Saturday, 29 March 2014

Cita-cita Besar daripada Insan Kerdil.

Selayaknya hanya kepada Allah dicurahkan segala pergantungan dan pengharapan.

Kali kedua diberi amanah duduk bersama kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan(MPMMJ). Tiada beza antara aku teman-teman melainkan aku dibebankan dengan satu jawatan yang bakal dipertanggungkan dihadapan Rabbul Izzah di padang mahsyar.

Tiada banyak yang aku mampu sampaikan, melainkan sedikit harapan. Kurang 9 bulan daripada tarikh aku dibebankan dengan satu amanah, MPMMJ bakal menyambut ulangtahun penubuhan yang ke 15 tahun. Sudah pasti banyak pengalaman yang telah MPMMJ corakkan dalam kalangan warga mahasiswa Malaysia di Jordan.

Asas yang aku letakkan. [Aali-Imran:104]

Bukanlah satu keputusan yang mudah aku ambil untuk cuba bersama-sama menyumbang dalam MPMMJ, berhari-hari bertanya kepada isteri yang baru sahaja disahkan hamil adakah benar keputusan ini. Berat! tapi satu hal aku bisikkan pada isteri tercinta.

“Ni peluang abang nak menyumbang, lapangan abang untuk berdakwah, abang takde kelebihan lain untuk memberi sedikit sumbangan pada orang.”

Tetapkan hati, dengan sokongan isteri, ibu bapa dan teman-teman, aku memilih jalan ini.
Jalan untuk aku laksanakan sedikit sumbangan pada jalan dakwah.

Nasib berubah dipermulaan perjalanan.

Tidak pernah terdetik untuk dilantik sebagai orang tertinggi dalam sesebuah perkumpulan, yang ada hanyalah menjadi seorang yang boleh menyumbang kepada teman-teman.
Tapi semuanya berubah. Yang dirancang berubah mengikut perancangan Ilahi. Semoga inilah jalan aku.


MPMMJ; Komuniti impian kita.

Tidaklah selayaknya untuk aku mencoret semua ini, tetapi, sebagai harapan besar daripada insan yang kerdil aku coretkan serba sedikit untuk menjadi panduan aku melunaskan tanggungjawab yang dibebankan.

Sebagai permulaan, apa yang aku suka untuk lihat dalam keluarga besar MPMMJ adalah suasana toleransi dan keterbukaan dalam meraikan kepelbagaian. Tidak mampu lagi untuk dinafikan kepelbagaian yang wujud, apalagi menyekat dan menghalang kepelbagaian yang ada.

Berkurun-kurun ummat Islam ditanamkan nilai bahawa “Kepelbagaian itu rahmat.”. Rahmat kepelbagaian dalam saling lengkap-melengkapi, rahmat kepelbagaian dalam saling bantu-membantu dan tolong-menolong, rahmat kepelbagaian dalam bekerjasama menjayakan.

Al-Quran menyatakan dengan jelas kepelbagaian yang ada dalam kalangan manusia itu adalah suatu ujian dalam menentukan kemuliaan;

“Dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” (al-Hujurat:13)

Yang dimaksudkan dengan “berkenal-kenalan” (Le-Taarafu) didalam ayat tersebut adalah saling bergaul dalam kalangan kamu dalam keadaan Ma’ruf, saling membantu dalam kebajikan dan perkara yang membawa kemaslahatan bersama samaada sesame saudara-saudara yang terdekat mahupun yang berjauhan. Dan bekerjasama dalam menentang perkara-perkara dosa dan permusuhan walaupun permusuhan itu datang daripada orang yang paling hampir mahupun orang yang paling dicintai. (Dr Salman Audah, Wala Yazaluna Mukhtalifin).

Komuniti yang kita impikan komuniti yang prihatin dan cakna suasana sekeliling kita. Komuniti yang hidup budaya nasihat-menasihati, tegur-menegur antara satu sama lain.

Warga MPMMJ; Harapan baru untuk Malaysia.

Mungkin titik ini sedikit menerawang, tetapi itulah cita-cita besar. Cita-cita ingin melihat mahasiswa Malaysia di Jordan suatu hari menjadi peneraju utama perubahan yang dicita-citakan seluruh warganegara Malaysia. Perubahan lanskap Ekonomi, Politik mahupun sosial, itu semua menjadi citra utama mahasiswa Malaysia di Jordan untuk melihat Malaysia sebuah Negara yang maju daripada pelbagai sudut.

Mahasiswa Malaysia di Jordan sebagai perintis kepada lanskap politik Negara yang selama ini dalam suasana tegang dan menyesakkan kepada lanskap politik harmoni, hormat-menghormati dan kerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertoleransi dalam perkara yang berbeza pandangan padanya.

Dimana harus kita bermula?!.
Aku sendiri tidak tahu bagaimana harus untuk aku bermula. Mengikut sedikit apa yang pelajari, Ilmu adalah asas kepada pembangunan sesebuah bangsa. Pembudayaan ilmu yang sihat dalam kalangan warga mahasiswa adalah menjadi tiang asas pembangunan komuniti yang dicita-citakan. Pembudayaan ilmu bukan sekadar hidup di kelas-kelas kuliyah, yang lebih penting, pembudayaan ilmu juga hidup dalam kelas-kelas talaqqi bersama para guru di masjid-masjid, perbincangan ilmiah dalam kalangan warga mahasiswa dan pelbagai lagi medan pembudayaan ilmu yang boleh terus untuk dihidupkan.

Cita-cita besar ini juga akan tempang jika elemen pembangunan diri seorang muslim terabai, solat berjemaah, usrah, riadhah dan kuliyah-kuliyah yang berbentuk tazkiah nafs juga menjadi asas utama untuk kita semua bermula.

Penutup.

Besarlah cita-cita yang cuba digapai, besar jugalah bayaran pengorbanan yang perlu dibayar. Perubahan tidak pernah hadir secara kebetulan melainkan ia hadir dengan satu perancangan yang digembeleng bersama untuk mencapainya.


Hari ini, aku masih lagi memujuk diri, terimalah hakikat bahawa diri dibeban dengan amanah yang akan disoal Rabbul Izzah di akhirat nanti.

Akhukum Fillah,
Abdul Hakim Othman.
29 Mac 2014.
Irbid, Jordan.

No comments:

Post a Comment