Showing posts with label Bingkisan. Show all posts
Showing posts with label Bingkisan. Show all posts

Sunday, 11 November 2012

Jangan Sempitkan Erti Perjuangan.


"Enta kena faham, ini semua untuk kepentingan perjuang kita".

"Tapi ana tak minat untuk ambil syariah, ana nak ambil Bahasa".

***

"Enta ambil bidang apa?".

"Ana nak ambil bahasa, tapi abang-abang suruh ambil syari'ah".

"Ambil je bahasa pun, ikut apa yang kita minat, jangan ikut orang, tak ramai yang minat bahasa".

"Tu la, ana pun nak tak tahu je, ana tetap nak ambil bahasa".


Begitu sempit kefahaman sesetengah pihak yang meletakkan bahawa perjuangan itu hanya dalam skop-skop tertentu.

Hidup dalam keadaan puak-puak mereka,

Hanya membaca buku yang sealiran perjuangan mereka,

Menyokong tokoh yang sealiran dengan perjuangan mereka seolah-olah tiada salah pada tokoh itu,

Mengambil pendapat yang memenangkan perjuang mereka dan menyimpan yang sebaliknya,

Membantah puak yang tidak sealiran dengan mereka.     

Aduh!  Kejinya perjuangan.


Korbankan pelajaran demi perjuangan.

"Ana ada exam esok, tak dapat datang program".

"Enta kena faham, perjuangan ni nak tolong agama Allah, bila kita tolong agama Allah, Allah tolong kita, ana dulu pun tak study, tapi bila exam ok je".

"Ok, Insya Allah, esok ana datang".

Jika perjuangan digenggam itu mampu membantu pelajaran tanpa ada sebarang usaha belajar, Alangkah!

Tanpa menafikan "Nasrun Minallah", begitu kita tidak mampu untuk menafikan Usaha sebelum Tawakkal.
  
Jika dikatakan jumud berpegang dengan bentuk kefahaman sedemikian rupa, timbul pula khatim-khatim "Haluan Kiri", "Lawan Tauke", "Tak Faham Perjuangan", "Tak Cukup Tarbiyah".

Tapi!

Itulah perkataan yang paling sesuai.


Jangan sampai yang dikatakan perjuangan itu tercalit kotoran kerana "Sikap" kita.

"Enta belajar kat mana sekarang".

"Ana belajar kat timur tengah".

"Dah tu kerja kat pejabat tu?"

"Oh, Ana tangguh jap pengajian ana, Nak tolong perjuangan".

"Dah takde orang ke nak tolong buat kerja tu?".

"Bukan senang nak cari orang yang faham perjuangan ni".

Eh! Susah sangat ke perjuangan yang perlu difahami sehinggakan hanya 2-3 kerat yang faham.

Cukuplah sempitkan perjuangan.

Mudahkan ia.

Gambar Hiasan.

Yang masih bergelar penuntut, teruslah menuntut kerana itu perjuanganmu.

Pelajar pengajian islam ada pejuangan dalam bidangmu.

Pelajar bahasa ada perjuangan dalam bidangmu.

Pelajar Perubatan, Pergigian, Kejuruteraan, dan lain-lain bidang ada perjuangan dalam bidangmu.


Bantulah perjuanganmu, bina kekuatanmu.


Dimana kita berada, disitulah medan kita.


Jangan Gopoh.


Jangan Gelojoh.


Jangan punahkan masa depan dengan salah memahami istilah "Perjuangan".


"Membangun Jiwa Khalifah".


Abdul Hakim Othman.
Sweileh,Jordan.
12/11/2012.    

Friday, 2 November 2012

Uruslah Cinta Untuk Ke Syurga.


Tulisan ini tidak mampu untuk dijadikan dalil mahupun hujjah, namun mungkin boleh dinilai semula berkaitan pemahaman terhadap chenta.

1) Setiap kali diperkatakan tentang chenta sebelum kahwin, pastinya penuntut dibidang Pengajian Islam yang menjadi sasaran, seolah-olah agama allah itu turun untuk mereka yang belajar di bidang pengajian islam semata-mata. Ingat! agama islam itu datang kepada semua, bahkan bukan sekadar manusia sahaja, akan tetapi keseluruh alam islam itu menjadi rahmat. 

::Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam::.[Al-Anbiya ; 107]

2) Tidak perlu sama sekali untuk kita menghujum orang yang belajar di bidang pengajian islam semata-mata untuk menghalalkan perbuatan kita. Andai kata seorang syeikh mengaku dia diberi Ilham untuk dia berkahwin lebih daripada 4, kita diharamkan sama sekali untuk menuruti jejak langkahnya kerana perbuatannya itu tidak diiktiraf oleh agama bahkan perkara itu adalah suatu bid'ah yang benar-benar sesat. makanya perlakuan orang yang belajar di bidang agama tidak semestinya betul dan benar kerana sabda nabi s.a.w.;

::Seorang mu'min yang paling sempurna imannya adalah yang paling indah akhlaknya:: (Riwayat Abi Daud & At-Tirmizi)

3) Sejak dari bangku sekolah lagi, kita dimomokan dengan kata-kata yang "Chenta itu Haram, Cinta itu berdosa, Cinta itu tidak Syar'ie). Sungguh cetek pemikiran mereka yang berkata sedemikian, tiada asas dalam perbahasan. Andai chenta itu haram apakah benar tindakan Abu Bakar As-Siddiq r.a. yang menangis ketika bapanya(Abu Quhafah) masuk islam dek kerana memikirkan nabi Muhammad s.a.w. iaitu insan yang paling dicintainya tidak mendapat peluang sebagaima yang dia perolehi pada hari itu, Tangisan Abu Bakar adalah kerana rasa pilu terhadap nabi muhammad s.a.w. yang mana bapa saudara baginda s.a.w. tidak menganut islam sehingga akhir hayatnya.

Tangisan dan kepiluan ini adalah tidak lain melainkan ianya satu manifestasi Chenta seorang sahabat kepada sahabatnya.

Kemanisan Persahabatan.

Kata Abu Sufyan ::Tidak pernah aku melihat seseorang mencintai seseorang seperti cintanya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad:: 

Chenta tatkala Remaja;

4) Perasaan Chenta muncul tanpa dipinta, tidak mungkin seseorang mampu untuk memaksa-maksa hatinya untuk cenderung jatuh cinta kepada seseorang melainkan sudah pasti adanya tunas chenta didalam hatinya. mana mungkin seseorang mampu untuk memaksa dirinya sakit tatkala melihat orang yang dicintainya sakit, mana mungkin seseorang memaksa dirinya sedih tatkala melihat insan yang dicintainya sedih, mana mungkin seseorang itu mampu memaksa dirinya bergembira apabila melihat insan yang dicintainya gembira. Dan semua kemungkinan ini mampu direalisasikan dengan naluri manusia yang  bersifat ingin dikasihi dan mengasihi.

Kata-kata Ibnu Hazam;

Bila masanya Muhammad mengharamkan cinta,
Dan apakah ia menghina umatnya yang jatuh cinta,
Janganlah kau berlagak mulia,
Dengan menyebut cinta sebagai dosa.

5) Yang menjadi permasalahannya, bukan chenta itu. namun masalahnya adalah kerana kita silap menguruskan chenta. chenta bukan beerti berdua-duaan ditempat sunyi seperti yang difahami oleh kita pada hari ini, chenta juga bukan beerti berhubungan setiap ketika dan masa tanpa ada ikatan yang sah seperti yang menjadi trend masyarakat kita pada hari ini, chenta juga bukan satu tiket yang menghalalkan segala-galanya.namun chenta adalah manifestasi seorang insan yang normal norma kehidupanya,manusia bukanlah malaikat yang diciptakan oleh Allah s.w.t. semta-mata hanya untuk  beribadah dan taat kepada Allah s.w.t. tanpa diciptakan nafsu, berbeza dengan manusia yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Nafsu, Hati dan Akal.

::Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)::(Aali-Imran : 14).

6) Menguruskan chenta itu adalah bermakna menguruskan Nafsu, Akal dan Hati, Naluri manusia saat dia jatuh cinta tidak boleh dihalang mahupun dilarang, namun apa yang diperlukan adalah kawalan, Sebelum kedatangan Islam, masyarakat zaman jahiliyah hidup dengan berbilang-bilang isteri, selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w., islam telah membentuk suatu sistem dalam hal ehwal perkahwinan untuk sebuah masyarakat ,  bukanlah islam datang dengan halangan tetapi hadirnya dengan sistem dan kawalan. Begitulah Chenta, bila ia mekar dalam jiwa manusia, apa yang diperlukan adalah dorongan bukan halangan.

Bagaimana Mengurus Chenta.

7) Bukanlah bermakna tulisan ini sebagai satu panduan menguruskan cinta, namun sekadar satu perkongsian biasa, Chenta itu adalah kecenderungan hati terhadap sesuatu yang diminati, chenta itu suatu yang agak flosofil, urusan cinta adalah urusan agama, silap mengurus chenta mampu merosakkan agama.

8) Chenta yang paling utama adalah chenta kepada Allah dan Rasul-Nya, ini adalah syarat kesempurnaan Keimanan seseorang Mu’min, tanpa chenta kepada Allah dan rasul-Nya maka hidup tidak sekali-kali berguna, namun apa yang malangnya, ada yang suka untuk menfalsafahkan chenta kepada Allah dan Rasul-Nya, cukuplah dengan Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w yang menjadi 
panduan dalam memanifestasikan chenta kepada Allah dan Rasul-Nya.

“Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasulNya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

9)  Namun disana harus diingatkan, bilamana chenta kepada Allah dan Rasul-Nya menjadi suatu sebatian dalam kehidupan tidak bermakna chenta kepada manusia itu suatu kebinasaan, jatuh cinta kepada insan bukanlah menjadi suatu kesilapan atau kesalahan dengan syarat batas-batas agama tetap dipelihara, batas pergaulan terjaga dan perhubungan terpelihara dari sebarang fitnah.

Cinta Sebelum Kahwin.

10) Bagiku cinta sebelum kahwin itu biasa, namun yang menjadi luar biasa adalah bila ia disalah guna, berhubung tidak kenal masa dan tempat, bersama-sama seolah sudah ada ikatan yang sah dan sebagainya itu yang menjadi kesalahan. Bercintalah jika mampu menghindarkan diri daripada Neraka, kerana sebenar-benar cinta kita kepada seseorang adalah cinta yang ingin melihat pasangan kita itu dijauhkan dari api Neraka dan dimasukkan ke Syurga.

Kata Ibnu Hazam;
“Cinta awalnya permainan dan akhirnya kesungguhan. Dia tidak dapat dilukiskan, tetapi harus dialami agar diketahui. Agama tidak menolaknya, syariat pun tidak melarangnya.”

Uruslah Cinta Untuk Ke Syurga.

Abdul Hakim Othman
02/11/2012 - 17 Zulhijjah 1433 H. 
Irbid,Jordan.

Thursday, 6 September 2012

Jangan pernah berhenti berlari bersama kebaikan.


Setiap insan pasti ada kisah silamnya,ada manis,ada pahit,ada masam dan ada masin,semua orang berbeza-beza,tidak pernah sama,walau warna rambut serupa tapi hati berbeza-beza.
Sesaat dahulu kita pernah lupa,pernah alpa,pernah leka dan pernah luka,namun semua itu dulu,tiada yang mahu meneruskannya,pasti semua ingin mengubahnya.

Setiap langkah yang diatur untuk berubah pasti ada cabarannya.

Bermula dengan cabaran diri sendiri,keluarga,kawan-kawan,masyarakat dan persekitaran.

Namun langkah yang diatur untuk berubah tidak boleh diundur.

Teruskan melangkah dengan purubahan,hadapi cabaran sebagai satu ujian.



Jangan kerana insan,kita berpaling kebelakang,Jangan.

Allah tidak pernah lupakan kita,Dia tidak pernah tinggalkan kita.

Bahkan Allah lah yang terhampir dengan insan.

Berdukacita dengan apa yang berlalu kadang-kadang memberikan kita kekuatan,namun,jika ia memudaratkan,sedarlah bahawa itu adalah godaan syaitan.

Teruskan perjalanan,jangan pernah berhenti berlari bersama kebaikan.

Jika ada yang ingin bersama dalam perjalanan,pimpinlah mereka dengan keimanan dan ketaqwaan.

Rahmat Allah s.w.t. mendahului Kemurkaan-Nya.

Semoga allah s.w.t. memberkati kita semua. 

Abu Abdul Rahman.
Kg Binjai Berambu,Kepong.
20 Syawal 1433.

Tuesday, 28 August 2012

Seronok Ke Jordan Tu?


Benarkah belajar di Jordan best,atau hanya title oversea yang mengangkat insan ke bumi barakah,bumi Syam.

Kenapa Datang Jordan?

Ada Laut mati?

Ada Petra?

Ada Sejarah Peperangan Mu'tah,Peperangan Yarmouk?

Ada Kubu-kubu Rom?

Ada Maqam Para Sahabat Radhiyallahu 'Anhum?

Atau datang Jordan sebab dah tak ada pilihan lain?

Atau Sebab pengaruh kawan?

Atau sebab Ramai syeikh yang masyhur?

Atau sebab boleh bercakap bahasa arab?

Atau sebab boleh berbangga dengan Title luar negara?

Atau-atau yang lain?



Semuanya bergantung pada diri insan,tiada yang indah hidup didunia.akhirat kekal selamanya.

Andai Ilmu yang menjadi matlamat utama datang ke Jordan,Pastikan jiwa dan raga sudah bersedia.

Andai Cinta yang menjadi matlamat utama datang ke Jordan,cuba untuk lupakan seketika kerana ia hanya akan membawa kesia-siaaan.

Jangan kerana nama,pilihan kita ke Jordan,niatkan untuk Ilmu dan Islam.

Semoga allah Permudahkan segalanya.

Abu Abdul Rahman.
10 Syawal 1433
Darul Hikmah,Kg Binjai Berambu.

Friday, 11 May 2012

Untuk Yang Memimpin dan Yang Dipimpin.


Kepimpinan bukanlah suatu anugerah untuk dibanggakan tetapi ia adalah sebuah amanah yang perlu dipikul dengan sepenuh daya dan upaya,kita tidak meminta untuk mendapatkan jawatan sebagai pemimpin,namun kita telah terpilih makannya segala amanah kita pikul kerana ianya bakal dipersoalkan di akhirat kelak.Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. dalam pidato pertamanya ketika dilantik menjadi Khalifah menggantikan Nabi Muhammad S.A.W.  menyebut:-

Wahai sekalian manusia, kalian telah sepakat memilihku sebagai khalifah untuk memimpinmu.Aku ini bukanlah yang terbaik diantara kamu, maka bila aku berlaku baik dalam melaksanakan tugasku, bantulah aku, tetapi bila aku bertindak salah, betulkanlah. Berlaku jujur adalah amanah,berlaku bohong adalah khianat. Siapa saja yang lemah diantaramu akan kuat bagiku sampai aku dapat mengembalikan hak-haknya, insya Allah. Siapa saja yang kuat diantaramu akan lemah berhadapan denganku sampai aku kembalikan hak orang lain yang dipegangnya, insya Allah.Taatlah kepadaku selama aku taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apabila aku tidak taat lagikepada Allah dan Rasul-Nya, maka tidak ada kewajibanmu untuk taat kepadaku.

Kesimpulan daripada kata-kata ini,pemimpin perlulah seorang yang tinggi nilai akhlaknya,pemimpin itu akhlaknya tidak mudah marah,tidak panas baran,tenang dengan kritikan,berlapang dada ketika berlaku perselisihan,dan segala akhlak yang mulia,pemimpin yang berakhlak mulia lebih disayangi orang dibawahnya walaupun miskin dan papa berbanding pemimpin yang kaya namun tidak berakhlak.


Secara ringkas,pemimpin perlu memiliki sekurang-kurangnya memiliki 8 sifat terpuji bagi menjadi contoh kepada orang dibawhnya.

1.Tawadhu' :Pemimpin perlu memiliki hati yang sentiasa merendah diri,tidak sombong,berlapang dada,mendahulukan orang lain,tidak bangga dan besar diri.

2.Menjalinkan kerjasama:Pemimpin perlulah menjaga hubungan silaturrahim antara pemimpin dan ahli dengan mengetepikan rasa berjawatan ketika bergaul dengan orang bawahan.

3.Mengharapkan Kritikan dan Saranan:perkara ini penting dalam sesebuah kepimpinan kerana setiap manusia tidak pernah terlepas daripada kesalahan dan kesilapan,bukanlah sifat terpuji bagi seorang pemimpin itu marah dan melenting apabila ditegur dan dinasihati serta dikritik.

4.Berkata dan Berbuat yang benar:Ketika melontarkan kata-kata,pemimpin perlulah memilih kata-kata yang sopan dan tidak menyinggung hati orang lain,pemimpin juga perlu untuk menjaga tingkah lagu,batas pergaulan kerana pemimpin itu contoh bukan peruntuh akhlak orang di bawahnya.

5.Memenuhi permintaan orang bawahan:"Pemimpin itu hamba kepada orang bawahan" ,oleh itu sedaya upaya pemimpin perlu berusaha untuk memenuhi permintaan orang bawahan dan menunaikan janji yang diberikan.

6.Menentang kezaliman:sebesar-besar akhlak pemimpin adalah membanteras kemungkaran dan kezaliman serta menegakkan kebenaran dan keadilan.

7.Sentiasa Taat kepada allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.:pemimpin perlulah sentiasa menepati dan menta'ati perintah allah dan rasul,dalam kata lain pemimpin perlulah berTaqwa.

8.Syukur,Sabar dan Tawakkal:dalam apa jua situasi sekalipun,Akhlak ISLAM perlu ditonjolkan agar menjadi contoh kepada semua.


Nasihat Untuk Yang Dipimpin.


Pemimpin yang ada pada hari ini bukanlah seorang Rasul yang mendapat wahyu terus daripada allah s.w.t.,mereka juga bukan seorang nabi yang bebas daripada segala kesalahan,mereka adalah manusia biasa seperti kita.


Pemimpin dikurniakan akal seperti kita untuk berfikir.kadang-kadang pemikiran mereka terpesong,maka perlu diperbaiki kepesongan itu bersama.mereka juga dikurniakan hati yang menjadi pusat naluri kemanusiaan.ada masanya manusia hebat kerana hati terlebih bekalan motivasi daripada Iman,terkadang manusia itu lemah kerana Imannya berkurang,makanya mereka memerlukan orang yang mengingatkan mereka disaat mereka lemah itu.


Sememangnya yang dipimpin berhak dalam melakukan kritikan,teguran,cadangan dan sebagainya terhadap pemimpin,akan tetapi perlu diingatkan,Islam adalah agama yang memandu manusia dalam apajua keadaan.
salah satu keadaannya adalah menegur kepimpinan.


Tegurlah pemimpin,berikan cadangan,tunjukkan sokongan.jangan kita hanya mampu untuk mengkondem mereka,jangan kita hanya mampu untuk mencaci,menghina,menuduh dan sebagainya.kerana cacian,makian dan tohmohan yang dilemparkan hanya menimbulkan lebih banyak kekeruhan bukanlah kejernihan.


Semoga allah,memberkati perjalanan kita semua.wallahu'alam.


Tulisan Ini adalah berdasarkan Situasi yang berlaku dalam Kalangan  Mahasiswa Jordan,berlainan dengan apa yang berlaku di Malaysia atau situasi di tempat lain.  


Catatan Ringkas.
Abdul Hakim Bin Othman.
Sakan Sakran Tobek Ardhi,Irbid.
12/Mei/2012.

Wednesday, 11 April 2012

Mulia Atau Terus DiHina.


Alhamdulillah,sehingga saat ini kita masih diberikan kesempatan untuk menghirup nikmat Iman dan Islam.bukan semua manusia yang terpilih menerima kedua-dua nikmat besar ini,malangnya kita dengan mudah mempermainkan dua nikmat ini dengan melanggar batas-batas yang ditetapkan.namun selagi nyawa belum sampai ke halkum,selagi matahari belum terbit daripada tempat terbenamnya,Bertaubatlah kerana allah sentiasa merindukan taubat hamba-hambaNya.

"Sesungguhnya Allah 'Azza Wa Jalla ٍsentiasa Membentangkan Tangan-Nya pada waktu malam untuk menerima taubat Hamba-Nya yang melakukan kesalahan pada waktu siang,dan membentangkan tangan-Nya pada waktu siang untuk menerima taubat hamban-Nya yang melakukan kesalahan pada pada waktu malam,sehingga terbitnya matahari daripada tempat terbenamnya" -Riwayat Muslim-



Ilmu bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh,sesungguhnya orang yang meremehkan ilmu akan diremehkan didunia mahupun diakhirat,tiada tempat bagi orang yang tidak berusaha untuk mendalami ilmu sama ilmu dunia atau ilmu akhirat,ilmu fardhu ain mahupun ilmu fadhu kifayah dan lain-lain pembahagian ilmu menerut para ulama'.demikianlah gambaran didalam al-quran tentang ketinggian martabat Ilmu bilamana ayat pertama yang diturunkan kepada nabi muhammad s.a.w. adalah berkaitan Ilmu.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), [1]Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; [2]Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -[3]Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -[4]Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. [5] (Surah Al-'Alaq:1-5).

Betapa ruginya kita semua seandainya kehidupan yang terluang tidak pernah diberikan ruang untuk menambah ilmu pengetahuan,kita banyak membuang masa dengan perkara yang tiada manfaatnya pada diri dan ummah,malahan kita mungkin tergolong dalam kalangan mereka yang disebut oleh allah s.w.t. didalam (Surah Al-'Asr:2),teramat malanglah kita jika semua ini berlaku kepada diri kita yang bergelar Mahasiswa.

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (Surah Al-'Asr:2)

ISLAM & ILMU PENGETAHUAN.

Islam adalah agama yang mengangkat martabat para ulama serta martabat ilmu pengetahuan,islam meletakkan mereka ditempat yang terlalu tinggi berbeza dengan pengaruh ilmuan dalam agama selain daripada islam,sesetengah agama akan mencari para ilmuan mereka hanya untuk menyempurnakan majlis atau upacara tertentu yang memerlukan kehadiran para ilmuan tersebut.berbeza dengan islam yang menjadikan para ulama sebagai rujukan utama dalam apa jua keputusan yang ingin ditetapkan.

Perlu diingatkan,bilamana ummat islam cuba membelakangkan para ulama',maka seolah-olahnya ummat islam telah mula untuk menjejaki langkah sesat penganut agama lain.bertambah malang bilamana para ulama' dihina dan dicerca apabila mereka berkeras menegakkan kebenaran dan meruntuhkan kebatilan,semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang menghina dan mencerca Para ulama'.

Daripada Abu Darda R.a berkata,beliau mendengar rasulullah s.a.w. bersabda:"Ulama Pewaris para Nabi".
-Riwayat Abu Daud,Tirmizi & Ibnu Majah-

Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad s.a.w. banyak membawa bukti bahawa betapa Islam adalah agama yang berteraskan Ilmu pengetahuan dan para ulama adalah tunggak agama Islam itu sendiri.

1) Ilmu rukun Iman.

Syarat sah kepada keimanan adalah keilmuan,bagaimana mungkin seorang doktor mampu untuk mengubati seorang pesakit tanpa menyelidik terlebih dahulu keadaan pesakit tersebut,begitu jualah keimanan,tanpa adanya ilmu yang mampu meyakinkan kita bahawa "tiada tuhan melainkan allah",tidak mungkin kita akan beriman dengan apa yang dibawa oleh nabi muhammad s.a.w.

Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat). 
(Surah Muhammad:19)


2) Ilmu Itu Ibadah.

Daripada Anas Bin Malik R.a berkata,Nabi S.a.w. bersabda:"Menuntut Ilmu suatu kewajipan keatas setiap Muslim"
-Riwayat Ibnu Majah-.

Tukang rumah tidak mungkin mampu untuk membina sebuah rumah yang dinginkan oleh tuan rumah,sehinggalah tukang rumah tersebut mengetahui dan memahami pelan yang telah disiapkan oleh arkitek.makanya,begitu juga kehidupan,bahkan terlebih utama untuk kita mendalami Ilmu berkaitan kehidupan,samaada kehidupan didunia mahupun diakhirat.

3) Al-Quran & Hadis Nabi s.a.w. mengiktiraf Ilmu.

Perkataan Ilmu didalam al-quran tidak kurang daripada 865 kali disebut dan begitu juga dengan hadis yang menyebut berulang-ulang kali perkara yang berkaitan Ilmu.

“Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. (Surah Az-Zumar:9)

Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (Surah Al-Mujadalah:11)

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (Surah Al-Baqarah:269)

Daripada Muawiyah R.a berkata,beliau mendengar rasulullah s.a.w. bersabda:"Barangsiapa yang dikehendaki dengannya kebaikan,akan difahamkan kepadanya Agama" -Muttafaqun 'Alaih-.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata,Rasulullah s.a.w. bersabda:"Barangsiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu,akan dimudahkan baginya jalan ke syurga"-Riwayat Muslim-.

Daripada Abu Hurairah R.a. berkata,sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda:"Apabila mati seorang anak adam akan terputus amalannya kecuali tiga:Sedekah Jariah,Ilmu yang dimanfaatkan dengannya,anak soleh yang sentiasa mendoakannya"-Riwayat Muslim-

Sudah terang lagi bersuluh,sesungguhnya Islam teramat menitik beratkan Ilmu Pengetahuan,bagaimana mungkin kita tega untuk tidak memanfaatkan sisa-sisa hidup ini dengan menuntut ilmu sebanyaknya dan manfaatkan kepada diri,keluarga,masyarakat dan negara.

Mahasiswa Sekarang Bukan Zaman Buang Masa.

Imam Syafie rahimahumullah dalam komentar ringkasnya berkaitan surah Al-'Asr.

"Jika manusia memerhati dan mengambil pengajaran daripada surah ini(Al-'Asr),maka memadailah bagi mereka"

Jangan kita menjadi orang bodoh,bodoh dalam menentukan masa hadapan kita,pembinaan masa "hadapan" telah bermula sejak kita dilahirkan didunia ini,ayuh! bersama kita bertaubat,tinggalkan perkara yang tidak menambahkan ilmu pengetahuan kepada kita,jangan kerana sikap dan sifat kita mengakibatkan negara terpaksa menanggung bebanan dimasa hadapan dengan bebalan mahasiswa zaman kita.

Tiada istilah isu kecil atau besar,penting atau tidak penting semuanya adalah keperluan bagi seorang mahasiswa,jangan terlalu sibuk bermain "jiwa" di zaman mahasiswa ini,bimbang menyesal di masa mendatang.susunlah masa hadapan kita bermula saat ini,belum terlambat dan sesekali tiada istilah terlambat selagi pintu taubat masih terbentang luas.

Pesan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna didalam risalah mingguan ikhwan "Hadith Tulatha".

"Kita disuruh untuk mengguna dan membahagikan masa kepada empat bahagian:

1) Untuk agama iaitu  melaksanakan segala titah perintah allah s.w.t. samaada yang wajib mahupun sunat.
2) Untuk mencari rezki yang halal untuk menanggung diri dan keluarga.
3) Untuk berkhidmat kepada manusia dengan melakukan perkara yang memberi manfaat dan faedah kepada mereka.
4) Untuk kerehatan badan.

Syeikh Tantawi al-Jauhari berpesan;

“Apabila munculnya siang maka buatlah penyusunan terhadap kerja-kerja-yang akan kamu lakukan pada hari itu mengikut masanya dan jangan melakukan sesuatu kerja bukan pada masanya. Ikutilah perancangan kamu yang awal dan jadikan riadhah/bermain pada masanya yang khusus. Ambillah contoh/tauladan daripada Nabi kita(s.a.w) dimana baginda membahagikan masanya kepada beberapa bahagian;

-Satu bahagian untuk ibadah
-Satu bahagian untuk manusia iaitu mengajar mereka...
-Satu bahagian untuk diri baginda sendiri.....

Bebaskan Diri Duhai Mahasiswa.

Zaman mahasiswa sewajarnya menjadi zaman pembinaan fikrah,idea dan intergriti,bukan lagi zaman mengkhinzir buta dengan pendapat-pendapat picisan,bukan lagi zaman ikut-ikutan,bukan lagi zaman taqlid buta,cukuplah di zaman persekolahan kita makan suap dengan para guru,cukuplah kita makan suap dengan teman-teman.jadikan zaman mahasiswa kita sebagai zaman kegemilangan dalam lembaran sejarah perjalanan diri kita.

"Orang yang banyak Ilmunya,akan kurang pertelingkahanya".


Abdul Hakim Othman
Maktabah Jami'ah Urduniyyah.
19 Jumadil Ula 1433.

Sunday, 8 April 2012

Seketika Bersama Dr Maza & GMJ 2012.


Alhamdulillah,Selawat dan salam keatas nabi Muhammad S.a.w.,bersyukur diatas segala nikmat kurniaan Allah s.w.t. terutama nikmat Iman dan Islam,dengan Islam,kehidupan insan tersusun rapi bermula saat membuka mata di waktu pagi sehinggalah kembali melelapkan mata di waktu malam.

Kesempatan mengecapi kemanisan dalam kehidupan dalam masa beberapa ketika yang berlalu,ada duka,suka,perit dan tidak ketinggalan juga perkara yang menggelikan hati,bermula dengan pengalaman bersama tokoh muda negara yang banyak ketika menggegarkan Malaysia dengan pandangan dan kritikan yang tajam samaada di peringkat atasan mahupun bawahan.

Berkongsi cerita selama 2 hari bersama beliau,bukanlah sesuatu yang aneh bilamana Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berani untuk menggagaskan suatu perkara yang jarang diterima oleh masyarakat iaitu gagasan "Minda Tajdid",mungkin ada sebahagian daripada yang berpendapat bahawa perkara ini tidak sesuai dan sama sekali tidak diperlukan oleh masyarakat terutama di malaysia.

Namun mehnah dan tribulasi yang diterima oleh Prof Dr MAZA bukanlah menjadi penghalang besar kepada beliau untuk "menjejak bumikan" idea "Minda Tajdid".kebelakangan ini masyarakat telah mula menerima dengan hati yang terbuka,"cop-cop" yang pada mulanya diterima dengan begitu banyak  telah mula berkurang,samaada "wahabi","Salafi" atau "Saudi".




Dr MAZA dari sudut pandangn seorang Budak Baru Belajar.

"ana dulu tingkatan 2 dah mula baca buku-buku karangan Syed Qutb,Hasan Al-Banna,Sa'id Hawwa,Fathi Yakan".Dr MaZA

Ketika mana saat kita masih dibangku sekolah duduk dalam tingkatan 1,2,3, yang dikenali hanyalah Utopia,Gempak,Detactive Conan,Ujang,Apo? dalam lain-lain lagi bahan picisan yang banyak merakus masa bagai api membaham ranting kering dibawah terik matahari.

Tetapi berbeza dengan Insan yang baru dikenali dalam tempoh 2 hari dengan lebih dekat ini,Jundullah Thaqafah Wa Akhlaqan-Sa'id Hawwa,Jundullah Thakthitan-Sa'is Hawwa,Jundullah Tanziman-Sa'id Hawwa,Ma'alim Fi Thariq-Syed Qutb menjadi teman setia beliau.

"Asri,kamu faham ke apa yang kamu baca ni?"Soal penjaga perpustakaan sekolah.
"ada yang saya faham,ada yang saya tak faham".

Bukan sekadar itu,tokoh pidato pada zaman beliau di tingkatan 2 juga menjadi suatu kemabukan kepada beliau,yang mana suatu ketika Pidato tokoh tersebut pernah mengejutkan negara dengan hanya di sampaikan di sebuah masjid kecil di Kampung Banggol Peradong,fakta Amanah beliau beliau diputar belitkan menjadi auta.beliau antara remaja yang "gian"kan pidota Ustaz Hadi Awang.

Ketika dibangku sekolah,beliau telah mula mengkaji Firqah-firqah yang timbul di dalam Ajaran Islam,yang menjadi bahan kajian utama beliau di dalam firqah adalah Syiah.bermula dengan meneliti buku-buku berkaitan syiah sehinggalah menemui tokoh-tokoh syiah tanah air pada ketika itu.

Beliau mengimbau Zaman silamnya.

Menuntut di Universiti Of Jordan,Tafaqquh di Masjid Abdul Rahman Bin Auf di Sweileh bersama Doktor Solah Abdul Fattah Al-Khalidi (Tafsir)-Pensyarah di W.I.S.E-.,Dr Muhammad Abdul Qader Abu Faris (Siasah) dan Dr Hamam Abdul Rahim Sa'id (Hadis)-Murakib 'Am Ikhwanul Muslimin Jordan-,belajar seni mempertahankan diri  & pelbagai kisah yang dikongsikan.kehidupan yang simple namun banyak memberi kesan kepada beliau.

 Bersama Prof Dr. Maza & Dr. Solah Abdul Fatah Al-Kholidi serta   Sahabat sepengajian Ustaz Mursyid Al-Amin

Ketika masih menuntut,beliau telah mampu untuk memberikan khidmat kepada masyarakat dunia ketika mana persidangan pelajar asia tenggara di Arab Saudi,beliau berkhidmat sebagai penterjemah kepada Tokoh Ulama' Saudi,Al-Allamah Syeikh Ibn Uthaimin.

Prof Dr MAZA bukanlah datang dari keluarga berada,ketika melanjutkan pelajaran M.A. di Universiti Sains Malaysia,beliau pernah ketiadaan duit untuk meng"Photostate" bahan rujukan tesis beliau,dalam masa yang sama,beliau ketiadaan duit untuk membeli susu untuk anak beliau.allah s.w.t. telah menetapkan rezki hamba-hambaNya,datanglah seorang hamba allah yang baik hati menghulurkan sumbangan kepada beliau.

Sunnah orang menuntut ilmu pasti ada rehlahnya,Prof Dr MAZA sempat berkongsi cerita beliau semasa menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di peringkat P.H.D.,beliau dinasihatkan penyelia beliau Prof. Dr. Abu Laith Khairul Abadi untuk menziarahi India demi mencari cebisan ilmu allah s.w.t. di sana.

Bayangkan bagaimana keadaan kita bilamana datang daripada jauh dengan niat semata-mata mahu menuntut secebis ilmu namun tidak mendapat persetujuan daripada guru yang ditemui?begitulah yang dialami oleh Prof Dr MAZA,apabila bertemu seorang guru dan memohon untuk menuntut sedikt ilmu daripada guru tersebut namun tidak diterima.atas sifat kesabaran dalam menuntut ilmu akhirnya guru tersebut yang datang menemui beliau dirumah untuk berkongsi ilmu pinjaman allah s.w.t. kepada guru tersebut. 

Pesanan ringkas daripada Prof Dr Maza.
"Jadilah orang yang berilmu dan jadilah pendakwah ke jalan yang benar dan ikhlas semata-mata kerana Allah azza wa jalla".

Singgah di "Palestin".

Banyak isu yang memecahkan masyarakat kita hari ini bila mana sesuatu isu dipandang dengan fikrah dan manhaj yang berbeza,namun kita bertuah kerana masih dibekalkan satu isu yang mampu men"duduk"kan  pihak yang berbeza Fikrah,berbeza,Manhaj,berbeza Ideo-Logik dan berbeza Agama disebuah meja yang sama untuk sama-sama membincangkan isu palestin.

                            Suasana Di Global March To Jerussalem

Tinggalkan pengalaman bersama Prof. Dr MAZA untuk meneruskan perjalanan ke Al-Quds bersama ikhwah daripada pelbagai NGO dan Partai Keadilan Sejahtera Indonesia dan ikhwah daripada Thailand,Global March To Jerussalem 2012 (GMJ) mencatat sejarah baru dalam titian gerakan pembebasan kota suci Al-Quds.


                        Ikhwah dari Indonesia,Ustaz Salman Al-Farisi

Jelas terpancar kegembiraan di raut wajah  rakyat palestin mahupun rakyat jordan sendiri apabila melihat kesungguhan dan  kebersamaan saudara-saudara mereka didalam memperjuangkan hak ummat Islam terhadap kota Al-Quds.lebih membungakan hati apabila pensyarah yang dikagumi Prof. Dr. Sharaf Qudhah -Pensyarah Qisim Usuluddin,UJ-  turut bersama walaupun rata-rata mengetahui bahawa GMJ 2012 dianjurkan oleh pihak Jemaah Ikhwanul Muslim.

         Bersama Prof. Dr. Sharaf Qudhah,Pesnsyarah Universiti Of Jordan.

Wahai ummat islam.
Sesungguhnya Palestin itu adalah negara kamu,
Al-Quds itu adalah masjid kamu
 Bagaimana mungkin kamu tinggalkan mereka pada hari ini,
Sedangkan mereka berusaha mempertahankan Al-Quds,
Dari yahudi yang cuba merosakkan masjid Al-Quds dan menghancurkannya.

Pesananku kepada ummat islam,
Sesungguhnya Palestin menyeru kita semua,
Sahutlah seruannya,
Sesungguhnya Palestin itu bumi Isra',
Maka sahutlah seruan untuk membebaskannya
Disana terletaknya Baitul Maqdis,
Maka sahutlah seruan mereka untuk menyelamatkan baitul maqdis daripada kerakusan yahudi,
Dan jika kamu tidak melakukannya,
Maka tunggulah laknat daripada Allah s.w.t.
Maka tunggulah kemarahan daripada Allah s.w.t.
Maka tunggulah kehinaan daripada Allah s.w.t.,
Sesiapa yang tidak berusaha untuk membebaskan  Palestin,
Dan sesiapa yang tidak berusaha untuk membebaskan Baitul Maqdis,
Maka tiada tempat untuk mereka dibumi ummat Islam,
Dan tiada tempat untuk mereka dalam kalangan ummat Islam.

Sedutan ringkas daripada khutbah jumaat bersempena Masirah Al-Quds Al-'Alamiyyah yang disampaikan oleh Dr Hamam Abdul Rahim Sa'id -Murakib 'Am Ikhwanul Muslimin Jordan-.


Dr Hamam Abdul Rahim Sa'id -Murakib 'Am Ikhwanul Muslimin Jordan-(Tengah)


Perjalanan seorang khadam Ilmu masih panjang,ranjau dan derita penuh dijalanan,belajarlah daripada sejarah dan pengalaman agar yang baik dapat dijadikan ikutan dan apa yang buruk boleh dijadikan sempadan.

Abdul Hakim Othman.
16 Jumadil Ula 1433.
Maktabah Jami'ah Urduniah. 

Sunday, 26 February 2012

PERTAMA 2012:TAHNIAH SEMUA



Sekalung penghargaan dan tahniah buat Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) dengan kerjasama Education Malaysia Jordan & Kedutaan Malaysia Di Jordan diatas pengajuran Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia se-Jordan (PERTAMA) kali ke-Enam 2012 yang mampu menarik perhatian besar masyarakat malaysia di Jordan,tidak dilupakan gandingan barisan Panelis yang hebat lagi mantap 1)Ustaz Anhar Bin Opir,2)Prof. Madya Dr Abu Hassan Hasbullah,dan 3)Ustaz Nazrey Johani.

Tidak ketinggalan,Jutaan ucapan tahniah buat semua ahli persidangan PERTAMA 2012 kerana kita semua telah berjaya untuk memeriahkannya,tanpa akar pokok yang mampu berdiri teguh,tanpa peserta apalah PERTAMA 2012.



Mehnah & Tribulasi Lumrah Perjuangan

 Sepanjang mengikuti perkembangan persiapan PERTAMA kali ke-Enam melalui media rasmi program samaada di Facebook mahupun blog,pelbagai polemik yang timbul bermula dengan soal Yuran penyertaan yang tinggi,jual beli tempat duduk kerana "ketidakpuashatian" dan lain-lain isu yang timbul.Seolah-olah program PERTAMA kali ke-Enam 2012 yang "bakal" dilaksanakan akan berjalan dengan hambar,lesu dan tidak mempunyai apa-apa momentum.

Namun Jutaan penghargaan secara 'urgensi' perlu dikalungkan kepada barisan Ahli Jawatankuasa Kerja PERTAMA kali ke-Enam 2012 samaada Induk mahupun unit-unit kecil kerana dengan kesungguhan dan ketekunan mereka mengharungi hari-hari sejuk di bumi Jordan semata-mata untuk melihat para ahli persidangan mendapat kepuasan layanan yang paling maksimum.

Secara jujur seorang sahabat meluahkan rasa,sebelum menjejak kaki ke Dewan Al-Kindi,Universiti Yarmouk dirinya merasakan bahawa yuran yang dikenakan sebanyak 15 JD yang mampu menanggung tambang coester ke universiti selama sebulan dihabiskan semata-mata untuk program PERTAMA 2012 selama 2 hari adalah sia-sia dan terlalu mahal,akan tetapi pandangan peribadi berputar 360 darjah mengubah persepsi terhadap program PERTAMA 2012 yang kali pertama diikuti,15 JD yang dikeluarkan tidak terasa dan terlalu amat tidak berpadanan dengan pengisian ilmiah yang diperolehi."Don't Jugde a book by its cover".

Ruang dan Peluang Jangan disia-siakan.

Sekalung tahniah juga buat Team Falafel Production yang telah berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan Islamic Short Filem Contest (ISFC-Jordan),amat membanggakan kerana dengan pemilihan tema jalan cerita yang berbeza dan mungkin tidak terfikir oleh peserta-peserta lain mampu mengatasi otai-otai video yang lain -Tahniah Dan Syabas-.

kamu semua telah membuktikan bahawa ruang yang selama ini dikatakan sempit mampu diluaskan,dengan dominasi mahasiswi didalam video tersebut,tetap masih mampu menjaga batas-batas syara' yang digariskan,sekali lagi -Tahniah dan Syabas- semoga terus maju untuk masa akan datang.  

Setiap ruang yang ada perlu dijadikan peluang bukanlah alasan,pemudah bicara,pelbagai tohmohan diberikan kepada media baru contohnya Facebook (Laman Muka Buku),pelbagai ancaman diberikan terhadap medium baru dakwah ini,bermula dengan asakan bahawa pencipta laman sosial  tersebut  adalah seorang yahudi Mark Zuckerberg,sehinggalah kepada terma-terma buruk yang secara kesampingannya datang dalam laman sosial ini.

Lebih mudah jika kita faham bahawa pisau dan pedang itu adalah objek yang tajam,yang mana digunakan suatu ketika dahulu sebagai alat peperangan,digunakan juga untuk proses penyembelihan dan pemburuan,jalan-jalan penggunaan yang dinyatakan tidaklah menentang syara' kerana berperang untuk mempertahankan agama adalah wajib,penyembelihan dan pemburuan pula suatu etika yang dibincang khusus didalam kitab-kitab Fiqh,akan tetapi sekiranya pisau dan pedang tadi digunakan pada jalan pembunuhan,pertengkaran dan perkelahian makanya secara jelas kita mampu melihat kerosakan dan kemusnahan yang berlaku,wallahu'alam.

Kesimpulannya,bukan alasan yang perlu dirisaukan,akan tetapi peluang perlu diutamakan,
setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing dalam mempertahan dan menegakkan Deen Islam melalui apa sahaja ruang yang ada, Facebook, Blog, Twitter, Yahoo!, Video, 
Filem, Nasyid, Ceramah,Tazkirah,Tafqquh dan sebagainya,setiap ruang ini perlu digunakan 
semaksimu mungkin demi manfaatnya dalam perkembangan Deen Islam.  

Resolusi Penting Daripada Persidangan.

Secara rasmi ahli persidangan telah bersepakat dengan Empat perkara penting sebagai resolusi daripada PERTAMA 2012:

1. MPPMJ harus menubuhkan kelab media se jordan yang mempunyai hubungan langsung dengan industri seni di malaysia.
2. MPPMJ harus memperkasa media.
3. MPPMJ harus menghantar memorendum menuntut kebebasan media di malaysia kepada pihak berwajib.
4. MPPMJ harus menggalakkan penyelidikan ilmiah dan lapangan seni di kalangan ahli

Keempat-empat resolusi yang disepakati amat bertepatan dengan kehendak arus semasa,tetapi kita mungkin terlepas pandang bahawa,satu resolusi mudah perlu terus digerakkan dengan segera iaitu --menjejak bumikan idea dan peluang yang ada serta menyegerakan gerak kerja secara fardhi mahupun jama'ie- .

Mari bersama-sama kita bersekutu untuk melakukan perubahan demi Islam yang tecinta.

5 Rabiul Akhir 1433/27 Februari 2012
Abdul Hakim Othman.
Bayt Solah Al-Kholidi,Amman.