Monday, 13 May 2013

Jangan kedekut, berdoalah untuk saudaramu!

Sesuatu yang sememangnya diluar pemikiran seseorang, bila seorang insan bangun menadah tangan berdoa kepada tuhannya, menyatakan hajat-hajatnya untuk dimaqbulkan, dipohon dipermudahkan segala urusannya, samaada doanya itu terus dijawab atau digantikan dengan perkara yang lebih baik mahupun ditangguhkan sehingga hari kiamat kelak, semua ini adalah bukti kekuatan Iman seorang mu'min yang yakin dengan Allah s.w.t. dan Alam Ghaib. Mana mungkin seorang yang lemah imannya mampu merendahkan hati memohon kepada apa yang tidak pernah dilihatnya. Ajaib!

Jiwa seorang mu'min adalah jiwa yang paling tenang, dia sentiasa yakin bahawa dirinya tidak pernah bersendirian kerana Allah s.w.t. sentiasa ada bersamanya, tika diri seorang mu'min berasa lemah kepada Allah lah dia mengadu, bila seorang mu'min berada dalam kesempitan, kepada Allah lah dia memohon pertolongan, bila seorang mu'min merasa dirinya penuh bersalah, kepada Allah lah dia memohon keampunan. Tanpa berhajat kepada apa-apa perantaraan mahupun orang tengah, seorang mu'min mampu untuk berdialog terus dengan Penciptanya.

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (Qaf : 16)

Mengikat diri dengan doa adalah suatu yang luar biasa, tidak terfikir oleh insan bilamana hajat-hajatnya yang diminta berpuluh-puluh tahun lalu baru hari ini dikurniakan. dia meminta untuk dikurniakan seorang isteri yang solehah. namun, pada awal pernikahannya, pelbagai ujian yang menimpa, sering sahaja kisah duka melanda, bahkan berontakannya seolah-olah tiada penyelesaiannya. namun usaha dan tawakkalnya telah menguatkan dia untuk terus berdoa kepada Allah s.w.t. dan dia mendapat apa yang dihajatinya selama berpuluh tahun yang lalu.

Doa untuk Saudara.

Mu'min adalah sebuah keteguhan yang bukan hanya dibina atas dasar kekuatan individu, tapi disana ada satu kekuatan yang membina jati diri mu'min iaitu Cinta. Cinta untuk melihat saudara bersama dalam kebaikan, cinta untuk melihat saudaranya dalam kesenangan, cinta untuk bersama saudaranya ke syurga.

"Tidak (Sempurna) iman seorang daripada kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri" Riwayat Bukhari dan Muslim. 

Lain orang lain cara mereka meluahkan rasa cinta kepada saudara mereka, ada yang sanggup berbelanja besar semata-mata menjaga hati saudaranya, ada yang sanggup menyusahkan diri mereka semata-mata mencari redha saudaranya bahkan berkorban apa yang disayangi jika keadaan memerlukan semua itu, betul atau salah itu terserah kepada nilaian ikhlas seseorang dan tidak melangkaui batas ketetapan Allah s.w.t.

Mungkin kita semua terlepas pandang dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.


"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". 

Bila nilai cinta seorang saudara kepada saudaranya adalah semata-mata kerana Iman, maka dari situ timbullah satu manfestasi keikhlasan seorang saudara kepada saudaranya yang ingin bersama-sama mencapai keredhaan Allah s.w.t..

Sebahagia ulama yang mensyarahkan hadis ini menyebut, sebab mustajabnya doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain bukanlah kerana nilai persaudaraan semata-mata, akan tetapi disebaliknya itu ada nilai keikhlasan cinta seorang saudara kepada saudaranya, dia bersembunyi di hening hari, tanpa pengetahuan sesiapa kecuali dia dan Allah s.w.t semata-mata, dia menadah tangan dengan setulus keikhlasan berdoakan kesejahteraan dan keamanan bagi saudaranya.

Doa yang dilafazkan bukanlah datang daripada mana-mana paksaan mahupun permintaan, tetapi ia adalah bukti kasih seorang saudara kepada saudaranya.

Ringankan mulut untuk berdoa.

Ringankanlah mulut kita untuk sama-sama berdoa kebaikan dan kebahagiaan kepada setiap saudara seagama kita. Balaslah kejian dan keburukan yang dilemparkan dengan kebaikan, doakan kebaikan itu juga satu kebajikan!.



No comments:

Post a Comment