Tuesday, 8 April 2014

Pemuda 'Subuh' disaksikan malaikat.

17 Februari 2012.

Perancangan asal hanya sekadar untuk bertemu mata dengan seorang Ulama Tafsir yang telah banyak mengarang kitab-kitab berkaitan Al-Quran. Kagum dengan karya Qasasul Quran (3 Jilid) yang beliau hasilkan ketika berusia 30 tahun, sehingga hari kitab tersebut masih lagi menjadi rujukan.

Ketika azan subuh, Beliau telah berada di masjid. 2 rakaat solat sunat dan 1 juzu’ al-Quran menjadi hidangan harian beliau.


Gambar ketika Syeikh Solah al-Khalidi ketika menyampaikan Kuliah umum di Bayt PRISMA, Mafraq.

Mendapat lebih daripada yang diharapkan

Mulanya, cadangan mengadakan kelas bersama Syeikh Solah al-Khalidi h.zh hanya lontaran idea untuk kelas kecil-kecilan. Alhamdulillah, bermula dengan satu Kuliah Umum bersama ahli PPMA di dewan Da’abis, berlanjutan ke Markaz Muhafazah Al-Quran dan ke rumah Syeikh h.zh

Peluang yang tidak disia-siakan.

Itu semua hanya sekadar selingan, selingan bagaimana seorang guru mendidik anak-anak didiknya untuk melazimi subuh berjemaah. Setiap kali ada sahabat-sahabat yang ingin bertemu beliau, pastinya, subuh di masjid menjadi ‘syarat’ utama.

Kenangan teman-teman "Subuh" bersama Syeikh Solah al-Khalidi h.zh di Masjid Farid al-Khalil 


Seketika berdua.

Solat subuh pagi tersebut, Imam membacakan petikan ayat daripada surah al-Isra’.

Kesempatan berjalan pulang ke rumah Syeikh aku cuba melontarkan persoalan sekitar isu Mesir dan tafsiran ayat وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا ?

“Syeikh, apa yang dimaksudkan dengan  وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا, adakah yang dimaksudkan itu adalah bacaan al-Quran pada waktu pagi ?” 

“Yang dimaksudkan dengan ayat tersebut adalah bacaan Solat Fardhu Subuh, kerana ketika itu malaikat menyaksikan hamba-hamba yang sedang menunaikan solat.”

Tafsir Ringkas.

Ketika menafsir ayat وَقُرْآنَ الْفَجْرِ , Ibn Kathir r.hm menyebut bahawa yang dimaksudkan disini ialah ; Solat Subuh. Didalam Sahih Bukhari, Imam Bukhari r.hm ketika menafsirkan ayat إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا , Beliau membawakan tafsiran daripada Mujahid r.hu iaitu ; Solat Subuh.

Terlalu banyak hadith-hadith yang menceritakan kelebihan solat subuh.

Antara hadith masyhur yang menceritakan berkaitan ayat ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Abu Hurairah r.hu., Nabi s.a.w. bersabda:

“Kelebihan solat berjemaah berbanding solat bersendiriaan itu adalah dengan 25 kali ganda ganjaran, dan para malaikat yang bertugas pada waktu malam dan waktu siang akan berkumpul pada waktu solat subuh. Abu Hurairah berkata; dan bacalah apa yang kamu kehendaki  ( وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا).”

Pemuda yang disaksikan malaikat.

Daripada Abu Hurairah r.hu, Nabi s.a.w. (Menafsirkan ayat) وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا, Sabda Nabi s.a.w. “Ia (bacaan dalam solat subuh) disaksikan oleh para malaikat yang bertugas pada waktu siang dan waktu malam.” (at-Tabari)

Mengkhususkan Solat subuh berbanding solat-solat lain bukan bermaksud solat fardhu yang lain itu kecil ganjarannya, bahkan al-Quran juga secara jelas mengajar kepada orang-orang yang beriman untuk sentiasa menjaga dan memlihara solat kerana solat adalah tiang dan tunjang kepada agama.

Namun, yang menjadi persoalan utama adalah, Allah s.w.t. menjadikan sesuatu yang istimewa didalam solat subuh.

Ketika manusia lena di ulit mimpi.

Kehangatan dalam selimut.

Allah menjadikan solat subuh sebagai kayu uji kepada orang beriman untuk melihat betapa kebenaran dan keikhlasan keimanan seseorang mukmin.

Apabila dikatakan bahawa solat subuh itu disaksikan oleh para malaikat yang bertugas pada waktu siang dan waktu malam, ia tidak menafikan bahawa solat-solat lain tidak disaksikan oleh para malaikat. Akan tetapi dek kerana terlalu istimewa solat subuh itu. Allah s.w.t. merakamkan satu ayat khusus untuknya untuk menggambarkan kelebihannya.

Beruntunglah mereka yang melazimi solat subuh berjemaah kerana ianya disaksikan para malaikat. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang disaksikan para malaikat.

Bersembang selepas solat fardhu Isya’.

Para Ulama mazhab Hanafi, Maliki, Sya’fie dan Hanbali bersepakat bahawa hukum bersembang kosong selepas selesai menunaikan solat isya’ adalah ditegah (makruh).
Daripada Abi Barzah r.hu, “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah untuk tidur sebelum isya’ (Sebelum menunaikan solat isya’) dan bersembang selepas daripadanya (Selesai menunaikan solat).” (Riwayat Bukhari)

“Sebab ditegah daripada bersembang kosong selepas selesai menunaikan solat isya’ adalah kerana dibimbangi terlewat menunaikan solat subuh atau terlepas waktu subuh atau tertinggalkan daripada menunaikan tahajjud.” (Fiqh Ibn Mas’ud; Dr Abdullah Bin Mohd Bin Abdul Rahman al-Juma’ah)

Namun, diharuskan untuk bersembang (baca;perbincangan) dalam perkara-perkara yang membawa kebaikan dan kemaslahatan  seperti membaca al-Quran, memuliakan tetamu, perbincangan dalam ilmu-ilmu feqah dan perbincangan ilmiah yang lain. Apa yang penting perkara tersebut membawa kepada faedah dan kebaikan.

Daripada Umar bin al-Khattab r.hu, “Sesungguhnya Nabi sa.w. berbincang (selepas solat isya’) bersama Abu Bakar r.hu berkaitan urusan orang Islam, dan aku ada bersama mereka berdua.” (Riwayat Tirmizi).

Doa Nabi Muhammad s.a.w. Kepada Ummatnya.

Menjadi kebiasaan para pedagang arab untuk keluar berdagang pada waktu awal pagi, begitu juga diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. jika ingin menghantar tentera untuk keluar berjihad, maka Baginda s.a.w. akan mengiringi mereka pada waktu awal pagi.

Begitulah kita selaku mukmin. pagi seorang mukmin itu dimulakan dengan penuh keberkatan, solat subuh, zikir ma’thur, bacaan al-Quran lalu dititip pula pengisian-pengisian ilmu.

Semoga kita tergolongan dalam kalangan mereka yang didoakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam doa Baginda s.a.w.

 “اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا

Ya Allah, Berkatilah Ummatku pada waktu pagi mereka.” (Riwayat at-Tirmizi)


Catatan,
Abdul Hakim Othman.
07 April 2014.
Irbid, Jordan.

No comments:

Post a Comment