Tuesday, 3 January 2012

Kita Dan Kedua IbuBapa.


Ibu dan bapa, dua insan yang tidak asing dalam kehidupan seorang anak.bermula daripada usia sehari dalam kandungan,memboyot perut ibu mengusung bayi dalam kandungan kesana kemari demi kasih dan sayang kepada bakal anak kurniaan allah s.w.t.,lain pula bagi  bapa,tiada kenal erti penat dan lelah,bermandi peluh,bergelumang dengan kepanasan dan rengetan manusia sekeliling untuk menyara keluarga tercinta.




Fitrah manusia itu mengasihi dan ingin dikasihi,begitulah roda hidup seorang anak,sentiasa berpusing mencari belaian kasih sayang daripada kedua ibu bapa,dalam masa yang sama berusaha mengasihi kedua ibubapa sepenuh jiwa.tidak hairanlah bila mana pelbagai kisah yang menceritakan perihal berjaya dan gagal seorang anak dek kerana kasih sayang dan bakti mereka terhadap ibu bapa,al-quran dan hadis rasulullah s.a.w. juga banyak membicarakan perihal kedua ibubapa.

Diantara ayat yang membicarakan mengenai perihal kedua ibubapa adalah ayat daripada surah al-isra':23-24.

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
 

Masih banyak ayat yang membicarakan tentang kedua ibubapa antaranya surah al-ankabut:8 dan surah luqman:14-15.

Kita mungkin terlupa dengan peringatan allah s.w.t. dan rasulullah s.a.w. berkaitan kedua ibubapa,kita lebih disibukkan dengan rakan-rakan disekeliling,disibukkan dengan cinta remaja,disibukkan juga dengan pekerjaan,kemewahan dan sebagainya.

Tiada salahnya untuk kita bergaul dengan sahabat-sahabat sebaya,kerana mereka juga sebahagian pusingan kehidupan kita,tidak juga salah kita disibukkan dengan pekerjaan dan kemawahan kerana itu sebahagian daripada keperluan dan keinginan kita dalam meneruskan kehidupan.

Tetapi apa yang berlaku kepada kita hari ini,pergaulan dalam persahabatan lebih dititik beratkan berbanding tanggungjawab kita terhadap ibu bapa,kita malahan rela membelakangi kedua ibu bapa kerana mengutamakan hati perasaan sahabat,sedangkan rasulullah s.a.w. meletakkan bahawa berlaku ihsan terhadap ibu bapa itu lebih tinggi berbanding jihad di jalan allah,

Daripada ibnu mas'ud r.a.:Aku bertanya kepada rasulullah s.a.w.,aku berkata:wahai rasulullah,apakah amalan yang paling afdal? rasulullah menjawab:<solat pada awal waktu>,aku berkata:kemudian apa?rasulullah menjawab:<kemudian berbakti kepada kedua ibu bapa>,aku berkata:kemudian apa? rasulullah menjawab:<berjihad di jalan allah>.jika aku terus bertanya,pasti baginda akan menambahnya.(riwayat bukhari)

Begitu besar darjat mentaati kedua ibubapa sebagaimana yang digambarkan dalam hadis diatas,malahan ada suatu riwayat di dalam Musannif Ibnu Abi Syaibah yang menyebut bahawa

"Berbakti kepada ibu bapa Sebahagian daripada Jihad".

Kita suka untuk menjaga hati sahabat dan rakan serta teman,tetapi kita lupa untuk menjaga hati kedua ibubapa kita,sedang persahabatan dengan sahabat tidaklah lebih daripada perkenalan di zaman persekolahan mahupun alam pekerjaan,tetapi kedua ibubapa pula,dua insan yang tidak tidur siang dan malam demi menjaga anaknya hatta daripada gigitan seekor nyamuk.

Manusia itu sifatnya pelupa,kita lupa segala jasa kedua ibubapa dan lebih suka menyanjung sekelumit jasa sahabat terhadap kita malahan diuar-uarkan jasa kecil itu berbanding mengenang jasa ibu bapa yang tidak mampu untuk dibalas dengan wang ringgit mahupun seisi dunia ini sekalipun tidak mampu menampung bentuk balasan kepada kedua ibubapa kita,yang mampu dilakukan kita berusaha dan terus berusaha untuk membahagiakan mereka semasa hayat mereka,mendoakan keampunan bagi meraka,mentaati mereka selagi mana arahan itu tidak bertentangan dengan syariat islam.

Ibu Bapa Atau Sahabat.

Bukan menafikan hak dan tanggungjawab kita dalam persahabatan,tetapi yang menjadi titik penting dalam perkongsian adalah hak dan tanggungajawab kita kepada kedua ibu bapa,mereka lebih layak dan selayaknya mendapat tempat pertama dalam kasih sayang dan cinta kita selepas allah s.w.t. dan rasulullah s.a.w..

Mungkin kita leka dan lupa untuk meluangkan sedikit masa untuk mengenang dan memikirkan jasa kedua ibu bapa kita,dari saat kita dilahirkan sehinggalah saat ini,saat yang mana kita kenal baik dan buruk,kecil dan besar,murah dan mahal dan sebagainya,mungkin saja kita boleh jadikan kenangan terhadap ibu bapa kita ini sebagai salah satu agenda diari hidup seharian kita.bukan untuk mengelamun semata-mata,apa yang lebih penting hasil daripada kenangan itu jika berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam kehidupan kedua ibubapa kita.

Bahagikanlah dengan sebaiknya kasih sayang dan tumpuan kecintaan kita,letakkanlah sesuatu sesuai pada tempatnya,jangan kerana tersilap membahagikan,ada yang terluka dengan kita.


Satu jiwa VS Dua jiwa

Jadikanlah diri kita sebagai salah satu penyebab untuk kedua ibu bapa kita mudah melangkah ke pintu syurga,jangan kerana kita ,ibu dan bapa kita terbabas ke neraka,fikirkanlah bersama,hidup adalah apa yang kita pilih.

Bagi yang masih mempunyai kedua ibubapa,sibukkanlah diri kita untuk berbakti kepadanya,seandainya dua insan mulia ini tidak mampu kita pelihara bagaimana pula halnya bila kita berangan-angan ingin membina rumah tangga yang bahagia dengan bakal isteri dan anak-anak.

Bermula saat inilah kita melatih diri untuk semua itu,bagi lelaki berbeza dengan perempuan,ingitlah duhai diri yang bergelar lelaki,tanggungjawab utama kita tetap kepada kedua ibu bapa walaupun setelah mendirikan rumah tangga,berbeza dengan perempuan,ingatlah diri yang bergelar perempuan,dirimu menjadi tanggungjawab penuh kepada kedua ibu saatmu belum lagi diijabkabulkan.

"Went you Give,You get Back"

Bagaimana kita memberi,maka begitulah yang akan diterima.

Sebagaimana wasiat nabi s.a.w. kepada abdullah bin abbas:

"Jagalah allah,Maka allah akan menjagamu".

Bila kita cuba untuk membayangkan masa tua kita,maka cubalah untuk perhatikan bagaimana kita terhadap kedua ibubapa kita,jika kita berusaha dan berjaya membahagiakan meraka,maka semoga itu jugalah kurniaan allah s.w.t. kepada kita.

Bagi yang telah ketiadaan kedua ibubapa,ingatlah saham kita tetap mengalir kepada mereka,tunaikanlah tanggungjawab kita kepada mereka.doakanlah mereka,hubungkanlah silaturrahim antara kita dengan sahabat-sahabat mereka, semoga kita tidak menyesal di akhirat sana.

Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedakah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya” .(Riwayat Muslim)

Cintailah allah s.w.t. dengan sepenuh jiwa kita,

Cintailah rasulullah s.a.w. dengan sepenuh jiwa kita,

Cintailah kedua ibubapa dengan sepenuh jiwa kita,

Cintailah kaum keluarga kita dengan sepenuh jiwa kita,

Cintailah sahabat-sahabat kita dengan sepenuh jiwa kita,

Cintailah kaum muslimin seluruhnya dengan sepenuh jiwa kita.

Semoga cinta kita ini menjadi tanda kita cinta pada diri kita.

Abdul Hakim Othman
09/Safar/1433
03/Januari/2012
Bayt Farid,Amman,Jordan  

No comments:

Post a Comment