Sunday, 3 February 2013

Anak, Perjalanan kita jauh.

Kesempatan menuntut ilmu diusia muda adalah peluang keemasan yang mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Peluang diusia muda tidak mampu lagi diputar ketika usia tua, kegagahan diusia muda tidak lagi mampu untuk diputar ketika usia tua, kecerdasan diusia muda tidak lagi mampu untuk dikembalikan pada usia tua. 

Selepas tamat pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Allah s.w.t. Telah memberikan kesempatan untuk kembali menimbal ilmu-ilmu Al-Quran bersama Ustaz Zainal Abidin Bin Ahmad (Mantan Timbalan Mufti Terengganu 1999-2004). 

Suatu hari, selesai kelas bersama Ustaz, berpeluang bersantai dianjung surau sambil bersembang dengan ahli kelas yang lain yang kebetulan Pakcik-Pakcik yang sudah Pencen daripada perkhidmatan awam mahupun swasta. 

Sambil bersembang, datang seorang pakcik dalam lingkungan 70an, berkain pelikat, berbaju kemeja hijau berkolar, datang bertongkat, sebelah badan separuh lumpuh. 

"Boleh Tumpang duduk". Ujar Pakcik bertongkat tadi.

"Sila-sila pak cik". Balas ku. 

"Bukan nak duduk sangat pun, nak perbetul urat sikit, maklumlah,orang tua, tak lama dah nak mati". Celoteh si pakcik

"Jangan kata macam tu pakcik, mana tahu yang muda ni yang pergi dulu". Tiba-tiba terkesan dengan kata-kata itu. 

Sepatah ayat Quran keluar dari mulut pakcik, "Setiap yang bernyawa pastikan menemui ajalnya". Tambah pakcik "orang sekolah agama pandailah ayat ni". 

"Pakcik duduk kampung mana?" "Pakcik duduk Kuala Berang (45 minit daripada Bandar Kuala Terengganu)". 

"Jauhnya, pakcik mari belajar naik apa?".

"Naik kereta sewa".

 "Jauhnya!". 

Gambar Hiasan.

Suasana terkedu seketika. 

"Lama dah ke pakcik datang mangaji disini?". Soalku. 

"Sebulan baru, lepas pakcik tahu ada kelas mengaji Quran kat sini". 

"Jauhnya". Betahku. 

"Tak jauh pun, tambang kereta sewa 8.00 ringgit. Pakcik tak berasa pun 8 ringgit tu, tapi pakcik takut pakcik tak ada bekalan nak bawa masa berjalan jauh nanti.. Baca Quran pun kok, kak, kok, kak, tak lancar.. Orang yang berjalan atas dunia pun kena bawa bekal, ni kan pula orang yang nak berjalan selama-lamanya. Pakcik takut tak ada bekal masa pakcik duduk sorang-sorang dalam kubur nanti.. Kan orang tua-tua pesan, bekal nak jumpa Allah s.w.t adalah amal ibadah kita". Panjang pakcik berbicara. 

Tunduk malu aku ketika itu, malu dengan diri sendiri. 

"Pakcik balik dengan Siapa?".

"Tumpang kawan pergi Stesen kereta sewa".

"Pakcik duduk kampung apa?".

"Kampung Rahmat".

Butiran nasihat terus meluncur dari mulut pakcik tua itu. 

"Untunglah orang bandar, malam boleh belajar Feqah, Tauhid, tafsir dengan tok-tok guru, siang boleh belajar mengaji Al-Quran. Kalau duduk di hulu, boleh dengar kera dengan monyet je la". 

"Dulu pakcik pun duduk bandar juga (Kampung tempat kami belajar), masa tu, isteri bekerja di bandar, lepas tu kami pindah duduk Kuala Berang, Isteri pakcik pun meninggal di Kuala Berang". 

"Nama pakcik apa?".

 "Wahab, tapi orang kampung biasa panggil Cikgu sebab dulu-dulu pakcik mengajar budak-budak". 

Perbualan terhenti, pakcik menaiki kerata untuk ke stesen kereta sewa. Selepas ketika tu, aku catat setiap patah perbualan untuk dijadikan peringatan untuk diri.

Kegagahan dan kecerdasan usia muda tidak akan mampu untuk diulangi lagi walau air mata darah sekalipun yang menjadi tukaran, akan tetapi jika kepemudaan itu dimanfaatkan pastinya diusia tua kelak ada tunas yang akan mengeluarkan buah.

Abu Abdul Rahman.
04022013. 
Sweileh, Amman. 

No comments:

Post a Comment