Sunday, 27 January 2013

Rasulullah s.a.w. Dan Aisyah r.ha.. Contoh Terbaik Baitul Muslim.

Tulisan ini ditujukan Khas untuk Sepupuku Maryam Fatini Binti Mohd Zabuddin yang telah melangsungkan Perkahwinan pada 26 Januari 2013 bersamaan 14 Rabi'ul Awal 1434 bersama Pemuda bertuah Ariff Aizat Bin Abdul Razak.

***

Melangkah ke gerbang perkahwinan adalah suatu manifestasi kebenaran cinta yang sebenar bagi orang yang dilamun cinta, jika hanya bercinta untuk suka-suka tanpa ada niat untuk berkahwin, makanya hubungan itu perlu diteliti semula dan diubah niat perhubungan itu.

Dalam meniti kehidupan berumah Tangga, Kehidupan Rasulullah s.a.w. adalah sebaik-baik contoh untuk dijadikan contoh, bahkan asas kepada Baitul Muslim yang sempurna adalah mencontohi baitul muslim rasulullah s.a.w.

Bagaimana Mencontohi Rasulullah s.a.w.?

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Surah Al-Ahzab, ayat: 21)

Persoalan bagaimana mencontohi telah banyak dihuraikan didalam Al-Quran mahupun Sunnah, bahkan Para Ulama' telah mengarang beribu-ribu kitab untuk menjelaskan kepada Ummah berkaitan tatacara Rasulullah s.a.w. samaada hubungan Baginda S.a.w. dengan Allah s.w.t. dan hubungan Rasulullah s.a.w. dengan manusia.


Daripada Abu Hurairah r.a., Sabda Nabi s.a.w. : "Aku tinggalkan kepada kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.". (Riwayat Imam Malik, Muqaddimah Mastika Hadith, m/s 14)

Jawapan bagi persoalan tadi adalah dengan mengkaji dan mendalami Sunnah rasulullah s.a.w. daripada sumber yang telah disepakati kesahihannya serta mencedok ilmu-ilmu daripada para Ulama' yang menyampaikan Ilmu berdasar Sunnah yang sahih tanpa adanya campur aduk dengan perkara-perkara yang direka cipta berdasarkan kepuasan hawa nafsu pihak-pihak tertentu.

Apa yang Istimewa?

Bila berbicara soal Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.ha., semua pasti teruja dengan hikmah yang terkandung didalam kehidupan dua tokoh agung ummah ini.

Bermula dengan keperibadian Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.ha. sehinggalah kepada kepemimpinan, Keilmuan dan lain-lain aspek lagi daripada aspek kehidupan Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.ha., sudah pasti meninggalkan kesan yang mendalam kepada sesiapa yang berani meneliti dan mengkaji perjalanan hidup dua tokoh agung ini.

Istimewakah Aisyah r.ha. di hati Rasulullah s.a.w. ?

Jika ingin berbicara tentang keperibadian Rasulullah s.a.w., cukuplah dengan Fiqh Sirah (Al-Buti), Fiqh Sirah (Muhammad Al-Ghazali), Sirah Nabawiyyah (Abu Hassan Ali An-Nadawi), Syamail Muhammadiyyah (Imam Tirmizi), Rahequl Makhtum (Mubarakfuri), Zaadul Ma'ad (Ibnu Qayyim) dan puluhan ribu lagi catatan mengenai Insan terpilih Nabi Muhammad s.a.w.

Namun, jika dicari sumber untuk rujukan berkaitan mereka yang berada disekeliling Rasulullah s.a.w., maka hasilnya amat sedikit dan jarang, yang ada hanyalah catatan-catatan hujung para Muhaddith didalam Kitab Jarh Wa Ta'dil dan beberapa buku Sejarah Islam. Bahkan jika diteliti di Tanah Melayu, hasil kajian sejarah hidup para Sahabat r.hum. dan Isteri-Isteri baginda r.hum amat sukar untuk ditemui apatah lagi untuk dimiliki. 

Secara umum, Aisyah r.ha. adalah merupakan Puteri Kesayangan Abu Bakar As-Siddiq r.hu. yang merupakan sahabat karib Rasulullah s.a.w. dan ibu kepada Aisyah r.ha ialah Ummu Ruman.

Nabi s.a.w. Bersabda : " Sekiranya aku boleh mengambil seorang khalil (teman khusus), nescaya aku ambil Abu Bakar sebagai khalil, namun persaudaraan Islam itu lebih afdal (utama)". (Riwayat Bukhari) 

Aisyah r.ha. adalah satu-satunya Isteri Rasulullah s.a.w. yang dikahwini oleh baginda Rasulullah s.a.w. semasa wanita itu perawan. perkara ini menjadi hujjah untuk menolak tohmahan kepada Orientasis yang melabel rasulullah s.a.w. dengan label yang tidak wajar.

Selain itu, perkahwinan Aisyah r.ha. dan Rasulullah s.a.w. bukanlah perkahwinan yang biasa tetapi ianya adalah perkahwinan yang luar biasa. Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Aisyah r.ha. adalah perkahwinan yang diwahyukan oleh Allah s.w.t.

Daripada Aisyah r.ha., Sabda Nabi s.a.w. : " Aku bermimipi melihatmu selama tiga hari berturut-turut. Malaikat datang kepadaku dengan membawa gambaranmu di dalam balutan sehelai kain sutera. Dia berkata, "Ini adalah gembaran isterimu". Aku pun membuka kain sutera yang menutupi wajahmu itu, ternyata itu adalah kamu. Maka aku katakan, "jika memang ini daripada Allah, nescaya Allah melaksanakannya". (Riwayat Muslim)

Keistimewaan Aisyah r.ha. tidak terhenti disitu sahaja, dalam sebuah hadith Sahih diriwayatkan daripadda 'Amru Bin Al-'Ash r.ha., salah seorang sahabat yang memeluk Islam pada tahun ke-8 Hijrah. Kononya dia bertanya kepada Nabi s.a.w., "Siapakah manusia yang paling engkau cintai, wahai Rasulullah?" baginda menjawab, "Aisyah". Dia bertanya lagi, 'Dan siapa yang paling engkau cintai dalam kalangan lelaki?" Baginda menjawab, "Ayahandanya". dalam hal ini jelas menunjukkan bahawa betapa istimewanya Aisyah r.ha. di hati Rasulullah s.a.w.

Masih banyak keistimewaan Aisyah boleh terus diteliti dan dikaji untuk dijadikan contoh tauladan buat Ummah.

Apa yang ada dalam Baitul Rasulullah s.a.w.?

1) Manifestasi Cinta & Kasih Sebenar.

Menyelusuri plot-plot hidup Rasulullah s.a.w. bersama Aisyah r.ha., makanya ternyata cinta dan kasih dalam rumah tangga bukanlah datang daripada satu pihak sahaja samaada dari pihak suami sahaja atau sebaliknya. Tetapi cinta dan kasih itu datangnya dari dua insan yang saling memahami antara satu sama lain, bukan semata-mata mementingkan diri sendiri atau kepentingan lain.

Rasulullah s.a.w. seorang yang amat memahami cinta dan kasih kepada isterinya. Dalam sebahagian perwatakan rasulullah s.a.w. telah menyatakan cinta dan kasih tersebut.

Daripada Aisyah r.ha., Sabda nabi s.a.w. : " Demi Allah, aku melihat Rasulullah s.a.w.  berdiri di hadapan pitu bilikku sewaktu orang habsyah bermain latihan perang di masjid. Baginda mebairiku dengan jubah baginda (sehingga aku terlindung daripada pandangan mereka) agar aku dapat menyaksikan pertunjukan mereka dengan bebas. Baginda sanggup berdiri sehingga aku puas menyaksikannya. (Apabila Baginda sanggup berbuat demikian) maka fikirkanlah kadar waktu yang sesuai bagi usia gadis yang suka kepada permainan". (Riwayat Muslim) 

2. Saling Meraikan antara satu sama lain.

Meraikan orang lain bukan hanya dicari dalam perkahwinan, ianya juga diperlukan dalam persahabatan, perhubungan antara adik-beradik, bersama ibu bapa dan sanak-saudara.

Keadaan Aisyah r.ha. yang masih muda remaja ketika berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. telah menjadikan rasulullah s.a.w. yang amat meraikan pasangannya, Baginda s.a.w. melayani "Karenah" Aisyah r.ha. dengan penuh hikmah.

Daripada Hisham Bin 'Urwah, daripada Ayahnya, Daripada Aisyah r.ha., dia berkata:" Nabi s.aw. mengajakku berlumba lari dan aku sering menang. Suatu ketika bilamana tubuhku yang sudah berisi, Baginda mengajakku berlumba lagi dan ternyata Baginda yang menang, lalu Baginda berkata, "Wahai Aisyah! kemenanganku ini untuk menebu kekalahanku yang dahulu". (Riwayat Ibnu Hibban)

3. Didikan bersederhana dalam semua perkara.

Islam menuntut untuk ummatnya bersederhana dalam semua perkara, tidak perlu ada sifat menunjuk-nunjuk, bermegah-megah dan membesar-besarkan perkara material.

Aisyah r.ha. Berkata :" Pernah berlalunya bulan, demi bulan, demi bulan, dapur rumah Rasulullah s.aw. tidak berasap". 



Kesimpulannya, Tulisan diatas hanyalah cebisan kecil daripada apa yang berlaku dalam Plot hidup Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.ha., ianya bukanlah untuk memberikan maklumat, tetapi lebih kepada pembuka jalan untuk terus mengkaji, baki yang masih menimbun bolehlah dicari dan dikaji untuk memahami lebih dekat tentang keperibadian Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.ha. dalam berumah tangga.

Jika ada yang berpeluang untuk mengkaji sejarah Hidup Aisyah r.ha., maka gunakanlah peluang itu untuk mengaji samaada dalam hal keilmuan, kefaqihan, keperibadian, politik dan sebagainya.

Cukuplah pujian Rasulullah s.a.w. keatas Aisyah r.ha.

Rasulullah s.a.w. bersabda : " Kelebihan Aisyah ke atas wanita lain adalah seperti lebihnya ats-tsarid (sejenis makanan yang lebih banyak manfaat dan disukai Baginda s.a.w.) berbanding makanan lain". (Riwayat Bukhari) 


#Tulisan ini adalah berdasarkan pembacaan dan penelitian semata-mata, bukan didasari dengan pengalaman yang dilalui atau sebagainya. Oleh itu, segala ketelanjuran dan kekurangan amat-amat dikesali. semoga ianya memberi sedikit pencerahan minda kepada semua.


Abdul Hakim Othman,
28 Januari 2013.
Kg Binjai Berambu, Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment