Showing posts with label Persatuan.. Show all posts
Showing posts with label Persatuan.. Show all posts

Saturday, 29 March 2014

Cita-cita Besar daripada Insan Kerdil.

Selayaknya hanya kepada Allah dicurahkan segala pergantungan dan pengharapan.

Kali kedua diberi amanah duduk bersama kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan(MPMMJ). Tiada beza antara aku teman-teman melainkan aku dibebankan dengan satu jawatan yang bakal dipertanggungkan dihadapan Rabbul Izzah di padang mahsyar.

Tiada banyak yang aku mampu sampaikan, melainkan sedikit harapan. Kurang 9 bulan daripada tarikh aku dibebankan dengan satu amanah, MPMMJ bakal menyambut ulangtahun penubuhan yang ke 15 tahun. Sudah pasti banyak pengalaman yang telah MPMMJ corakkan dalam kalangan warga mahasiswa Malaysia di Jordan.

Asas yang aku letakkan. [Aali-Imran:104]

Bukanlah satu keputusan yang mudah aku ambil untuk cuba bersama-sama menyumbang dalam MPMMJ, berhari-hari bertanya kepada isteri yang baru sahaja disahkan hamil adakah benar keputusan ini. Berat! tapi satu hal aku bisikkan pada isteri tercinta.

“Ni peluang abang nak menyumbang, lapangan abang untuk berdakwah, abang takde kelebihan lain untuk memberi sedikit sumbangan pada orang.”

Tetapkan hati, dengan sokongan isteri, ibu bapa dan teman-teman, aku memilih jalan ini.
Jalan untuk aku laksanakan sedikit sumbangan pada jalan dakwah.

Nasib berubah dipermulaan perjalanan.

Tidak pernah terdetik untuk dilantik sebagai orang tertinggi dalam sesebuah perkumpulan, yang ada hanyalah menjadi seorang yang boleh menyumbang kepada teman-teman.
Tapi semuanya berubah. Yang dirancang berubah mengikut perancangan Ilahi. Semoga inilah jalan aku.


MPMMJ; Komuniti impian kita.

Tidaklah selayaknya untuk aku mencoret semua ini, tetapi, sebagai harapan besar daripada insan yang kerdil aku coretkan serba sedikit untuk menjadi panduan aku melunaskan tanggungjawab yang dibebankan.

Sebagai permulaan, apa yang aku suka untuk lihat dalam keluarga besar MPMMJ adalah suasana toleransi dan keterbukaan dalam meraikan kepelbagaian. Tidak mampu lagi untuk dinafikan kepelbagaian yang wujud, apalagi menyekat dan menghalang kepelbagaian yang ada.

Berkurun-kurun ummat Islam ditanamkan nilai bahawa “Kepelbagaian itu rahmat.”. Rahmat kepelbagaian dalam saling lengkap-melengkapi, rahmat kepelbagaian dalam saling bantu-membantu dan tolong-menolong, rahmat kepelbagaian dalam bekerjasama menjayakan.

Al-Quran menyatakan dengan jelas kepelbagaian yang ada dalam kalangan manusia itu adalah suatu ujian dalam menentukan kemuliaan;

“Dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).” (al-Hujurat:13)

Yang dimaksudkan dengan “berkenal-kenalan” (Le-Taarafu) didalam ayat tersebut adalah saling bergaul dalam kalangan kamu dalam keadaan Ma’ruf, saling membantu dalam kebajikan dan perkara yang membawa kemaslahatan bersama samaada sesame saudara-saudara yang terdekat mahupun yang berjauhan. Dan bekerjasama dalam menentang perkara-perkara dosa dan permusuhan walaupun permusuhan itu datang daripada orang yang paling hampir mahupun orang yang paling dicintai. (Dr Salman Audah, Wala Yazaluna Mukhtalifin).

Komuniti yang kita impikan komuniti yang prihatin dan cakna suasana sekeliling kita. Komuniti yang hidup budaya nasihat-menasihati, tegur-menegur antara satu sama lain.

Warga MPMMJ; Harapan baru untuk Malaysia.

Mungkin titik ini sedikit menerawang, tetapi itulah cita-cita besar. Cita-cita ingin melihat mahasiswa Malaysia di Jordan suatu hari menjadi peneraju utama perubahan yang dicita-citakan seluruh warganegara Malaysia. Perubahan lanskap Ekonomi, Politik mahupun sosial, itu semua menjadi citra utama mahasiswa Malaysia di Jordan untuk melihat Malaysia sebuah Negara yang maju daripada pelbagai sudut.

Mahasiswa Malaysia di Jordan sebagai perintis kepada lanskap politik Negara yang selama ini dalam suasana tegang dan menyesakkan kepada lanskap politik harmoni, hormat-menghormati dan kerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertoleransi dalam perkara yang berbeza pandangan padanya.

Dimana harus kita bermula?!.
Aku sendiri tidak tahu bagaimana harus untuk aku bermula. Mengikut sedikit apa yang pelajari, Ilmu adalah asas kepada pembangunan sesebuah bangsa. Pembudayaan ilmu yang sihat dalam kalangan warga mahasiswa adalah menjadi tiang asas pembangunan komuniti yang dicita-citakan. Pembudayaan ilmu bukan sekadar hidup di kelas-kelas kuliyah, yang lebih penting, pembudayaan ilmu juga hidup dalam kelas-kelas talaqqi bersama para guru di masjid-masjid, perbincangan ilmiah dalam kalangan warga mahasiswa dan pelbagai lagi medan pembudayaan ilmu yang boleh terus untuk dihidupkan.

Cita-cita besar ini juga akan tempang jika elemen pembangunan diri seorang muslim terabai, solat berjemaah, usrah, riadhah dan kuliyah-kuliyah yang berbentuk tazkiah nafs juga menjadi asas utama untuk kita semua bermula.

Penutup.

Besarlah cita-cita yang cuba digapai, besar jugalah bayaran pengorbanan yang perlu dibayar. Perubahan tidak pernah hadir secara kebetulan melainkan ia hadir dengan satu perancangan yang digembeleng bersama untuk mencapainya.


Hari ini, aku masih lagi memujuk diri, terimalah hakikat bahawa diri dibeban dengan amanah yang akan disoal Rabbul Izzah di akhirat nanti.

Akhukum Fillah,
Abdul Hakim Othman.
29 Mac 2014.
Irbid, Jordan.

Tuesday, 13 November 2012

Access of Islamic Thought.


Keutuhan dan keteguhan aqidah seseorang muslim akan melahirkan individu yang faham matlamat kewujudannya di atas muka bumi ini. 

Dengan keteguhan aqidah, seseorang muslim akan berjaya untuk membina sebuah rumahtangga, masyarakat dan negara yang maju dari pelbagai aspek samaada Material dan Spiritual.

Bagaimana mungkin seseorang yang mempercayai adanya Raqib dan Atid yang sentiasa mencatat amalan mereka berani melakukan larangan Allah s.w.t. kepada mereka.

Bagaimana mungkin seseorang yang mempercayai adanya pembalasan di hari kiamat kelak berani untuk pecah amanah, sambil lewa dalam kerja, rasuah dan sebagainya.

Tapi!

Sayangnya.

Pelbagai aliran pemikiran baru yang meresap masuk kedalam Aqidah Islamiyyah yang mulia, bermula dengan firaq yang pelbagai dan tidak ketinggalan Isme-isme baru yang lahir asalnya daripada logik akal manusia.

Oleh itu!

Sebagai mereka yang beriman dengan Allah s.w.t. dan Hari akhirat, Wajib keatas kita untuk memperjuangkan dan mempertahankan Aqidah Islamiyyah.

Kefahaman yang jitu diperlukan.

Excess Islamic of Thought.

Jom Sama-sama meriahkan Akses Pemikiran Islam (API).

Kupasan menarik menanti kita semua.

1. The Islamic Creed
    Ustazah Husna Binti Husain (PHD Tafsir, Universiti Jordan)

2. Diversity in Islamic School of Thought
    Ustaz Farid Ravi Bin Abdullah (PHD Tafsir, Uni. Jordan)

3. Threats in Muslim's Mind
    Saudara Arif Amin Bin Rushihi (Naib Pres. IV MPMMJ)

4. Cinema Break !
    Saudara Mursyid Al-Amien Bin Kayati (Timb. Presiden PPMA)


Jom Meriahkan!

"Mahasiswa Pemangkin Ummah"
"Membangun Komuniti Muslim Kelas Pertama"


"Membangun Jiwa Khalifah".

Abdul Hakim Othman,
Sweileh, Amman,
13/11/2012.  

Friday, 11 May 2012

Untuk Yang Memimpin dan Yang Dipimpin.


Kepimpinan bukanlah suatu anugerah untuk dibanggakan tetapi ia adalah sebuah amanah yang perlu dipikul dengan sepenuh daya dan upaya,kita tidak meminta untuk mendapatkan jawatan sebagai pemimpin,namun kita telah terpilih makannya segala amanah kita pikul kerana ianya bakal dipersoalkan di akhirat kelak.Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. dalam pidato pertamanya ketika dilantik menjadi Khalifah menggantikan Nabi Muhammad S.A.W.  menyebut:-

Wahai sekalian manusia, kalian telah sepakat memilihku sebagai khalifah untuk memimpinmu.Aku ini bukanlah yang terbaik diantara kamu, maka bila aku berlaku baik dalam melaksanakan tugasku, bantulah aku, tetapi bila aku bertindak salah, betulkanlah. Berlaku jujur adalah amanah,berlaku bohong adalah khianat. Siapa saja yang lemah diantaramu akan kuat bagiku sampai aku dapat mengembalikan hak-haknya, insya Allah. Siapa saja yang kuat diantaramu akan lemah berhadapan denganku sampai aku kembalikan hak orang lain yang dipegangnya, insya Allah.Taatlah kepadaku selama aku taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apabila aku tidak taat lagikepada Allah dan Rasul-Nya, maka tidak ada kewajibanmu untuk taat kepadaku.

Kesimpulan daripada kata-kata ini,pemimpin perlulah seorang yang tinggi nilai akhlaknya,pemimpin itu akhlaknya tidak mudah marah,tidak panas baran,tenang dengan kritikan,berlapang dada ketika berlaku perselisihan,dan segala akhlak yang mulia,pemimpin yang berakhlak mulia lebih disayangi orang dibawahnya walaupun miskin dan papa berbanding pemimpin yang kaya namun tidak berakhlak.


Secara ringkas,pemimpin perlu memiliki sekurang-kurangnya memiliki 8 sifat terpuji bagi menjadi contoh kepada orang dibawhnya.

1.Tawadhu' :Pemimpin perlu memiliki hati yang sentiasa merendah diri,tidak sombong,berlapang dada,mendahulukan orang lain,tidak bangga dan besar diri.

2.Menjalinkan kerjasama:Pemimpin perlulah menjaga hubungan silaturrahim antara pemimpin dan ahli dengan mengetepikan rasa berjawatan ketika bergaul dengan orang bawahan.

3.Mengharapkan Kritikan dan Saranan:perkara ini penting dalam sesebuah kepimpinan kerana setiap manusia tidak pernah terlepas daripada kesalahan dan kesilapan,bukanlah sifat terpuji bagi seorang pemimpin itu marah dan melenting apabila ditegur dan dinasihati serta dikritik.

4.Berkata dan Berbuat yang benar:Ketika melontarkan kata-kata,pemimpin perlulah memilih kata-kata yang sopan dan tidak menyinggung hati orang lain,pemimpin juga perlu untuk menjaga tingkah lagu,batas pergaulan kerana pemimpin itu contoh bukan peruntuh akhlak orang di bawahnya.

5.Memenuhi permintaan orang bawahan:"Pemimpin itu hamba kepada orang bawahan" ,oleh itu sedaya upaya pemimpin perlu berusaha untuk memenuhi permintaan orang bawahan dan menunaikan janji yang diberikan.

6.Menentang kezaliman:sebesar-besar akhlak pemimpin adalah membanteras kemungkaran dan kezaliman serta menegakkan kebenaran dan keadilan.

7.Sentiasa Taat kepada allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.:pemimpin perlulah sentiasa menepati dan menta'ati perintah allah dan rasul,dalam kata lain pemimpin perlulah berTaqwa.

8.Syukur,Sabar dan Tawakkal:dalam apa jua situasi sekalipun,Akhlak ISLAM perlu ditonjolkan agar menjadi contoh kepada semua.


Nasihat Untuk Yang Dipimpin.


Pemimpin yang ada pada hari ini bukanlah seorang Rasul yang mendapat wahyu terus daripada allah s.w.t.,mereka juga bukan seorang nabi yang bebas daripada segala kesalahan,mereka adalah manusia biasa seperti kita.


Pemimpin dikurniakan akal seperti kita untuk berfikir.kadang-kadang pemikiran mereka terpesong,maka perlu diperbaiki kepesongan itu bersama.mereka juga dikurniakan hati yang menjadi pusat naluri kemanusiaan.ada masanya manusia hebat kerana hati terlebih bekalan motivasi daripada Iman,terkadang manusia itu lemah kerana Imannya berkurang,makanya mereka memerlukan orang yang mengingatkan mereka disaat mereka lemah itu.


Sememangnya yang dipimpin berhak dalam melakukan kritikan,teguran,cadangan dan sebagainya terhadap pemimpin,akan tetapi perlu diingatkan,Islam adalah agama yang memandu manusia dalam apajua keadaan.
salah satu keadaannya adalah menegur kepimpinan.


Tegurlah pemimpin,berikan cadangan,tunjukkan sokongan.jangan kita hanya mampu untuk mengkondem mereka,jangan kita hanya mampu untuk mencaci,menghina,menuduh dan sebagainya.kerana cacian,makian dan tohmohan yang dilemparkan hanya menimbulkan lebih banyak kekeruhan bukanlah kejernihan.


Semoga allah,memberkati perjalanan kita semua.wallahu'alam.


Tulisan Ini adalah berdasarkan Situasi yang berlaku dalam Kalangan  Mahasiswa Jordan,berlainan dengan apa yang berlaku di Malaysia atau situasi di tempat lain.  


Catatan Ringkas.
Abdul Hakim Bin Othman.
Sakan Sakran Tobek Ardhi,Irbid.
12/Mei/2012.