Showing posts with label Kembara Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Kembara Ilmu. Show all posts

Thursday, 1 November 2012

Dia Murabbi Yang Berjiwa Murshid.


Mengenal ulama dalam berkelana menuntut Ilmu adalah suatu adat biasa bagi mereka yang benar-benar berminat untuk menadah terus telinga mereka mendengar mutiara-mutiara Ilmu daripada seorang guru, begitulah keadaan mereka yang pernah berkesempatan untuk menuntut Ilmu di Jordan khusus di Universiti Of Jordan.

Tradisi bertalaqqi dengan para ulama' adalah suatu Sunnah kehidupan bagi seorang pelajar, terutama bagi mereka yang menuntut dalam bidang Syari'ah, tidak dapat dinafikan lagi keberkesanan menuntut ilmu secara bertalaaqqi mampu membantu para penuntut ilmu untuk mengaut terus ilmu daripada sumbernya.

Kelas Talaqqi di Sweileh

"Syeikh, Sungguh orang malaysia mendapat banyak manfaat daripada Engkau". Luahku sebelum berpisah dengan pertemuan pagi itu.

"Ini kewajipan aku, aku suka orang malaysia". Syeikh menyambut luahku itu.
--------------
Rata-rata pelajar malaysia yang datang menuntut di University Of Jordan & Universiti Islam Sains dan Teknologi (WISE) akan menetap di Sweileh, ini kerana keadaan penempatan yang tersusun, kemudahan asas yang mencukupi, pengangkutan yang mudah dan ditambah dengan sejarah silam yang terukir indah di sweileh juga menjadi faktor tarikan para pelajar untuk meneruskan tradisi menetap di Sweileh.

Jika ditanya kepada Senior-senior Jordan siapakah tokoh yang banyak memberikan  kesan dalam pendidikan mereka semasa di Jordan pastinya antara jawapan yang mudahnya adalah Syeikh Hammam Sa'id, Syeikh Muhammad Abdul Qader, Syeikhuna Dr Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, Ustaz Dr Sharaf Qudhah, Sohibul Fadhilah Syeikh Nuh Qudhah, Syeikh Syu'aib Al-Arnauot dan ramai lagi.

Saf ulama' yang disenarai pendek ini tidak pernah berhenti untuk terus berbakti kepada ummah menyebar luaskan Ilmu yang ada pada mereka, bermula dengan penulisan Buku-buku rujukan, kuliyah di universiti, kuliyah di masjid-masjid, kuliyah bersama murid-murid tertentu dan pelbagai lagi altenatif, semuanya dengan harapan agar ilmu yang dimiliki mereka mampu dimanfaat oleh ummah.

Begitulah usaha yang diambil oleh seorang Doktor di sebuah universiti yang terletak di Tabarbur, Amman, Jordan, kehidupanya ringkas, tiada rumah besar bersamanya, hanya tinggal di sebuah flat murah bersama masyarakat, tiada kereta bersamanya,ke universiti hanya dengan teksi, ke masjid hanya dengan berjalan kaki, ke tempat pengajian dengan menumpang anak-anak muridnya.

"Kenapa Doktor tak ada gelaran Profesor ?". Soal Sahabatku.

"Universiti dah pernah tawarkan  Profesor kepada Doktor, tapi doktor yang menolak dan Doktor bagitahu kalau dia ambil gelaran prof dia akan berhenti mengajar di universiti".Jawab seorang murid kanan Doktor.

Fadhilatul Syeikh Dr. Solah Al-Khalidi.

Nama Syeikh Solah amat tidak asing bagi pelajar-pelajar malaysia, mereka yang datang ke Sweileh pasti teruja untuk bertemu muka dengan Syeikh Solah Al-Khalidi, mereka teruja untuk mendengar bait-bait nasihat yang keluar dari mulut seorang murabbi yan berjiwa murshid, ramai pelajar-pelajar malaysia yang mendapat tarbiyah langsung daripada Syeikh Solah Al-Khalidi, antara yang terkemuka hari ini ialah Prof. Madya Dato' Dr. Muhammad Asri Zainal Abidin (USM), Prof Madya Dato' Dr Zulkifli Yusof (Uni. Malaya), Dr Zaharuddin Abdul Rahman (UIAM) dan ramai lagi yang tidak tersenarai disini.


Ustaz Zaharuddin bersama Syeikh Solah Al-Khalidi.

"Hakim, Ana nak jumpa Syeikh Solah la". Salah seorang calon master yang berkhusus selama 2 bulan di Jordan menyampaikan hasratnya.

"Ustaz Ambil nombor syeikh la mudah, call terus". Bingkas aku memberi jalan penyelesaian.

"Tapi, Syeikh suruh minta melalui enta".tambahnya

"Kalau macam tu ana cuba call Syeikh". Jawabku kebingungan.

***
"Ustaz ana dah Call Syeikh, Syeikh minta ustaz datang jumpa lepas Subuh esok".Khabarku kepada ustaz tersebut.

"boleh-boleh, pagi esok ana pergi dengan kawan ana".Responnya tanda lega.

Begitulah kebiasaannya Syeikh Solah Al-Khalidi, setiap yang berhajat datang bertemu dengannya pasti akan disuruh untuk datang pada waktu subuh di masjid yang dia sentiasa lazimi untuk solat 5 waktu (Masjid Farid Al-Khalil, Sweileh).

Pernah sekali membawa Dr MAZA untuk bertemu gurunya, Dr Solah Al-Khalidi. hanya terlewat beberapa minit, nasihat berisi yang diterima.

"Ana tunggu enta pukul 4 pagi esok". Dengan nada tegas Dr. MAZA meninggalkan pesan.

"Insya Allah Dr, Kitaorang datang pukul 4 pagi esok".Sambut Rockers yang bertanggungjawab menjadi P.A. Dr MAZA ketika di Jordan.

****
" Ana dah nak ambil teksi tadi".Sinis kata-kata Dr MAZA.

"Maaf Dr kami terlewat".Aku memohon maaf atas kecuain     

“Semalam janji pukul 4 pagi”. Pedas menusuk ke gegendang telinga.


Dr. Maza bersama Syeikh Solah Al-Khalidi ketika lawatan beliau ke Jordan.

Sayyid Qutb As-Thani


Syeikh Solah digelar oleh murid-muridnya sebagai Sayyid Qutb yang kedua ini kerana, kesan pengaruh Sayyid Qutb amat jelas pada diri Syeikh Solah Al-Khalidi sehinggakan jika diteliti dalam setiap pengajian tafsir bersama Syeikh Solah, Pastinya Syeikh akan menyelitkan kata-kata Sayyid Qutb.

Hubungan Syeikh Solah dan Sayyid Qutb bukanlah perhubungan dalam pertalian darah, mahupun pelajar namun hubungan ini timbul daripada karya-karya Sayyid Qutb. Bahkan, Syeikh Solah dalam menyelesaikan pengajian di Peringkat Master dan P.H.D. telah memilih untuk mengkaji berkaitan pemikiran Sayyid Qutb. 

Guru dan Murid-muridnya.

Secara ringkas, Syeikh Solah Al-Khalidi merupakan anak kelahiran bumi Palestin, mendapat pendidikan awal di palestin lalu menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Al-Azhar,Mesir. Beliau meneruskan pengajian peringkat Master dan P.H.D. di Riyadh,Saudi.

Semasa dalam tempoh pengajian, Syeikh Solah banyak terdedah dengan para Ulama' yang terkemuka antaranya Syeikh Sayyid Sabiq (Pengarang Fiqh Sunnah), Syeikh Mahmud Abdul Halim dan Syeikh Muhammad Ghazali.

Mudah Didekati.

Jika ditanya kepada mereka yang pernah menghampiri susuk tubuh Syeikh Solah Al-Khalidi, pastinya mereka memberikan respon yang positif, hanya perlu solat berjemaah bersama beliau,seusai solat boleh terus bersalaman, saling bertanya khabar, dan boleh terus meminta nasihat dan mutiara kata-kata semangat.



Pertemuan yang menghasilakan manfaat sehingga hari ini.

Sedikit masa dahulu, Syeikh Solah Al-Khalidi diberi tempat bersama Syeikh Hammam dan Syeikh Abu Faris untuk berkhidmat menyebarkan ilmu di Masjid Abdul Rahman Bin ‘Auf, Syeikh Solah dalam bidang Tafsir, Syeikh Hammam dalam Bidang Hadis dan Syeikh Abu Faris dalam bidang Fiqh. Semua ini tidak berkekalan, walaupun ketiga-tiga tokoh ini masih segar bersama masyarakat sehingga ke hari ini, namun hak kebebasan mereka untuk menyampaikan Ilmu telah disekat secara rakus oleh pihak yang bencikan kebenaran dan keadilan.

Sehingga hari ini, Syeikh Solah Al-Khalidi hanya dibenarkan untuk mengadakan Kuliyah kecil-kecilan, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti dan menyebarkan Ilmu kepada mereka yang benar-benar berminat untuk menuntut Ilmu di Rumah Beliau.


Sahabat-sahabat dari Mu'tah & Irbid yang sempat menziarahi Syeikh Solah baru-baru ini. 

Kelas Pelajar Malaysia Dengan Syeikh.

Kali pertama berprogram bersama Syeikh Solah Al-Khalidi, pesanan beliau ringkas, dia mahukan anak-anak murid yang bersedia menjadi pejuang kepada Agama Islam, bersedia menjadi tokoh dalam mendidik masyarakat. Antara Murid yang sering dijadikan contoh oleh Syeikh adalah Prof Dato’ Dr Zulkifli Yusof (Uni. Malaya), hasratnya agar pelajar Malaysia mampu mencontohi murid kesayangannya itu.

Tarikh 12 Zulhijjah 1433 Hijri telah membawa sinar baru untuk para pencinta Ilmu terutama yang menetap disekitar Sweileh. Syeikh Solah Al-Khalidi bersetuju untuk meneruskan pengajian Aqidah,Tafsir & Hadis bersama-sama para pelajar Malaysia.




Jadual Pengajian Bersama Syeikh Solah Untuk Semester Ini.

Diri Syeikh amat teruja bila mendapat khabar yang pelajar Malaysia di Sweileh bertambah ramai, dan syeikh tambah bersemangat untuk mendidik dan mencurahkan Ilmunya kepada para pelajar Malaysia.


 Kuliyah sohih Muslim dirumah Syeikh Solah Al-Khalidi.

Arnab dan kura-kura.

“Kamu faham tak apa yang aku ajar ?” soal syeikh selepas selesai kelas Aqidah Thahawiyyah.

“Alhamdulillah Syeikh, faham”. Sahut kami beramai-ramai.

“ Lepas ni malaslah aku nak mengajar dengan bahasa Fushah(Formal), aku nak cakap ‘Ammi (pasar), baru semua tak faham”. Dengan nada melawak syeikh berceloteh.

Rumah bingit seketika dengan ketawa kami di petang sabtu itu.
---------
Pada permulaan kelas pengajian, pastinya ruang-ruang kosong terisi penuh oleh para pelajar, namun semua itu tidak berkekalan, dek kerana terlalu banyak komitmen lain, mereka yang mulanya berlari seperti arnab ke kelas Syeikh Solah Al-Khalidi telah mula beransur kendur, yang tinggal hanyalah kura-kura yang merangkak-rangkak walau kefahaman tidak sedalam si arnab.

Bangga Dengan Tokoh

Perkara ini kadang-kadang tidak disedari berlaku pada diri para penuntut, diri disibukkan mencari tokoh-tokoh Ulama’ yang terkemuka, bukan dengan tujuan menuntut Ilmu, tetapi yang dikejar adalah gelaran sebagai anak murid yang mana suatu masa title anak murid itu boleh dibangga-banggakan.

Sungguh semua itu tiada manfaat, di dunia apatahlagi di akhirat, bahkan mungkin sahaja niat mengejar Title itu suatu masa boleh menjadi Hujjah keatas diri bukan menjadi hujjah kepada diri. Yang perlu dikejar adalah Ilmu dan hikmah yang dimiliki oleh para tokoh ilmuan yang ditemui, bukan semata-mata mengutip gambar lalu di muat turunkan untuk tatapan rakan.

Walau hanya dengan seorang guru di sekolah rendah, namun jika ilmunya itu bermanfaat maka itu lebih bermakna untuk didampingi berbanding mendampingi para ulama dalam masa yang sama wujudnya sifat Riyak, ‘Ujub dan Takabbur.

TemuBual Syeikh Berkaitan Biodata Peribadi Beliau ;

http://www.youtube.com/watch?v=MD4QcwDoqo0

Semoga Istiqamah dalam Menuntut dan beramal!

Abdul Hakim Othman.
16 Zulhijjah 1433 Hijri
Irbid, Jordan.






Monday, 23 April 2012

Syeikh 'Allamah Abdul Fattah Abu Ghuddah.


Perjalanan Kehidupan Syeikh Al-'Allamah Abdul Fattah Abu Ghuddah terlalu panjang dan luas,oleh itu,Saya akan cuba untuk menceritakan secara ringkas dan padat tentang peribadi Syeikh Al-'Allamah,Syeikh Abdul Fattah bin Muhammad Bashir bin Hassan Abu Ghuddah,beliau dilahirkan di bandar Halab,utara Syiria pada bulan Rejab Tahun (1337 Hijrah=1917 Masihi).

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah Rahimahumullah

Ayah beliau bekerja sebagai pedagang tekstil,Muhammad yang merupakan ayah kepada Syeikh Abdul Fattah adalah seorang lelaki yang cintakan Ilmu,bersungguh-sungguh dalam menghadiri majlis-majlis Ilmu,seorang yang sentiasa melazimi masjid,terkenal dengan sifat ketaqwaan,kesolehahan dan sentiasa membasihi lidah dengan zikir dan bacaan al-quran.pekerjaan yang dilakukan oleh muhammad adalah merupakan pekerjaan warisan ayahnya iaitu Bashir(Datuk kepada Syeikh Abdul Fattah),Bashir adalah salah seorang pedagang tekstik yang terkenal dengan penghasilan tekstil dengan kaedah tradisional.

Nasab keturunan Syeikh Abdul Fattah Rahimahullah sampai kepada sahabat yang mulia Khalid Bin Al-Walid Rodhiayallahu'anhu,dan salasilah keluarga beliau masih terjaga dengan baik,Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah Rahimahullah membesar dalam keadaan yang baik.

Ketika umur beliau sampai kepada Lapan (8) tahun,ayah beliau memasukkan Syeikh Abu Ghuddah Rahimahullah ke Sekolah Al-'Arabiyyah Al-Islamiyyah,setelah tamat pengajian di Sekolah tersebut beliau berpindah ke Sekolah Al-Khasriyyah Al-Uthmaniyyah yang telah dibina oleh Khasru Basha.hari ini sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Thanawiyyah Al-Syariyyah,beliau tamat pengajian daripada sekolah tersebut pada tahun 1942.
Syeikh Abdul Fattah Rahimahullah mendapat pendidikan di Sekolah Al-Khasriyyah Al-Uthmaniyyah daripada para ulama Halab yang terkemuka seperti Syeikh Raghib At-Tobhag penulis buku   (I'lam Al-Nubala' Bi Akhbar Halab As-Syubaha' ) dan Syeikh Mustafa Az-Zarqa,salah seorang ulama Fiqh yang masyhur dan Al-Bayanuni dan lain-lain lagi.

Tidak cukup dengan pengajian formal,Syeikh Abu Ghuddah meneruskan kembara ilmunya yang panjang di ibu negara Ma'iz,beliau telah mendapat pendidikan daripada seorang ahli Hadith daripada maghribi iaitu Abdullah As-Sodiq Al-Ghamari,Syeikh Abdul Fattah rahimahullah telah berpindah daripada Maghribi dan memilih Kaherah (Mesir) sebagai tempat beliau menetap,dengan penghijrahan itu telah membolehkan beliau mendalami Ilmu Hadith dan Ulum Hadith disebabkan persekitarannya yang sememangnya dikelilingi oleh ahli hadith sebagai contoh Syeikh Mustafa Sobri dan Para Ulama' Islam yang lain dalam kerajaan Uthmaniyyah.

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah juga berkesempatan berada dibawah didikan  Syeikh Muhammad Zahid Al-Kauthari,Syeikh Al-Kauthari berpindah daripada Turki dan menetap di Kaherah selepas kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah,Syeikh Abu Ghuddah Rahimahullah sentiasa melazimi Syeikh Al-Kauthari dan beliau mendapat pendidikan daripada Syeikh Al-Kauthari selama Enam (6) tahun,Syeikh Abu Ghuddah banyak memperolehi faedah daripada guru ini.pada masa yang sama,Syeikh Abu Ghuddah turut menghadiri majlis-majlis Ulama' masyhur yang mengajar di Universiti Kaherah sebagai contoh Syeikh Abdul Wahab Khalaf dan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah.


***

Ketika di Kaherah,Syeikh Abu Ghuddah telah mula menyertai Jamaah Ikhwanul Muslimin dan bertemu dengan Imam Hasan Al-Banna,Syeikh Abu Ghuddah amat terpengaruh dengan pemikiran Imam Hasan Al-Banna dan banyak mengikut jejak langkah Imam Hasan Al-Banna,Syeikh Abu Ghuddah telah muncul sebagai seorang pendakwah Islam yang masyhur.

***

Setelah tamat pengajian di Kuliyah Syari'ah dan mendapat kelulusan yang cemerlang pada tahun 1368 Hijrah = 1948 Masihi,Syeikh Abu Ghuddah Rahimahullah menyambung pelajarannya dalam bidang Pendidikan di Kuliah Bahasa Arab dan tamat selepas Dua (2) tahun kemudian beliau pulang ke negara asalnya.

Syeikh Abu Ghuddah Rahimahullah telah terpilih sebagai ahli Dewan Rakyat Syiria pada tahun 1382 Hijrah=1962 Masihi,beliau adalah tokoh yang terkehadapan dalam menegakkan kebebasan bersuara didalam Dewan Rakyat,bukan sekadar itu,sosok tubuh 'Ulama inilah yang bersungguh-sungguh  bersuara agar Syariat Islam ditegakkan,ketikamana ulama-ulama lain mendiamkan diri dalam perkara ini,beliau terus bersuara dan tenang dalam menghadapi situasi ini.

Syeikh Abu Fattah Rahimahullah pernah meringkuk didalam penjara ada tahun 1966 bersama 1/3 Ulama' Syiria yang lain,beliau "berehat" didalam penjara padang pasir selama 11 tahun,selepas peristiwa 5 Jun 1967,kerajaan terpaksa membebaskan tahanan-tahanan politik dan salah seorang daripada mereka adalah Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah Rahimahullah.

***
Syeikh Abu Fattah Rahimahullah pernah terfikir untuk mengikut jejak langkah para ulama' terdahulu dalam kembara menuntut ilmu Hadis dan bertemu dengan para Ulama dalam bidang Hadis serta mengambil sanad daripada mereka,dan meriwayatkan daripada mereka.maka,Syeikh Abu Fattah Rahimahullah mengembara ke India pada tahun 1382 Hijrah = 1962 Masihi.
Di India,Syeikh Abu Ghudah Rahimahullah bertemu dengan ramai para Muhaddith yang masyhur serta para Ulama',sebagai contoh Al-Mufti 'Atiqurrahman,Ulama besar Delhi,dan Abu Al-Wafaa Al-Afghani,Ketua Daairah Al-Ma'arif Al-Nu'maniyyah.Di sana,Syeikh Abu Ghuddah dapat menemui Manuskrip -manuskrip bertulisan arab,dan beliau memilih untuk menerbitkan  Ilmu-ilmu moden yang terdapat di India yang mana masih tidak diketahui oleh dunia arab pada masa itu,antara yang memberikan kata-kata pengantar dalam penerbitan Syeikh Abu Ghuddah Rahimahullah adalah:Muhammad Abdul Al-Hayyu Al-Kanumi dan Muhammad Anwar Al-Kashmiri.

Pada permulaan,3 penulisan yang diterbitkan hasil tulisan Syeikh Abu Ghuddah Rahimahullah,antaranya: 1)"Ar-Raf'u wa Al-Takmil Fi Al-Jarhi Wa Ta'dil" 2) "Wal Ajubah Al-Fadhilah Li As-Ilah Al-'Asyrah Al-Kaamilah Fi Ulumul Hadith,Wa Iqamatul Al-Hujjah 'Ala 'An Al-Ikthar Fi Al-Ta'abbud Laisa Bi Bid'ah" dan 3) "At-Tasrih Bima Tawatir Fi Nuzuli Al-Masih".

Dekad Ke-9,pada abad ke-20,Syeikh Abu Ghuddah Rahimahulah telah dilantik sebagai Muraqib 'Am Ikhwanul Muslimin,Syiria.Ketika itu keadaan terlalu kritikal,dimana penjara-penjara dipenuhi dengan beribu-ribu tahanan dari kalangan ahli Jama'ah Ikhwanul Muslimin mereka sentiasa diseksa,di ancam dan dianiaya bukan sekadar itu,beribu-ribu wanita turut menerima nasib yang sama.

Keadaan yang berlaku amat menyukarkan Syeikh Abu Fattah Rahimahullah,lebih malang,bilamana kerajaan Syiria mengancam gerakan Jama'ah Ikhwanul Muslimin dan berjaya melumpuhkan pergerakan Jema'ah Ikhwanul Muslimin,dalam keadaan sebegini,Syeikh Abu Ghuddah Rahimahullah berpesan:"Dakwah Ikhwanul Muslimin adalah Tanggungjawab tiada didalamnya mahkota kebesaran..tiada didalamnya kekayaan,sesungguhnya ia adalah kesusahan dan keletihan.."

Pemergian seorang pejuang bukanlah suatu kegembiraan,tetapi ia suatu kesedihan yang akan terus ditangisi,Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah telah pergi menemui allah s.w.t. pada pagi hari Ahad,9 Syawal  1417 Hijrah bersamaan 16 Februari 1997 Masihi di Riyadh,ketika itu umur Syeikh Abu Ghuddah  rahimahulah berusia 80 Tahun.semoga allah merahmati dan meredhai Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah Rahimahullah.