Showing posts with label Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Keluarga. Show all posts

Monday, 12 March 2012

Jasa Ibu.


Setitik air susu yang masuk ke mulut,
Besar hajat ibu mahu melihat  aku hidup,
Air susu ibu dinilai tiada harga,
Walau ditukar dengan wang beribu dan duit berjuta,

Ku pandang muka ibu sejak muda hingga tua,
Dari kedut seribu uban putih penuh kepala,
Tapi aku tahu ibu banyak berjasa,
Air tangan ibu seribu bau seribu rasa,



Oh ibu oh ibu terima kasih ibu,

Sejak kecil hingga aku dewasa,
Nyamuk seekor tidak pernah hinggap begitu peka engkau menjaga ,
Makan minum kain baju tidak langsung berkurang,
Mendidik aku dengan penuh kasih sayang,

Bila besar baru aku kenal diri,
Tiada nilai jasa ibu tabur budi,
Tangan peha kaki sanggup jadi jamban,
Rela susahkan diri menjaga aku seorang,

Ibu yang tua duduk memerhati anak-anak yang dia tabur jasa,
Bila besar dia mahu lihat hasilnya,
Anak yang berjaya ditaruh harapan,
Bekal di hari tua tempat dia menumpang,

Oh ibu oh ibu jasamu ku kenang,

Selama ini ibu duduk menjadi hamba,
Hari ini aku mahu balas segala jasa,
Sakit demam makan minummu aku jaga,
Mahu melihat hidupmu senang dimasa tua,

Jasa baik budi ibu tidak aku lupa,
Walau setitik air susumu kurasa,
Menjaga aku sorang ibu mengandung sembilan bulan,
Letih penat badanmu tiada sekali merungut pada orang,

Ku cium tangan ibu minta halal minta ampun,
Segala salah aku banyak sangat kalau dihitung,
Hari ini aku tahu nilai kasih ibu kandung,
Budi dan jasa ibu setinggi-tinggi aku sanjung,

Pada anak-anak yang masih ada ibu,
Tolonglah jengah si ibu  walau sekali sehari seminggu,
Harta tiak diharapkan,kasih anak cucu ibu menumpang,
Merenung  mata ibu terubatlah segala rindu,

Oh ibu oh ibu kusayang padamu

Oh ibu halalkan makan minumku,
Oh ibu oh ibu ampunkan dosaku,
Oh ibu oh ibu terima kasih ibu.

(Di'edit' daripada sebuah dikir barat).

Abdul Hakim Othman
13 Mac 2012
Bayt Solah Al-Kholidi
Sweileh,Amman.

Monday, 23 January 2012

Mama,Abah:Anakmu Nak Kahwin.


Perasaan ingin menghubung-jalin antara dua jantina adalah fitrah manusia,samaada lelaki yang berkehendakkan seorang wanita untuk dijadikan pasangan kehidupanya atau seorang wanita yang berkehendakkan seorang lelaki untuk dijadikan teman dalam perjalanan hidupnya.tidak hairan jika hari ini pelbagai nama dan alasan diberikan lelaki dan perempuan menjalinkan hubungan akrab antara satu sama lain,kerana sememangnya ia sebahagian daripada fitrah manusia.

Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?
 
 An-Nahl:72.

Islam bukanlah sebagaimana yang digambarkan oleh pelampau-pelampau agama,yang mana mereka menggambarkan islam itu seolah-olah agama ritual semata-mata yang mana berkaitan dalam perkara hubungan manusia dengan alam ghaib semata-mata.gambaran ini terpesong sama sekali daripada ajaran islam yang dibawa oleh Para Nabi a.s. sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w.

Islam sama-sekali berbeza dengan fahaman-fahaman lain,dimana Islam datang secara lengkap kepada ummat manusia dan melengkapkan kehidupan ummat manusia,tidak ketinggalan walaupun satu daripada aspek-aspek keperluan dalam kehidupan manusia.

Apa yang malang,Barat hari ini telah menafikan Fitrah manusia dengan menghalalkan hubungan sejenis samaada sesama lelaki mahupun perempuan,sedangkan islam adalah agama yang meraikan kehendak semulajadi manusia,ianya terbukti dalam banyak ayat al-quran dan hadis rasulullah s.a.w.'


KAHWIN AWAL VS PELAJARAN.

Tahniah diucapkan kepada sahabat-sahabat yang telah selamat bergelar suami dan isteri,kepada yang masih bergelar bujang bersyukurlah kerana masih lagi Free daripada tanggungjawab dan amanah yang besar itu.mula habis sekolah hingga sekarang,pelbagai respon yang diterima berkenaan "kahwin awal",ada yang bersetuju dengan sepenuh hati,ada yang menolak dengan sekeras hati ada juga yang berada dipertengahan antara dua golongan,dan yang ketiga ini lebih disenangi.

SUTUJU 100 %

Awal bicara,golongan yang bersetuju sepenuh hati dengan kahwin awal tentulah mereka yang tidak sabar-sabar ingin bergelar suami atau isteri di awal usia muda,perkara ini tidaklah bercanggah dengan syariat bahkan digalakkan oleh baginda s.a.w.,sebagaimana hadis Nabi s.a.w.

"Wahai Golongan Pemuda,Barang siapa dikalangan kamu berkemampuan(zahir dan batin) maka berkahwinlah kerana yang demikian itu menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan,dan barangsiapa yang tidak mampu keatasnya untuk berpuasa kerana baginya penawar".(riwayat bukhari dan muslim).

Antara faktor yang menyokong golongan ini untuk bersetuju dengan pendapat mereka,dan banyak juga hujjah yang membantu mereka untuk mempertahankan pendapat mereka.pendek kata,mereka berada dipihak yang menang.

1)Persekitaran,tidak mampu dinafikan bahawa hari ini,seolah-olah persekitaran manusia mendesak agar golongan muda untuk berkahwin awal,dengan suasana tidak syari'e dan lain-lain keadaan,makanya golongan muda lebih bersetuju untuk berkahwin awal kerana ianya mampu membantu untuk mereka memelihara agama.
Ramai yang bersuara haramnya couple sebelum kahwin,tetapi sayang tidak ramai yang mampu untuk bersuara dalam menyatakan jalan penyelesaian kepada "couple haram".oleh itu,kahwin awal adalah salah satu jalan penyelesaiannya.Firman allah s.w.t.

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). Al-Isra':32.

Bertepatan dengan ayat allah s.w.t.,makanya jalan menjauhi zina adalah berkahwin.ini adalah salah satu tanda kesyumulan islam,tidak hanya membangkang,melarang dan mengharamkan tetapi turut menyediakan jalan penyelesaian dan jalan peng"halal"an.

2)Menjejaki sunnah rasulullah s.a.w.,Sesuai dengan perkembangan dakwah hari ini,makanya golongan muda lebih cenderung kepada kahwin awal,bermula dengan galakan dan saranan rasulullah s.a.w. untuk para pemuda agar mempercepatkan pekahwinan sekiranya berkemampuan dan memenuhi matlamat asas pentarbiyahan.Imam Hassan Al-Banna cuba menggariskan Matlamat yang perlu dicapai dalam proses pentarbiyahan Ikhwanul Muslimin,antaranya adalah pembentukan Rumahtangga Muslim.

"Rumah tangga muslim yang kami inginkan adalah rumah tangga ynag terdiri dari pasangan suami-isteri yang mengetahui hak masing-masing,disamping beriltizam dengan tanggungjawab tersebut".Pendidikan Harakah Islamiyyah,Syeikh Sa'id Hawwa.(Fi Afaqi Ta'lim)

3)Usia Yang Sesuai,usia muda adalah usia yang paling sesuai untuk menjalani perjalanan kehidupan di alam perkahwinan,kerana pada usia ini,si lelaki lebih bertenaga dan si perempuan pula lebih subur,oleh kerana itu ia membantu dalam memenuhi cita-cita rasulullah s.a.w. sebagaimana dalam sebuah hadis.

"Perkahwinan itu Sunnahku,barangsiapa yang tidak beramal dengan sunnahku maka bukan daripada kalanganku,dan berkahwinlah,kerana aku bangga dengan ramainya ummatku"(Riwayat Ibnu Majah)

Itu sebahagian hujjah bagi golongan yang 100 % bersetuju untuk berkahwin awal,tetapi malangnya,tetap banyak halangan yang perlu dihadapi oleh pemuda-pemudi,kerana masih ada yang kurang setuju dengan pendapat perlu kahwin awal(Masa Belajar).

TAK PERLU TERBURU-BURU.

Mudah bicara,golongan kedua adalah golongan yang terlebih dahulu merasa asam-garam kehidupan di alam perkahwinan,jatuh-bangun dengan ragam kehidupan berumah tangga.bukanlah mereka membenci sunnah rasulullah s.a.w.,bukan juga mereka mahu melarang dan terus melarangkan sehinggakan pemuda-pemudi terus hidup membujang,jauh sama sekali daripada matlamat nasihat mereka.

Akan tetapi,mereka(ibu bapa) benar-benar mahukan yang terbaik untuk kehidupan anak-anak mereka,mereka tidak mahu anak-anak mereka tersesat dalam terang.ibu bapa perlukan masa untuk menilai anak-anak mereka,samaada telah bersedia atau belum untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Antara kayu ukur ibu bapa dalam menilai anak-anak mereka adalah,bagaimana anak-anak mereka dalam akademik dan syaksiah?bagaimana anak-anak mereka dalam hubungan dengan adik-beradik dan ibu bapa sendiri?bagaimana pengurusan diri anak-anak mereka?sejauhmana kemampuan dan kekuatan anak-anak mereka dalam aspek-aspek penting kehidupan di alam perkahwinan samaada dalam mengawal emosi,kewangan,kasih-sayang dan keterampilan?

Antara lainnya,ada sedikit kerisauan dalam diri kedua ibu bapa,adakah anak mereka akan tetap meluangkan masa dan kasih sayang untuk kedua ibu bapa selepas seronok berada di alam perkahwinan?ataupun anak mereka akan terus meninggalkan dan meninggalkan kedua ibu bapa serta lebih mengutamakan pasangan hidup mereka.tegahan ibu bapa bukanlah tanda benci,tetapi itulah tanda mereka memahami dan menyayangi anak-anak mereka.

Ibubapa mahukan agar kehidupan anak mereka semasa perkahwinan tidak tunggang-langgang,tidak ada tali untuk bergantung,tidak ada lantai untuk berpijak,tidak ada bumbung untuk berteduh.mereka inginkan sakinah dan mawaddah dalam perkahwinan anak-anak mereka.

AKU DUDUK TENGAH-TENGAH.

Kedua-dua pihak berada di jalan yang selari dan benar,semua mahukan kebenaran,kemurnian,kedamaian dan segala yang indah-indah belaka,kedua-dua pihak mahukan penyelesaian yang berlandaskan syari'at,si anak mahukan penyelesaian daripada seribu satu masalah sosial,ibu & bapa pula mahukan penyelesaian daripada masalah rumah tangga yang kebelakangan ini berantakan tidak tentu masa.

Satu perkembangan yang baik,semua telah sedar bahawa islam adalah penyelesaian kepada setiap masalah,samaada masalah dalaman mahupun luaran,perkara harsu disambut dengan hikmah agar ia tidak terhenti separuh jalan.

MASIH ADAKAH JALAN PENYELESAIAN ?.

Sedangkan setiap penyakit itu ada ubatnya manakan tidak masalah-masalah kehidupan tidak ada penyelesaiannya,pasti ada penyelesaian bagi setiap masalah itu,bersabar,kerana samaada penyelesaian itu datangnya cepat ataupun lambat.tetapi yang pasti,kita perlu bersedia untuk mencari jalan penyelesaian masalah,kerana masjid tidak akan terbina jika tiada pembinanya,begitu juga masalah,ia tidak akan selesai jika tiada usaha yang diberikan untuk sesuatu masalah tersebut.

1)Perbincangan yang Hikmah.

Pemuda perlulah menerangkan dengan berhikmah apakah tujuan sebenarnya tujuan pernikahan yang ingin dicapai,adakah semata-mata untuk suka-suka,atau ingin mengikut arus peredaran semasa sahaja,ibubapa dan anak perlu lakukan perbincangan secara berhikmah dan ilmiah,bukan semata-mata menggunakan akal dan emosi untuk mempertahankan hujjah.dengan perbincangan yang murni kedua-dua belah pihak mampu memahami kehendak antara satu sama lain.

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. An-Nahl:125.

2)Tonjolkan Persediaan.

Kerisauan ibu bapa apabila anak mereka inginkan perkahwinan di awal usia muda terutama di zaman belajar adalah persediaan,samaada kita sedar atau tidak,semua ibubapa mahukan anak-anak mereka memiliki seorang pasangan hidup,untuk membahagiakan kehidupan anak mereka,untuk meneruskan zuriat keturunan mereka,untuk kesenangan kehidupan mereka berdua juga.

Tetapi apabila dilihat bahawa anak mereka belum benar-benar bersedia untuk mendirikan ruah tangga makanya,mereka menangguhkan seketika niat itu untuk memberi ruang kepada anak mereka membuat persiapan rapi.

Sebagai anak atau pemuda yang benar-benar ingin berkahwin awal,perlulah mengumpulkan semua persediaan untuk menghadapi alam perkahwinan dalam diri masing-masing tidak kira lelaki ataupun perempuan.serlahkan persediaan kita dalam kepimpinan,pengurusan,syaksiah,akademik, dan lain-lain lagi,ini semua mampu membantu untuk para anak memikat hati kedua ibu bapa dalam memenuhi hajat si anak untuk bekahwin awal.

3)Pujuk dan terus memujuk.

Kadang-kadang ibubapa bukanlah menghalang anak mereka untuk berkahwin awal,akan tetapi,mereka sengaja menguji anak mereka sejauh mana kesungguhan anak mereka untuk melangkah masuk ke alam tanggungjawab dan amanah.

PENDEK KATA.

Fahamilah dan belajarlah memahami,bukan mudah untuk menjadi baik kalau jalannyapun tidak baik.

Siri 1.
29/Safar/1433.
23/Januari/2012.

Tuesday, 3 January 2012

Kita Dan Kedua IbuBapa.


Ibu dan bapa, dua insan yang tidak asing dalam kehidupan seorang anak.bermula daripada usia sehari dalam kandungan,memboyot perut ibu mengusung bayi dalam kandungan kesana kemari demi kasih dan sayang kepada bakal anak kurniaan allah s.w.t.,lain pula bagi  bapa,tiada kenal erti penat dan lelah,bermandi peluh,bergelumang dengan kepanasan dan rengetan manusia sekeliling untuk menyara keluarga tercinta.




Fitrah manusia itu mengasihi dan ingin dikasihi,begitulah roda hidup seorang anak,sentiasa berpusing mencari belaian kasih sayang daripada kedua ibu bapa,dalam masa yang sama berusaha mengasihi kedua ibubapa sepenuh jiwa.tidak hairanlah bila mana pelbagai kisah yang menceritakan perihal berjaya dan gagal seorang anak dek kerana kasih sayang dan bakti mereka terhadap ibu bapa,al-quran dan hadis rasulullah s.a.w. juga banyak membicarakan perihal kedua ibubapa.

Diantara ayat yang membicarakan mengenai perihal kedua ibubapa adalah ayat daripada surah al-isra':23-24.

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
 

Masih banyak ayat yang membicarakan tentang kedua ibubapa antaranya surah al-ankabut:8 dan surah luqman:14-15.

Kita mungkin terlupa dengan peringatan allah s.w.t. dan rasulullah s.a.w. berkaitan kedua ibubapa,kita lebih disibukkan dengan rakan-rakan disekeliling,disibukkan dengan cinta remaja,disibukkan juga dengan pekerjaan,kemewahan dan sebagainya.

Tiada salahnya untuk kita bergaul dengan sahabat-sahabat sebaya,kerana mereka juga sebahagian pusingan kehidupan kita,tidak juga salah kita disibukkan dengan pekerjaan dan kemawahan kerana itu sebahagian daripada keperluan dan keinginan kita dalam meneruskan kehidupan.

Tetapi apa yang berlaku kepada kita hari ini,pergaulan dalam persahabatan lebih dititik beratkan berbanding tanggungjawab kita terhadap ibu bapa,kita malahan rela membelakangi kedua ibu bapa kerana mengutamakan hati perasaan sahabat,sedangkan rasulullah s.a.w. meletakkan bahawa berlaku ihsan terhadap ibu bapa itu lebih tinggi berbanding jihad di jalan allah,

Daripada ibnu mas'ud r.a.:Aku bertanya kepada rasulullah s.a.w.,aku berkata:wahai rasulullah,apakah amalan yang paling afdal? rasulullah menjawab:<solat pada awal waktu>,aku berkata:kemudian apa?rasulullah menjawab:<kemudian berbakti kepada kedua ibu bapa>,aku berkata:kemudian apa? rasulullah menjawab:<berjihad di jalan allah>.jika aku terus bertanya,pasti baginda akan menambahnya.(riwayat bukhari)

Begitu besar darjat mentaati kedua ibubapa sebagaimana yang digambarkan dalam hadis diatas,malahan ada suatu riwayat di dalam Musannif Ibnu Abi Syaibah yang menyebut bahawa

"Berbakti kepada ibu bapa Sebahagian daripada Jihad".

Kita suka untuk menjaga hati sahabat dan rakan serta teman,tetapi kita lupa untuk menjaga hati kedua ibubapa kita,sedang persahabatan dengan sahabat tidaklah lebih daripada perkenalan di zaman persekolahan mahupun alam pekerjaan,tetapi kedua ibubapa pula,dua insan yang tidak tidur siang dan malam demi menjaga anaknya hatta daripada gigitan seekor nyamuk.

Manusia itu sifatnya pelupa,kita lupa segala jasa kedua ibubapa dan lebih suka menyanjung sekelumit jasa sahabat terhadap kita malahan diuar-uarkan jasa kecil itu berbanding mengenang jasa ibu bapa yang tidak mampu untuk dibalas dengan wang ringgit mahupun seisi dunia ini sekalipun tidak mampu menampung bentuk balasan kepada kedua ibubapa kita,yang mampu dilakukan kita berusaha dan terus berusaha untuk membahagiakan mereka semasa hayat mereka,mendoakan keampunan bagi meraka,mentaati mereka selagi mana arahan itu tidak bertentangan dengan syariat islam.

Ibu Bapa Atau Sahabat.

Bukan menafikan hak dan tanggungjawab kita dalam persahabatan,tetapi yang menjadi titik penting dalam perkongsian adalah hak dan tanggungajawab kita kepada kedua ibu bapa,mereka lebih layak dan selayaknya mendapat tempat pertama dalam kasih sayang dan cinta kita selepas allah s.w.t. dan rasulullah s.a.w..

Mungkin kita leka dan lupa untuk meluangkan sedikit masa untuk mengenang dan memikirkan jasa kedua ibu bapa kita,dari saat kita dilahirkan sehinggalah saat ini,saat yang mana kita kenal baik dan buruk,kecil dan besar,murah dan mahal dan sebagainya,mungkin saja kita boleh jadikan kenangan terhadap ibu bapa kita ini sebagai salah satu agenda diari hidup seharian kita.bukan untuk mengelamun semata-mata,apa yang lebih penting hasil daripada kenangan itu jika berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam kehidupan kedua ibubapa kita.

Bahagikanlah dengan sebaiknya kasih sayang dan tumpuan kecintaan kita,letakkanlah sesuatu sesuai pada tempatnya,jangan kerana tersilap membahagikan,ada yang terluka dengan kita.


Satu jiwa VS Dua jiwa

Jadikanlah diri kita sebagai salah satu penyebab untuk kedua ibu bapa kita mudah melangkah ke pintu syurga,jangan kerana kita ,ibu dan bapa kita terbabas ke neraka,fikirkanlah bersama,hidup adalah apa yang kita pilih.

Bagi yang masih mempunyai kedua ibubapa,sibukkanlah diri kita untuk berbakti kepadanya,seandainya dua insan mulia ini tidak mampu kita pelihara bagaimana pula halnya bila kita berangan-angan ingin membina rumah tangga yang bahagia dengan bakal isteri dan anak-anak.

Bermula saat inilah kita melatih diri untuk semua itu,bagi lelaki berbeza dengan perempuan,ingitlah duhai diri yang bergelar lelaki,tanggungjawab utama kita tetap kepada kedua ibu bapa walaupun setelah mendirikan rumah tangga,berbeza dengan perempuan,ingatlah diri yang bergelar perempuan,dirimu menjadi tanggungjawab penuh kepada kedua ibu saatmu belum lagi diijabkabulkan.

"Went you Give,You get Back"

Bagaimana kita memberi,maka begitulah yang akan diterima.

Sebagaimana wasiat nabi s.a.w. kepada abdullah bin abbas:

"Jagalah allah,Maka allah akan menjagamu".

Bila kita cuba untuk membayangkan masa tua kita,maka cubalah untuk perhatikan bagaimana kita terhadap kedua ibubapa kita,jika kita berusaha dan berjaya membahagiakan meraka,maka semoga itu jugalah kurniaan allah s.w.t. kepada kita.

Bagi yang telah ketiadaan kedua ibubapa,ingatlah saham kita tetap mengalir kepada mereka,tunaikanlah tanggungjawab kita kepada mereka.doakanlah mereka,hubungkanlah silaturrahim antara kita dengan sahabat-sahabat mereka, semoga kita tidak menyesal di akhirat sana.

Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedakah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya” .(Riwayat Muslim)

Cintailah allah s.w.t. dengan sepenuh jiwa kita,

Cintailah rasulullah s.a.w. dengan sepenuh jiwa kita,

Cintailah kedua ibubapa dengan sepenuh jiwa kita,

Cintailah kaum keluarga kita dengan sepenuh jiwa kita,

Cintailah sahabat-sahabat kita dengan sepenuh jiwa kita,

Cintailah kaum muslimin seluruhnya dengan sepenuh jiwa kita.

Semoga cinta kita ini menjadi tanda kita cinta pada diri kita.

Abdul Hakim Othman
09/Safar/1433
03/Januari/2012
Bayt Farid,Amman,Jordan