Wednesday, 11 April 2012

Mulia Atau Terus DiHina.


Alhamdulillah,sehingga saat ini kita masih diberikan kesempatan untuk menghirup nikmat Iman dan Islam.bukan semua manusia yang terpilih menerima kedua-dua nikmat besar ini,malangnya kita dengan mudah mempermainkan dua nikmat ini dengan melanggar batas-batas yang ditetapkan.namun selagi nyawa belum sampai ke halkum,selagi matahari belum terbit daripada tempat terbenamnya,Bertaubatlah kerana allah sentiasa merindukan taubat hamba-hambaNya.

"Sesungguhnya Allah 'Azza Wa Jalla ٍsentiasa Membentangkan Tangan-Nya pada waktu malam untuk menerima taubat Hamba-Nya yang melakukan kesalahan pada waktu siang,dan membentangkan tangan-Nya pada waktu siang untuk menerima taubat hamban-Nya yang melakukan kesalahan pada pada waktu malam,sehingga terbitnya matahari daripada tempat terbenamnya" -Riwayat Muslim-



Ilmu bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh,sesungguhnya orang yang meremehkan ilmu akan diremehkan didunia mahupun diakhirat,tiada tempat bagi orang yang tidak berusaha untuk mendalami ilmu sama ilmu dunia atau ilmu akhirat,ilmu fardhu ain mahupun ilmu fadhu kifayah dan lain-lain pembahagian ilmu menerut para ulama'.demikianlah gambaran didalam al-quran tentang ketinggian martabat Ilmu bilamana ayat pertama yang diturunkan kepada nabi muhammad s.a.w. adalah berkaitan Ilmu.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), [1]Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; [2]Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -[3]Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -[4]Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. [5] (Surah Al-'Alaq:1-5).

Betapa ruginya kita semua seandainya kehidupan yang terluang tidak pernah diberikan ruang untuk menambah ilmu pengetahuan,kita banyak membuang masa dengan perkara yang tiada manfaatnya pada diri dan ummah,malahan kita mungkin tergolong dalam kalangan mereka yang disebut oleh allah s.w.t. didalam (Surah Al-'Asr:2),teramat malanglah kita jika semua ini berlaku kepada diri kita yang bergelar Mahasiswa.

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (Surah Al-'Asr:2)

ISLAM & ILMU PENGETAHUAN.

Islam adalah agama yang mengangkat martabat para ulama serta martabat ilmu pengetahuan,islam meletakkan mereka ditempat yang terlalu tinggi berbeza dengan pengaruh ilmuan dalam agama selain daripada islam,sesetengah agama akan mencari para ilmuan mereka hanya untuk menyempurnakan majlis atau upacara tertentu yang memerlukan kehadiran para ilmuan tersebut.berbeza dengan islam yang menjadikan para ulama sebagai rujukan utama dalam apa jua keputusan yang ingin ditetapkan.

Perlu diingatkan,bilamana ummat islam cuba membelakangkan para ulama',maka seolah-olahnya ummat islam telah mula untuk menjejaki langkah sesat penganut agama lain.bertambah malang bilamana para ulama' dihina dan dicerca apabila mereka berkeras menegakkan kebenaran dan meruntuhkan kebatilan,semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang menghina dan mencerca Para ulama'.

Daripada Abu Darda R.a berkata,beliau mendengar rasulullah s.a.w. bersabda:"Ulama Pewaris para Nabi".
-Riwayat Abu Daud,Tirmizi & Ibnu Majah-

Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad s.a.w. banyak membawa bukti bahawa betapa Islam adalah agama yang berteraskan Ilmu pengetahuan dan para ulama adalah tunggak agama Islam itu sendiri.

1) Ilmu rukun Iman.

Syarat sah kepada keimanan adalah keilmuan,bagaimana mungkin seorang doktor mampu untuk mengubati seorang pesakit tanpa menyelidik terlebih dahulu keadaan pesakit tersebut,begitu jualah keimanan,tanpa adanya ilmu yang mampu meyakinkan kita bahawa "tiada tuhan melainkan allah",tidak mungkin kita akan beriman dengan apa yang dibawa oleh nabi muhammad s.a.w.

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat). 
(Surah Muhammad:19)


2) Ilmu Itu Ibadah.

Daripada Anas Bin Malik R.a berkata,Nabi S.a.w. bersabda:"Menuntut Ilmu suatu kewajipan keatas setiap Muslim"
-Riwayat Ibnu Majah-.

Tukang rumah tidak mungkin mampu untuk membina sebuah rumah yang dinginkan oleh tuan rumah,sehinggalah tukang rumah tersebut mengetahui dan memahami pelan yang telah disiapkan oleh arkitek.makanya,begitu juga kehidupan,bahkan terlebih utama untuk kita mendalami Ilmu berkaitan kehidupan,samaada kehidupan didunia mahupun diakhirat.

3) Al-Quran & Hadis Nabi s.a.w. mengiktiraf Ilmu.

Perkataan Ilmu didalam al-quran tidak kurang daripada 865 kali disebut dan begitu juga dengan hadis yang menyebut berulang-ulang kali perkara yang berkaitan Ilmu.

“Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah Az-Zumar:9)

Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (Surah Al-Mujadalah:11)

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (Surah Al-Baqarah:269)

Daripada Muawiyah R.a berkata,beliau mendengar rasulullah s.a.w. bersabda:"Barangsiapa yang dikehendaki dengannya kebaikan,akan difahamkan kepadanya Agama" -Muttafaqun 'Alaih-.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata,Rasulullah s.a.w. bersabda:"Barangsiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu,akan dimudahkan baginya jalan ke syurga"-Riwayat Muslim-.

Daripada Abu Hurairah R.a. berkata,sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda:"Apabila mati seorang anak adam akan terputus amalannya kecuali tiga:Sedekah Jariah,Ilmu yang dimanfaatkan dengannya,anak soleh yang sentiasa mendoakannya"-Riwayat Muslim-

Sudah terang lagi bersuluh,sesungguhnya Islam teramat menitik beratkan Ilmu Pengetahuan,bagaimana mungkin kita tega untuk tidak memanfaatkan sisa-sisa hidup ini dengan menuntut ilmu sebanyaknya dan manfaatkan kepada diri,keluarga,masyarakat dan negara.

Mahasiswa Sekarang Bukan Zaman Buang Masa.

Imam Syafie rahimahumullah dalam komentar ringkasnya berkaitan surah Al-'Asr.

"Jika manusia memerhati dan mengambil pengajaran daripada surah ini(Al-'Asr),maka memadailah bagi mereka"

Jangan kita menjadi orang bodoh,bodoh dalam menentukan masa hadapan kita,pembinaan masa "hadapan" telah bermula sejak kita dilahirkan didunia ini,ayuh! bersama kita bertaubat,tinggalkan perkara yang tidak menambahkan ilmu pengetahuan kepada kita,jangan kerana sikap dan sifat kita mengakibatkan negara terpaksa menanggung bebanan dimasa hadapan dengan bebalan mahasiswa zaman kita.

Tiada istilah isu kecil atau besar,penting atau tidak penting semuanya adalah keperluan bagi seorang mahasiswa,jangan terlalu sibuk bermain "jiwa" di zaman mahasiswa ini,bimbang menyesal di masa mendatang.susunlah masa hadapan kita bermula saat ini,belum terlambat dan sesekali tiada istilah terlambat selagi pintu taubat masih terbentang luas.

Pesan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna didalam risalah mingguan ikhwan "Hadith Tulatha".

"Kita disuruh untuk mengguna dan membahagikan masa kepada empat bahagian:

1) Untuk agama iaitu  melaksanakan segala titah perintah allah s.w.t. samaada yang wajib mahupun sunat.
2) Untuk mencari rezki yang halal untuk menanggung diri dan keluarga.
3) Untuk berkhidmat kepada manusia dengan melakukan perkara yang memberi manfaat dan faedah kepada mereka.
4) Untuk kerehatan badan.

Syeikh Tantawi al-Jauhari berpesan;

“Apabila munculnya siang maka buatlah penyusunan terhadap kerja-kerja-yang akan kamu lakukan pada hari itu mengikut masanya dan jangan melakukan sesuatu kerja bukan pada masanya. Ikutilah perancangan kamu yang awal dan jadikan riadhah/bermain pada masanya yang khusus. Ambillah contoh/tauladan daripada Nabi kita(s.a.w) dimana baginda membahagikan masanya kepada beberapa bahagian;

-Satu bahagian untuk ibadah
-Satu bahagian untuk manusia iaitu mengajar mereka...
-Satu bahagian untuk diri baginda sendiri.....

Bebaskan Diri Duhai Mahasiswa.

Zaman mahasiswa sewajarnya menjadi zaman pembinaan fikrah,idea dan intergriti,bukan lagi zaman mengkhinzir buta dengan pendapat-pendapat picisan,bukan lagi zaman ikut-ikutan,bukan lagi zaman taqlid buta,cukuplah di zaman persekolahan kita makan suap dengan para guru,cukuplah kita makan suap dengan teman-teman.jadikan zaman mahasiswa kita sebagai zaman kegemilangan dalam lembaran sejarah perjalanan diri kita.

"Orang yang banyak Ilmunya,akan kurang pertelingkahanya".


Abdul Hakim Othman
Maktabah Jami'ah Urduniyyah.
19 Jumadil Ula 1433.

No comments:

Post a Comment