Ketika Khalifah Al-Mansur datang Makkah untuk menunaikan ibadah Haji, beliau bertemu Imam Malik r.h.m., lalu keduanya rancak berdiskusi perihal hukum-hakam agama.
Lalu Abu Ja'far Al-Mansur berkata kepada Imam Malik: "Saya Berniat untuk memperbanyakkan Muwatta dan mengutuskanya ke seluruh negeri. Lalu aku memerintahkan semua rakyat untuk melaksanakan isinya dan meninggaakn kitab-kitab lain. Menurutku, mazhab yang benar adalah mazhab Ahli Madinah".
Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur adalah seorang khalifah yang amat disegani, segala perintahnya tidak ada yang berani untuk membantah. Cita-citanya mahu menjadikan Mazhab Maliki sebagai mazhab rasmi seluruh masyarakat.
Berlapang Dadalah Dalam Berselisih.
Namun, seorang yang faqih pasti mempunyai mutiara kata yang bernilai dalam menyelesaikan perkara ini. Imam Malik segera berbicara, "Wahai Amirul Mukminin! Janganlah engkau laksanakan niat ini. Sesungguhnya masyarakat kita telah mempunyai pendapat sendiri-sendiri, mereka juga membaca hadis dan memiliki riwayat. Setiap orang bebas mengamalkan pendapat yang menurutnya benar, sesuai dengan fatwa para Sahabat Nabi S.a.w.. Mencabut amalan dan pendapat yang selama ini diyakini bukanlah pekara yang mudah. Maka biarkanlah setiap orang melaksanakan pendapat yang menjadi pilihan mereka masing-masing".
Kata-kata Imam Malik tersebut mampu menyentuh hati Al-Mansur lalu beliau membatalkan hasrat hatinya, Beliau berkata, "Demi Allah, andai engkau setuju, nescaya aku akan segera melaksanakan niat ini".
Menolak Perbezaan bermakna Menolak Kenyataan.
Kisah Imam Malik ini adalah salah satu kisah yang jelas menggambarkan betapa para Ulama Ummah teguh berdiri dalam meraikan perbezaan pendapat, masih banyak lagi kisah-kisah para ulama terdahulu yang menceritakan kisah mereka dalam meraikan kepelbagaian pendapat, tidak kurang juga para Ulama yang ada pada hari ini terus-menerus mempraktikkan suasana terpuji ini.
Perbezaan yang dimaksudkan bukan hanya dalam hal hukum-hakam agama, tetapi dengan skop yang lebih luas iaitu perbezaan dalam urusan kehidupan manusia seharian samaada perbezaan diantara 2 individu, perbezaan pendapat antara pasangan suami isteri, perbezaan pendapat antara adik-beradik, persatuan, masyarakat mahupun negara. Semua ini perlu diraikan dengan disiplin yang tepat.
Sebagai contoh,
1) Seorang suami yang mana datang dari keluaraga yang susah, anak ke tiga dari tujuh adik beradik berbeza perwatakannya dengan seorang isteri yang datang dari keluarga senang, anak bongsu dari lima adik beradik. Pastinya akan wujud perbezaan di dalam ruang-ruang tertentu dalam kehidupan.
2) Begitu jugalah perihal dalam persatuan, ketua pastinya mempunyai idea yang tersendiri dalam menggerakkan persatan dibawah pimpinannya, namun tidak dapat tidak, seorang ketua perlu mengalami perbezaan pendapat daripada orang bawahannya samaada timbalan beliau mahupn ahli jawatankuasa yang lain untuk merealisasikan hasratnya.
Memaksakan Pendapat Sendiri.
Berbeza dengan hari ini, masing-masing mudah dalam melabelkan orang yang tidak sealiran dengan pegangannya dan seboleh-bolehnya mereka mahu menyatukan manusia dalam satu pendapat sahaja,
Tidak dinafikan jika berbicara berkaitan Usul Agama makanya yang membezakan adalah antara Sesat dan Lurus. Tetapi label sesat dan lurus itu tidaklah pula boleh dipraktikkan dalam perkara-perkara cabang (Furu') apabila timbulnya perbezaan melainkan hanya boleh meletakkan antara 2 istilah samaada pendapat yang pertama itu lemah dan yang kedua itu kuat atau sebaliknya.
Lebih parah apabila wujud segolongan kecil manusia yang sekeras-kerasnya mahukan agar seluruh manusia menerima pendapat golongan mereka dengan memperkecilkan pendapat-pendapat golongan lain dan melabelkan golongan lain sebagai sesat, Khawarij dan lain-lain label.
Walhal, Allah s.w.t. telah mengingatkan kepada hamba-hambanya berkaitan Perbezaan dalam kalangan Manusia sebagaimana Firman-Nya:
Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan manusia umat yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.Kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu; dan untuk itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)”. (Hud 118-119)
Sikap Para Sahabat r.a.
Kisah Imam Malik r.h.m. sebelum ini adalah salah satu kisah yang menjadi rantai penyambung apa yang berlaku kepada Ulama Sahabat dan Tabi'in beberapa dekad sebelum beliau.
Antara kisah yang masyhur dalam menggambarkan bahawa para Sahabat r.a. juga meraikan perbezaan pendapat adalah Peristiwa Perang Bani Quraidzah dan Peristiwa Perang di Bulan Ramadhan.
Ya! Para sahabat r.a. memang pernah berselisih kerana perbezaan pendapat, namun perselisihan itu hanya sekadar dalam perbincangan dan tidak sesekali membawa kepada perpecahan. Kisah yang menampak jelas berkaitan perselisihan para sahabat r.a. adalah apa yang berlaku kepada Saidina Uthman r.a. dan Abdullah Bin Mas'ud r.a..
Diriwayatkan, ketika Khalifah Uthman memimpin jemaah haji dari Madinah, beliau melakukan solat Zuhur empat rakaat sewaktu mabit di Mina. Apabila berita itu sampai kepada Abdullah Bin Mas'ud, beliau sedikit kesal dengan peristiwa itu.
Beliau berkata, "Aku bersolat bersama Nabi s.a.w. di Mina dua rakaat, aku solat dengan Abu Bakar dua rakaat, aku solat bersama Umar dua rakaat". Jadi, Uthman di mata Ibnu Mas'ud sebagai menyalahi sunnah.
Namun begitu, sejurus tiba waktu solat, Ibnu Mas'ud melakukan solat Zuhur empat rakaat seperti yang dilakukan Khalifah Uthman. Seseorang bertanya kepada Ibnu Mas'ud, "Engkau mencela Uthman kerana solat empat rakaat, tapi kenapa engkau melakukannya juga?" Beliau menjawab, "Perpecahan itu buruk".
Maka demikianlah sikap Ibnu Mas'ud, begitulah juga sikap Ibnu Umar. Imam Muslim meriwayatkan daripada Nafi' daripada Ibnu Umar katanya, "Rasulullah s.a.w. solat di Mina dua rakaat, Juga Abu Bakar dan Umar sesudahnya. Begitulah juga Uthman pada awal pemerintahannya, lalu beliau solat empat rakaat selepas itu".
Nafi' berkata, "Maka setiap kali Ibnu umar solat bersama imam, belau melakukan empat rakaat. Namun, jika solat sendirian, beliau melakukannya dua rakaat".
Ibnu Mas'ud atau Ibnu umar memang tidak sependapat dengan Uthman dalam hal ini. Namun, perbezaan pendapat ini tidak mendorong kedua-duanya untuk memisaqhkan diri dari jemaah, atau menciptakan jemaah yang baru sendiri. Kedua-duanya juga tidak melabelkan Uthman dengan pelbagai gelaran buruk seperti "Meninggalkan Sunnah", "Ahli Bid'ah", atau sebagainya.
Kedua-dua tokoh ini hanya menyampaikan riwayat yang mereka tahu, lalu tetap bergabung bersama ummat Islam. Akibatnya, perbezaan pendapat tidak menyebabkan keretakan dalam saf.
Inilah contoh yang ditunjukkan oleh para Sahabat r.a. untuk dijadikan contoh kepada ummat Islam hari ini. Sikap Para Sahabat amat berbeza dengan apa yang berlaku kepada suasana hari ini. Kita hari ini setiap kali melihat perbezaan pendapat, hati kita terlalu sempit untuk menerima perbezaan itu, lalu lidah kita sangat mudah melahirkan tuduhan. Akibatnya, perbezaan selalu berakhir dengan perpecahan yang tidak menguntungkan Ummah.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abd Baar; Sesungguhnya aku ta'jub dengan kata-kata Umar Bin Abdul Aziz : "Aku tidak suka jika sekiranya para Sahabat tidak berkhilaf, kerana jika mereka sepakat diatas satu-satu pendapat, sudah tentu orang ramai akan berada dalam kesempitan. Mereka adalah Imam-imam yang diikuti Ummah. Sekiranya seseorang berpegang dengan pendapat salah seorang daripada mereka, sudah tentu ia akan berada dalam keluasan". (Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Kaifa Nata'amul Ma'a Turath, M/s 141)
Semoga Allah memberikan kebijaksanaan di hati kita semua dalam menghadapi perselisihan pandangan secara damai dan penuh hikmah.
#Kisah dalam artikel ini dipetik dari buku "Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia" karangan Al-Fadhil Ustaz Umar Muhammad Noor, terbitan Telaga Biru SDN. BHD.
"Membangun Jiwa Khalifah"
Abdul Hakim Othman,
17 Disember 2012,
Pusat Komuniti PPMA.
Sweileh, Amman.
No comments:
Post a Comment