Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Saturday, 25 May 2013

Bersangka-sangka untuk Bahagia.

Kita sangka bahawa kereta besar itu membawa bahagia,

Rupa-rupanya yang membonceng motosikal kecil dikala hujan dan panas itu lebih bahagia,

Kita sangka bahawa rumah mewah itu membawa bahagia,

Rupa-rupanya yang tinggal di rumah kecil dan sederhana itu lebih bahagia,

Kita sangka bahawa gaji besar itu menjamin kebahagian,

Rupa-rupanya gaji yang kecil itu membawa manusia lebih bahagia dan tenang..

Betapa ramai manusia yang memiliki kereta mewah,

Namun hidupnya sengsara dengan hutang.



Betapa ramai manusia yang memiliki rumah yang mewah,

Namun keluarganya tetap berantakan bagai tiada penyelesaian.

Betapa ramai manusia yang tinggi nilai gajinya,

Namun tiada langsung selera makan..

Dimana silapnya?

Adakah kerana murahnya bahagia?

Adakah kerana kosongnya jiwa?

Bahagia itu Syurga dunia,
Letaknya di jiwa para hamba.

Bahagia itu suatu yang mulia,
Tempat suburnya juga pada bekas mulia.

Andai bahagia tidak mendekati si kaya,
Bukanlah kerana salahnya kekayaan,

Tapi silapnya pada jiwa sikaya,
jiwanya lupa pada hakikat perhambaan.

Jika benar inginkan bahagia,
Usahlah sekali-kali tunduk pada nafsu durjana.

Carilah hakikat bahagia dengan menjadi hamba,
Hamba kepada tuhan yang Maha Esa.

Semoga Hasanah di dunia dan di akhirat.

Abu Abdir Rahman.
25 Mei 2013.
Sweileh, Amman.

Thursday, 16 May 2013

Uji untuk Suci

Tidak semua Allah pilih hamba-hambanya untuk diuji dengan kesusahan, kesakitan, keperitan dan kesengsaraan.

Sungguh orang yang diuji dengan kesakitan dan kesusahan itu lebih beruntung daripada orang yang diuji dengan kesihatan dan kesenangan.

Untungnya orang yang diuji dengan kesakitan dan kesusahan adalah kerana dia sedar yang Allah sedang mengujinya, dia sedar yang Allah sayang padanya dan dia sedar bahawa Allah sedang mensucikan dirinya daripada dosa-dosa.

Orang diuji dengan kesakitan juga pasti berlipat ganjarannya, saat dia sakit, dia akan sabar dengan segala ketentuan Allah s.w.t., bila dia sihat, dia terus memanjatkan rasa syukurnya kepada Allah s.w.t..

Aturan Allah tidak pernah salah.. Bahkan disebalik percaturan itu pasti ada hikmah besar yang Allah ingin kurniakan kepada hamba-Nya yang terpilih.


Uji untuk Suci.

Meniti hari ditemani mentari,
Kadang-kadang tergelincir sendiri.
Bangun dan bangkit pun sendiri,
Cuba mengecapi hikmah ilahi.

Berjalan lagi mengejar impi,
Sampai dipertengahan kita diuji.
Diuji daripada terus berlari,
Diuji daripada terus berdiri.

Hati terguris didodoi sepi,
Cuba cuba jadikan mimpi,
Rupa-rupanya ia realiti,
Gurisan hati terus dikecapi.

Sabar!

Hidup bukan disini,
Hidup itu disana menanti.

Gelincir, guris, uji itu bukan sia-sia, bukan juga semata.
Allah datangkan ia sebagai tanda suci dari ilahi untuk abdi-Nya.

Syukur!

Syurga dunia itu pada Hati.
Tenang, damai, redha semua itu daripada-Nya.

Berjalanlah dan mintalah pada-Nya.

Al-Faqir Ila Afwi Rabbih,
Abu Abdir Rahman.
Sweileh, Amman.
16 Mei 2013.

Sunday, 3 February 2013

Anak, Perjalanan kita jauh.

Kesempatan menuntut ilmu diusia muda adalah peluang keemasan yang mesti dimanfaatkan sepenuhnya. Peluang diusia muda tidak mampu lagi diputar ketika usia tua, kegagahan diusia muda tidak lagi mampu untuk diputar ketika usia tua, kecerdasan diusia muda tidak lagi mampu untuk dikembalikan pada usia tua. 

Selepas tamat pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Allah s.w.t. Telah memberikan kesempatan untuk kembali menimbal ilmu-ilmu Al-Quran bersama Ustaz Zainal Abidin Bin Ahmad (Mantan Timbalan Mufti Terengganu 1999-2004). 

Suatu hari, selesai kelas bersama Ustaz, berpeluang bersantai dianjung surau sambil bersembang dengan ahli kelas yang lain yang kebetulan Pakcik-Pakcik yang sudah Pencen daripada perkhidmatan awam mahupun swasta. 

Sambil bersembang, datang seorang pakcik dalam lingkungan 70an, berkain pelikat, berbaju kemeja hijau berkolar, datang bertongkat, sebelah badan separuh lumpuh. 

"Boleh Tumpang duduk". Ujar Pakcik bertongkat tadi.

"Sila-sila pak cik". Balas ku. 

"Bukan nak duduk sangat pun, nak perbetul urat sikit, maklumlah,orang tua, tak lama dah nak mati". Celoteh si pakcik

"Jangan kata macam tu pakcik, mana tahu yang muda ni yang pergi dulu". Tiba-tiba terkesan dengan kata-kata itu. 

Sepatah ayat Quran keluar dari mulut pakcik, "Setiap yang bernyawa pastikan menemui ajalnya". Tambah pakcik "orang sekolah agama pandailah ayat ni". 

"Pakcik duduk kampung mana?" "Pakcik duduk Kuala Berang (45 minit daripada Bandar Kuala Terengganu)". 

"Jauhnya, pakcik mari belajar naik apa?".

"Naik kereta sewa".

 "Jauhnya!". 

Gambar Hiasan.

Suasana terkedu seketika. 

"Lama dah ke pakcik datang mangaji disini?". Soalku. 

"Sebulan baru, lepas pakcik tahu ada kelas mengaji Quran kat sini". 

"Jauhnya". Betahku. 

"Tak jauh pun, tambang kereta sewa 8.00 ringgit. Pakcik tak berasa pun 8 ringgit tu, tapi pakcik takut pakcik tak ada bekalan nak bawa masa berjalan jauh nanti.. Baca Quran pun kok, kak, kok, kak, tak lancar.. Orang yang berjalan atas dunia pun kena bawa bekal, ni kan pula orang yang nak berjalan selama-lamanya. Pakcik takut tak ada bekal masa pakcik duduk sorang-sorang dalam kubur nanti.. Kan orang tua-tua pesan, bekal nak jumpa Allah s.w.t adalah amal ibadah kita". Panjang pakcik berbicara. 

Tunduk malu aku ketika itu, malu dengan diri sendiri. 

"Pakcik balik dengan Siapa?".

"Tumpang kawan pergi Stesen kereta sewa".

"Pakcik duduk kampung apa?".

"Kampung Rahmat".

Butiran nasihat terus meluncur dari mulut pakcik tua itu. 

"Untunglah orang bandar, malam boleh belajar Feqah, Tauhid, tafsir dengan tok-tok guru, siang boleh belajar mengaji Al-Quran. Kalau duduk di hulu, boleh dengar kera dengan monyet je la". 

"Dulu pakcik pun duduk bandar juga (Kampung tempat kami belajar), masa tu, isteri bekerja di bandar, lepas tu kami pindah duduk Kuala Berang, Isteri pakcik pun meninggal di Kuala Berang". 

"Nama pakcik apa?".

 "Wahab, tapi orang kampung biasa panggil Cikgu sebab dulu-dulu pakcik mengajar budak-budak". 

Perbualan terhenti, pakcik menaiki kerata untuk ke stesen kereta sewa. Selepas ketika tu, aku catat setiap patah perbualan untuk dijadikan peringatan untuk diri.

Kegagahan dan kecerdasan usia muda tidak akan mampu untuk diulangi lagi walau air mata darah sekalipun yang menjadi tukaran, akan tetapi jika kepemudaan itu dimanfaatkan pastinya diusia tua kelak ada tunas yang akan mengeluarkan buah.

Abu Abdul Rahman.
04022013. 
Sweileh, Amman. 

Wednesday, 5 December 2012

Pantun 'Subuh' Oleh Presiden PPMA.


Gambar Hiasan.
Kalau Tuan pergi ke Kedah,
Singgah semalam di Kuala Muda,
Sembahyang itu perintah Allah,
Jika ingkar masuk neraka.

Redup bulan tanda nak hujan,
Pasang pelita sampai berjelaga,
Hidup mati di tangan Tuhan,
Tiada siapa dapat menduga.

Daun tetap di atas dulang,
Anak udang mati dituba,
Dalam kitab ada terlarang,
Benda haram jangan dicuba.

Terang bulan terang bercahaya,
Terang lagi cahaya mentari,
Jikalau hendak hidup bahagia,
Beramal ibadat sebelum mati.

Pantun sebelum tidur, selamat malam PPMA.

Arif Amin Bin Rushihi.
Sweileh, Amman.

Tuesday, 16 October 2012

Kasihkan Kawan.


"Kau jangan ikut perangai aku,aku ni ahli neraka".Ringan keluar dari mulut si Joe.

"Eh,kau dapat wahyu ke semalam?".Tanya si Papai.

"Wahyu apa pulak kau ni?".Joe kebingungan.

"Wahyu la,yang kau tahu kau masuk neraka tu!".Jawab si Papai.

Joe tidak puas hati.
"Ye la.kau tak tengok ke,aku ni siang hari pukul orang situ,pukul orang sini,malam-malam aku mabuk,bawa perempuan kesana ke mari".

"Ops-ops,rileks bro,pasal Syurga neraka ni kuasa Allah s.w.t,kau patut bersyukur sebab kau sedar silap-salah kau selama ni".Papai cuba mengawal emosi Joe.

"Allah s.w.t. tak pernah meninggalkan hamba-Nya,bila kita terlanjur buat salah cepat-cepat bertaubat,Allah s.w.t. tak pernah menzalimi hamba-Nya melainkan hamba-Nya yang menzalimi diri mereka sendiri".papai menyambung bicara.




"Kau mudah la bercakap,yang menanggung aku,bukan kau,acap kali dah aku menyesal dengan perbuatan aku selama ni,tapi bila sampai masa aku ulang balik perangai-perangai lama".Joe memberontak.

"Aku dah malas la nak jadi baik,tak ada yang sokong pun aku bila aku nak berubah,tapi kena herdik dengan kawan-kawan ada la".joe meluahkan rasa tidak puas hati.

Papai dari tadi menjadi pendengar yang setia.
"Biasa la joe,bila kita buat baik mesti ada punya yang tak puas hati,benda baik ni memang tak selari dengan hawa nafsu kita,aku pun bukan baik sangat,mesti adanya salah-silap aku kat mana-mana,sebab kena bertaubat bro".

"Tapi aku tetap bengang la,sampai bila benda ni nak berlaku kat diri aku,biar la aku tetap jadi macam yang aku jadi sekarang,tak perlu susah aku nak pergi jumpa Ustaz-ustaz".Joe tetap lagi berkeras dengan pendiriannya yang salah.

"Aik,buat apa pulak kau nak kena pergi jumpa ustaz.bukannya ustaz yang tentukan taubat kau diterima atau tidak.yang penting kau sendiri yang sedar dan berubah.mudah je la".papai sedar yang kawannya itu tersepit dalam birokrasi para agamawan.

"Kau ni dah jadi macam ustaz apa hal papai?,kau tahu sebelum ni bila aku nak berubah,semua orang suruh aku pergi jumpa ustaz jumpa syeikh.aku tertekan,kalau setakat jumpa tak apa la,tapi macam-macam syarat pulak yang mereka letak bila aku nak berubah".Joe meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama ini.

"Ooo,rupanya tu yang menjadi masalah kau sekarang.takpe lah joe,yang lalu biarlah berlalu,lepas ni kau tak payah dah nak susahkan diri kau nak pergi jumpa ustaz-ustaz bila kau nak berubah,yang penting kau Ikhlas,kau sedar salah kau selama ni,pastu kau dah tak ulang lagi salah-silap kau sebelum ni".papai tenang menasihati kawannya itu.

"Dah la papai,dari tadi aku dengar kau berceramah,dah naik pening kepala aku,aku bla dulu la".Joe pergi meninggalkan papai sendirian di tempat kebiasaan mereka lepak.
***
Papai bermonolog sendirian.
"Rupa-rupanya selama ini yang jadi masalah orang nak berubah adalah para agamawan,sampai bila la benda ni nak berlarutan". 

Bersambung.

http://drmaza.com/home/?p=1301

Monday, 25 June 2012

Semoga Allah Merahmatimu.


Saat masyarakat diluar sana bergembira dengan kemenangan Dr Mursi di Mesir,ada yang bergembira kerana kemenangan Jema'ah Islam di Mesir dan banyak lagi kegembiraan dalam beberapa ketika yang hampir ini.

Tiada kegembiraan yang kekal melainkan kegembiraan akan kekal di akhirat bagi yang ahli-Nya.menerima berita pemergiaan seorang "senior" dalam bahang panas perjuang,beliau pergi saat mana teman-teman amat memerlukannya,dia bukanlah seorang pimpinan di peringkat pusat,bukan juga pimpinan diperingkat negeri,dan bukan juga pimpinan diperingkat kawasan.tetapi sumbangannya tidak mampu untuk dibilang.

Dalam perjuang,ada yang bekerja diperingkat pimpinan,siang malamnya diekori oleh mata-mata manusia,sehinggakan kadang-kadang tiada masa untuk berehat,namun disana juga masih ramai yang berjuang tanpa pangkat,tanpa mengharapkan belas kasihan,tanpa mengharapakan pujian atau pandang manusia,apa yang mereka ada adalah berjuang menegakkan agama allah s.w.t.,ikhlas semata-mata kerana-Nya.

Murabitun.

Mungkin diluar sana ramai tokoh-tokoh murabitun yang disanjung oleh masyarakat kerana sumbangannya kepada perjuang agama allah s.w.t. terlalu besar,sehinggakan ada yang mengambil ikon murabitun tertentu untuk dijadikan Role-Model,namun secara jujur,"Senior"ku ini adalah salah satu watak yang memenangkan perjuang Islam terutama di daerah tinggalanku.

Istiqamah beliau dalam perjuangan tidak mengenal erti penat dan lelah,tidak pernah kenal erti putus asa,sentiasa sahaja mahu belajar sesuatu yang baru,tidak peduli cemuhan orang kepadanya.Subhanallah..



Peringatan Untuk Kita.

Hari ini,ramai yang mudah meluncurkan kata,mendabik dada,berbangga bagai tiada yang lebih hebat daripadanya,mengaku bahawa "Aku Pejuang Agama Allah".

Bukanlah menjadi kesilapan untuk kita menunjukkan keIzzahan bahawa Islam sentiasa ada yang memperjuangkan,tetapi jangan dilupakan,muhasabah diri kita bersama,setiap patah kata yang keluar dari mulut kita akan ada yang menuntutnya,semoga allah s.w.t. menetapkan hati-hati kita diatas agama-Nya dan menetapkan hati kita diatas ketaatan kepada-Nya.

Aku Belajar Ukhuwah.

Satu kisah yang menyayat hati,"senior"ku ini terpaksa mengharungi saat getir sebelum pergi menghadap Ilahi,beliau terpaksa menerima hakikat lebih kurang satahun,bertarung dengan Stroke.

Allah s.w.t. tidak pernah meninggalkan hamba-Nya bersendirian,saat getir ini tidak dihadapi oleh beliau dan keluarga secara bersendirian,tetapi dek kerana Tarbiyah yang diterima,sahabat-sahabatnya turut bersama,bantuan dihulurkan bukan semata wang dan doa,bahkan tenaga turut disumbangkan.

Al-Fatihah Buat Al-Murabitun Akhuna Fil Islam Mohd Zaki Yahya a.ka. Amri, bekas petugas sepenuh masa PAS Kawasan Kuala Terengganu.

Semoga allah s.w.t. menempatkanmu dalam kalangan para solihin dan muttaqin.

Monday, 21 May 2012

Facebook & Adab Kita Bersama Hadith Nabi Muhammad S.A.W.

Kecintaan muda-mudi hari kepada Ilmu adalah suatu yang dipuji,setiap detik ada sahaja yang ingin dikongsikan bersama rakan-rakan samaada di alam nyata mahupun di alam maya.

Perkongsian juga adalah suatu yang  dipuji sebagaimana Hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:- 

"Barang siapa yang menunjukkan kearah kebaikan maka baginya pahala seperti orang yang melakukannya"  ~Riwayat Muslim (1893),Abi Daud (5129) & Tirmizi (2671)~  

Peringatan Untuk Kita. 

Namun ada suatu gejala yang perlu kita semua berikan perhatian yang besar.gejala berkongsikan Hadith Rasulullah S.A.W..

Bukanlah menafikan kebaikan yang ada pada perkongsian Hadith-Hadith Rasulullah S.A.W kerana apabila ada yang melarang perbuatan berkongsi Hadith-Hadith Rasulullah S.A.W. maka ia bertentangan dengan Sepotong Hadith Nabi S.A.W. yang bermaksud:- 

"Sampaikan Daripadaku Walaupun Satu Ayat"~Riwayat Bukhari (3641) & Tirmizi (2669)~

Agama tidak tertegak dengan satu atau dua hadith semata-mata,tetapi ianya lengkap apabila Hadith-Hadith Nabi Muhammad S.A.W. itu dihimpun dan berperanan sebagai Tafsiran (Mufassir),Pengkhususan(Takhsis),Pengikat (Muqayyad) dan Penegasan(Muakkad) kepada 
Al-Quran yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Oleh itu,Satu hadith yang mana diriwayatkan secara Mutawatir (Bilangan Perawi Yang Ramai),memberi peringatan kepada kita dalam berta'amul (Bergaul) dengan Hadith-Hadith Nabi S.A.W.,Hadith ini diriwayatkan oleh 70 orang sahabat dengan Teks(Nas) Hadith yang sama,Maksud Hadith Tersebut adalah:- 

"Barang siapa yang menipu keatasku secara sengaja,maka dia telah menempah tempat di Neraka"~Riwayat Bukhari (1291),Muslim (3),Abi Daud (3651),Tirmizi (2659) & Ibnu Majah (30)~ 


Copy Paste 

Budaya ini amat berleluasa didalam Laman Sosial "Facebook",seperti yang dikatakan diatas,budaya ini amatlah baik dan disokong kerana ianya membawa kepada suasana nasihat-menasihati,ingat-memperingat dan tegur-menegur sebagaimana Hadith Nabi S.A.W yang bermaksud:- 

"Agama Itu Nasihat"~Riwayat Muslim (55),Abi Daud (4944),Tirmizi (1296) & Nasaie (4197)~ 

Tetapi ayat Al-Quran yang menjadi pedoman hidup kita juga mengingatkan kepada kita apabila menerima sesuatu berita,maka hendaklah terlebih dahulu disiasat latar belakang berita tersebut sebelum diterima secara bulat-bulat.

Firman allah s.w.t. yang bermaksud:- 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".~Surah Al-Hujurat:6~ 

Ayat ini juga menjadi kaedah umum di dalam bidang Ulum Hadis (Science Of Hadith). Bukan sekadar itu,Al-Quran juga memberi suatu peringatan yang menggerunkan hati orang-orang yang beriman dalam Firman-Nya yang bermaksud:- 

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu,dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya;dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya".~Surah An-Nur:15~ 

Pastikan terlebih dahulu sumber hadith-hadith yang dibaca atau yang ingin dikongsikan,janganlah kita mengambil ringan dengan Khazanah tinggalah rasulullah S.A.W. yang menjadi tali keselamatan bagi kita untuk hidup didunia dan akhirat.  

"Dan telah aku tinggalkan kepada kamu apa yang tidak akan sesat selepasnya jika kamu berpegang  dengannya,kitab allah,dan kamu akan ditanya tentang aku,maka apa yang kamu akan katakan?>sahabat-sahabat menjawab:kami bersaksi bahawa sesungguhnya engkau telah menyampaikan,engkau telah menunaikan dan engkau telah menasihatkan".~Riwayat Muslim (1218)~ 

Wallahu'alam. 

Abdul Hakim Bin Othman
Bayt Solah Al-Khalidi
22 Mei 2012/1 Rejab 1433.


Monday, 19 December 2011

Ukhuwwah



اللهم صل على سيدنا محمد و على آله وصحبه اجمعين.

"Aku mencintai-Mu kerana allah".

Perkataan yang mudah meniti dibibir setiap daripada kita,bukan susah untuk kita melafazkan kata-kata ukhuwwah fillah dan sebagainya sebagai menepati firman allah s.w.t. dalam surah al-hujurat:10,akan tetapi sejauh mana bukti ukhuwwah kita kerana allah s.w.t..

Adakah bukti kita berukhwwah kerana allah s.w.t. dengan sentiasa bertemu saudara kita setiap hari,atau membelanja saudara kita makan,minum di tempat-tempat yang mahal,atau menghadiahkan saudara kita dengan kebendaan yang berjenama dan sebagainya yang bersifat luaran semata-mata dan materialistik.

Tidak salah semua itu,mungkin ianya salah satu cara untuk kita membuktikan ukhuwwah kita kepada saudara kita.

Akan tetapi,perlu kita ingat,

Jika semua inilah yang dinamakan Ukhuwwah kerana allah s.w.t.,makanya orang barat lebih ber"ukhuwwah" berbanding kita orang islam  yang tidak lekang dari bibir menyebut perkataan ukhuwwah islamiyyah,kerana apa berani dikatakan sebegitu rupa,orang barat apabila meraikan seseorang saudara,mereka akan mengadakan satu pesta besar-besaran,menghadiahkan sesuatu yang amat berharga daripada benda yang berjenama dan sebagainya.

Semua ini dilihat indah pada pandangan kasar manusia,seolah-olah teramat eratnya "ukhuwwah" antara masyarakat barat,tanpa kita sedari bahawa kita hari ini  juga seolah-olah mengikut jejak langkah mereka dalam ber"ukhuwwah".

Muhasabah Kita bersama.

Rujukan utama hidup seorang mu'min itu adalah Al-Quran & sunnah nabi s.a.w.,setiap detik hidup kita dituntut untuk selari dengan 2 panduan utam hidup kita ini,dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara.

Ukhuwwah bukanlah perkara yang remeh bagi kita selaku ummat islam yang beriman dengan kitab allah s.w.t.,manakan tidak dikatakan sebegitu rupa,apabila tiba baginda Muhammad s.a.w. dikota Madinah Al-Munawwarah,perkara utama yang dilakukan oleh baginda s.a.w. adalah membina masjid,pasar dan menghubungkan silaturrahim antara Muhajirin & Ansar.

Cuba kita fikirkan,mengapakah baginda s.a.w. membina masjid & pasar pada permulaan ketibaan baginda s.a.w. di kota Yathrib?adakah baginda tidak memerlukan sebuah persinggahan untuk diri baginda s.a.w. sendiri,atau sebuah tempat untuk urusan seharian baginda?.semua persoalan ini boleh dijawab sendiri oleh kita dengan mengkaji sirah rasulullah s.a.w..

Tujuan asal baginda s.a.w. membina 2 institusi penting ini adalah kerana melihat isu perhubungan manusia adalah perkara utama dalam kehidupan sesebuah masyarakat.

Kembali kepada tajuk asal perkongsian ini,didalam al-quran,allah s.w.t. berfirman berkaitan isu Ukhuwwah ini didalam surah al-hujurat:10-13,nama lain bagi surah ini adalah  surah al-adab kerana ayat-ayat didalam surah ini menceritakan begitu banyak persoalan adab samaada,adab antara makhluk dengan khaliknya,ummat dengan nabinya,dan hubungan kemasyarakatan antara manusia.

Ayat 10-13 menceritakan sebegitu besar nilai ukhuwwah islamiyyah bahkan ulama' tafsir(tafsir al-qurtubi) dalam menafsirkan ayat yang ke-sepuluh berkata"sesungguhnya persaudaraan diatas dasar agama lebih kukuh berbanding dengan ikatan persaudaraan yang disandarkan kepada keturunan kerana persaudaraan atas dasar keturunan akan terputus dengan perbezaan agama".

Ayat keseterusnya allah s.w.t. menceritakan adab-adab dalam berukhuwwah antara sesama orang mu'min,antara adab-adab yang disebut,1)janganlah kita mencemuh saudara kita,2)menggelar dengan gelaran yang dibenci,3)bersangka buruk,4)mengintip kesalahan dan ke'aiban serta 5)mengumpat saudara-saudara kita.

Namun fenomena hari ini berbeza dengan apa yang terkandung dalam panduan kehidupan kita,tersasar jauh dengan apa yang diajar oleh baginda s.a.w. kepada kita,ukhuwwah yang kita jalinkan hari ini lebih kepada "menjaga hati" berbanding kepada menjaga agama.

Bukan cuba menafikan bahawa "menjaga hati" itu adalah salah satu item dalam membina ukhuwaah yang mantap,akan tetapi apa yang lebih besar adalah kita menjaga agama saudara kita daripada unsur-unsur keruntuhan beragama.

Dek kerana mengutamakan hati berbanding agama,kita sama-sekali tidak berani untuk memperbetulkan kemungkaran yang dilakukan oleh saudara kita,kita lebih suka untuk meraikan saudara dengan keraian kebendaan berbanding meraikan saudara kita dengan mutiara-mutiara nasihat yang diajar oleh islam,sekali lagi tidak cuba untuk mengetepikan naluri kemanusiaan.

Bila timbulnya kemungkaran dan kesalahan pada saudara kita,pendirian yang diambil oleh kita adalah,terus bersangka buruk,mencemuh,menghina.mengumpat dan sebagainya,bukankah islam mengajarkan kepada supaya mengambil jalan untuk sentiasa tegur-menegur antara satu sama lain.

Kesimpulan yang yang diambil oleh kita adalah,mengkaji bagaimana islam mengajar kita dalam menjalani kehidupan persaudaraan,bukannya kita mengambil jalan selain daripada islam dalam menghubungkan persaudaraan kita kerana dibimbangi persaudaraan yang kita jalinkan atas dasar "akal dan nafsu" tidak tergolong dalam golongan yang disebut didalam hadis rasulullah s.a.w.:


"ada tujuh golongan yang mendapat naungan dalam naungan-Nya pada hari kiamat,di hari ketika tiada naungan melainkan naungan-Nya,iaitu:
1)Imam yang 'adil,
2)pemuda yang tumbuh dalam beribadah kepada allah,
3)lelaki yang sentiasa mengingati allah ketika bersendirian sehingga berlinangan air mata,
4)lelaki yang sentiasa hatinya terikat dengan masjid,
5)dua orang yang saling mencintai kerana allah,
6)lelaki yang diajak oleh wanita bangsawan dan rupawan lalu dia berkata:"sesungguhnya aku takutkan allah",
7)serta seorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehinggakan tangan kiri tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanan".-Al-Bukhari.

Semoga Ukhuwwah yang kita jalinkan selama ini adalah benar-benar atas dasar cinta kerana allah s.w.t.,bukan kerana,benda,harta,nafsu atau hati semata-mata,akan tetapi agamalah yang lebih utama.wallahu'alam.

Re-Post.
Abdul Hakim Othman
Bayt Farid,Amman,Jordan
19/12/2011