cenderung untuk turut sama mengkaji sirah rasulullah s.a.w. untuk mendapatkan cara bagaimana sirah itu mampu hidup didalam diri kita,kepelbagaian rujukan mampu membantu kita untuk tidak tersimpang atau menyimpang dalam mengeluarkan hasil kajian kita terhadap sirah.dengannya juga kita mampu untuk membezakan antara marhalah dan manhaj sirah rasulullah s.a.w. dalam apa jua sudut kehidupan.

 Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah al-maidah:3.

Luangkan sedikit masa kita untuk mengkaji sirah rasulullah s.a.w.,kajilah dari setiap sudut kehidupan baginda s.a.w. sesungguhnya kita tidak akan bertemu suatu kekecewaan dalam kajian itu.muhasabah bukan untuk memikirkan kenapa masalah berlaku mencari bagaimana menyelesaikannya.


12/Safar/1433
06/Januari/2012
Bayt Farid,Amman,Jordan.

No comments:

Post a Comment