Monday, 21 May 2012

Facebook & Adab Kita Bersama Hadith Nabi Muhammad S.A.W.

Kecintaan muda-mudi hari kepada Ilmu adalah suatu yang dipuji,setiap detik ada sahaja yang ingin dikongsikan bersama rakan-rakan samaada di alam nyata mahupun di alam maya.

Perkongsian juga adalah suatu yang  dipuji sebagaimana Hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:- 

"Barang siapa yang menunjukkan kearah kebaikan maka baginya pahala seperti orang yang melakukannya"  ~Riwayat Muslim (1893),Abi Daud (5129) & Tirmizi (2671)~  

Peringatan Untuk Kita. 

Namun ada suatu gejala yang perlu kita semua berikan perhatian yang besar.gejala berkongsikan Hadith Rasulullah S.A.W..

Bukanlah menafikan kebaikan yang ada pada perkongsian Hadith-Hadith Rasulullah S.A.W kerana apabila ada yang melarang perbuatan berkongsi Hadith-Hadith Rasulullah S.A.W. maka ia bertentangan dengan Sepotong Hadith Nabi S.A.W. yang bermaksud:- 

"Sampaikan Daripadaku Walaupun Satu Ayat"~Riwayat Bukhari (3641) & Tirmizi (2669)~

Agama tidak tertegak dengan satu atau dua hadith semata-mata,tetapi ianya lengkap apabila Hadith-Hadith Nabi Muhammad S.A.W. itu dihimpun dan berperanan sebagai Tafsiran (Mufassir),Pengkhususan(Takhsis),Pengikat (Muqayyad) dan Penegasan(Muakkad) kepada 
Al-Quran yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Oleh itu,Satu hadith yang mana diriwayatkan secara Mutawatir (Bilangan Perawi Yang Ramai),memberi peringatan kepada kita dalam berta'amul (Bergaul) dengan Hadith-Hadith Nabi S.A.W.,Hadith ini diriwayatkan oleh 70 orang sahabat dengan Teks(Nas) Hadith yang sama,Maksud Hadith Tersebut adalah:- 

"Barang siapa yang menipu keatasku secara sengaja,maka dia telah menempah tempat di Neraka"~Riwayat Bukhari (1291),Muslim (3),Abi Daud (3651),Tirmizi (2659) & Ibnu Majah (30)~ 


Copy Paste 

Budaya ini amat berleluasa didalam Laman Sosial "Facebook",seperti yang dikatakan diatas,budaya ini amatlah baik dan disokong kerana ianya membawa kepada suasana nasihat-menasihati,ingat-memperingat dan tegur-menegur sebagaimana Hadith Nabi S.A.W yang bermaksud:- 

"Agama Itu Nasihat"~Riwayat Muslim (55),Abi Daud (4944),Tirmizi (1296) & Nasaie (4197)~ 

Tetapi ayat Al-Quran yang menjadi pedoman hidup kita juga mengingatkan kepada kita apabila menerima sesuatu berita,maka hendaklah terlebih dahulu disiasat latar belakang berita tersebut sebelum diterima secara bulat-bulat.

Firman allah s.w.t. yang bermaksud:- 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".~Surah Al-Hujurat:6~ 

Ayat ini juga menjadi kaedah umum di dalam bidang Ulum Hadis (Science Of Hadith). Bukan sekadar itu,Al-Quran juga memberi suatu peringatan yang menggerunkan hati orang-orang yang beriman dalam Firman-Nya yang bermaksud:- 

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu,dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya;dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya".~Surah An-Nur:15~ 

Pastikan terlebih dahulu sumber hadith-hadith yang dibaca atau yang ingin dikongsikan,janganlah kita mengambil ringan dengan Khazanah tinggalah rasulullah S.A.W. yang menjadi tali keselamatan bagi kita untuk hidup didunia dan akhirat.  

"Dan telah aku tinggalkan kepada kamu apa yang tidak akan sesat selepasnya jika kamu berpegang  dengannya,kitab allah,dan kamu akan ditanya tentang aku,maka apa yang kamu akan katakan?>sahabat-sahabat menjawab:kami bersaksi bahawa sesungguhnya engkau telah menyampaikan,engkau telah menunaikan dan engkau telah menasihatkan".~Riwayat Muslim (1218)~ 

Wallahu'alam. 

Abdul Hakim Bin Othman
Bayt Solah Al-Khalidi
22 Mei 2012/1 Rejab 1433.


No comments:

Post a Comment