Sunday, 7 April 2013

Tiang, Paku dan Dosa.

Mengajar dan mendidik seorang anak adalah merupakan tanggungjawab kedua ibu bapa dan ia merupakan hak seorang anak daripada kedua ibu bapanya.

Cara dan kaedah pendidikan dan proses pengajaran adalah berbeza menurut apa yang dirasakan baik oleh ibu bapa.

Satu kisah yang sangat menarik diriku dalam perihal seorang ayah yang mendidik anaknya yang amat menyukai melakukan dosa. Bukanlah anaknya seorang yang jahil agama, bahkan anaknya itu seorang penuntut dalam bidang agama.

Perihal dosa dan pahala menjadi tajuk utama pelajaran si anak, namun hawa nafsu yang menguasai diri tidak dapat mengatasi Ilmu dan Iman yang dimiliki, sering sahaja si anak tergelincir ke dalam lembah dosa.

Nasihat dan teguran daripada seorang bapa sering sahaja kedengaran, namun jiwa kontang si anak langsung tidak  mempedulikan semua itu bahkan melanggar segala nasihat dan teguran si bapa.

Ya, memang benar seorang manusia yang berdosa bisa bertaubat di kemudian harinya, namun hari yang kemudian itu bukanlah boleh diambil sebagai janji kerana ajal datang tidak ada khabar dan berita terlebih dahulu.

Dengan penuh hikmah, si bapa memilih satu jalan yang dilihat sebagai jangkal oleh si anak.

Gambar Hiasan.

Setiap kali anaknya melakukan kesalahan, ayahnya akan memaku sebatang paku pada tiang di tengah-tengah rumah mereka, kehairanan si anak tidak memberikan apa-apa kepada sikapnya, bahkan kecenderungannya terhadap maksiat berterusan.

Si ayah berterusan melakukan perkara yang sama, setiap kali si anak melakukan dosa, sebatang paku akan dipaku pada tiang yang sama. lama-kelamaan, penuh tiang tersebut dengan pakuan paku dek bilangan maksiat yang diketahui si bapa telah dilakukan oleh anaknya.

Timbullah suatu hari, kesedaran kunjung tiba dalam hati si anak, kesedihan melanda jiwa si anak kerana memikirkan segala dosa-dosa yang telah diperbuatnya selama ini sedangkan bapanya sering sahaja mengingatkan kepadanya agar menjauhi segala larangan Allah s.w.t. namun dia langsung tidak mengendahkannya.

Mulailah si anak bertaubat kepada Allah s.w.t., setiap dosanya dirintih kepada Allah s.w.t., menghina diri diatas segala dosa yang dilakukan selama ini dan memohon pengampunan diatas segala ketelanjuran yang telah diperlakukan selama ini.

Dengan penuh hikmah si bapa menghadiahkan sebatang Tukul kepada si anak dan mengajarkan kepada si anak supaya setiap kali bertaubat, maka cabutlah sebatang paku daripada tiang tersebut.

Kehairanan mula timbul, persoalan yang bermain di fikiran si anak tidak terus dijawab oleh si bapa, bahkan dinasihati anaknya supaya berterusanlah bertaubat kepada Allah s.w.t. dan lakukan apa yang disuruh oleh bapanya.

Hinggalah suatu hari, selesai si anak mencabut paku terakhir pada tiang, si bapa lantas bersuara.

Wahai anakku, memang benar Allah s.w.t. dan Rasul-Nya telah menjanjikan bahawa kepada mereka yang melakukan dosa itu pengampunan selagi mana dia tidak berlaku syirik kepada Allah s.w.t., bahkan mereka yang beratubat dijanji penyucian seumpama bayi yang baru dilahirkan. namun ingatlah!, dosa itu bukan hanya memberi kesan kepada buku amalanmu, dosa mu juga memberikan kesan kepada hati dan jiwamu..

Begitulah dengan Tiang, Paku dan Tukul. Paku yang dipaku itu umpama dosa, dan Tiang itu umpama dirimu dan Tukul itu adalah usaha taubatmu. selesai sahaja kamu membuang paku-paku daripada tiang itu, masih lagi meninggalkan kesan lubang paku pada tiang, begitulah juga dosa meninggalkan kesan kepada kita.

Semoga Allah s.w.t. mengampuni segala dosa kita dan menutup segala keaiban kita.

No comments:

Post a Comment