Sunday, 10 March 2013
Cerdikkan masyarakat!
Hari ini, ada segelintar manusia yang wujud dalam suasana Ilmiah tetapi kurang adil dalam melunaskan amanah. sudah berabad lama kuliah-kuliah Maghrib, Subuh, Dhuha, Isya' dan Kuliah Muslimat berjalan-dan terus berjalan di masjid-masjid seluruh Malaysia. bukan 1 atau 2 orang guru yang menjadi tenaga pengisi bahkan beratus dan beribu yang setia menjadi pengisi kuliah-kuliah agama di Masjid-masjid.
Tetapi, keadaan pendengar di masjid-masjid tetap sama, tiada pula seorang daripada pendengar kuliah yang disampaikan itu suatu masa boleh menggantikan pengisi-pengisi sebelumnya, seolah-olah tiada apa yang dipelajari. bahkan, bila ketiadaan para pengisi, masjid menjadi pasar walaupun waktu-waktu sebelumnya penuh dengan majlis ilmu.
Mana silapnya, silap pengisi atau silap pendengar. jika silap pengisi mana silapnya? adakah silap kerana pengisi mengambil sampul? ataupun niat pengisi yang datang semata-mata mengisi masa lapang ahli masjid tanpa melihat keprluan ahli masjid? ataupun pengisi kuliah hanya datang untuk berlawak jenaka semata-mata?
Jika silap pendengar, mana silapnya, adakah pendengar tidak cuba memahami apa yang disampaikan? ataupun pendengar hanya datang hanya semata-mata malu dengan jiran sebelah rumah? atau sememangnya pendengar tiada langsung usaha untuk memahami apa yang disampaikan.
Kesempatan pulang ke Malaysia bulan 1 baru-baru ini memberikan impak yang agak dalam, bila mana kesempatan menziarahi kuliah-kuliah maghrib di masjid, para penceramah hanya datang semata-mata untuk membicarakan perkara yang sama. jika tahun 1990, para penceramah sibuk dengan Arba'in Nawawi, 2013, penceramah tetap dengan silibus yang sama. Jika 1999, bidayatul hidayah menjadi rujukan, 2013, buku yang sama juga menjadi rujukan.
Bila ditanya mengapa tetap dengan Arba'in Nawawi dan Bidayatul Hidayah? jawapannya, bukan tidak mahu mengajar Sahih Muslim mahupun Sahih Bukhari, bukan tidak boleh mengajar Zaadul Ma'ad mahupun Majmu' Fatawa. tapi, kalau diajar kepada para jemaah, bimbang mereka tidak memahami isi kandungan kitab-kitab tersebut.
Begitu pesimis golongan agama kepada ahli masyarakat, seolah-olah para komuniti islam itu terlalu lampi untuk memahami ilmu.. bahkan jika ingin dijawab kepada para penceramah sebegini. Rasulullah s.a.w. membawa islam bukan kepada para cendikiawan mahupun Intelek, akan tetapi, yang menjadi para pengikut baginda Nabi S.a.w. adalah para hamba, namun sehingga hari ini ilmu mereka diwarisi oleh para ulama.
Sampai bila kerja-kerja pembodohan (Maaf jika terlalu kasar) yang berjalan selama ini harus berlaku, di masjid-masjid hanya berbicara berkaitan perkara yang sama, tidak pernah dicuba untuk melengkapkan masyarakat dengan ilmu usul secara ringkas untuk sama-sama mereka terokai ilmu bukan semata-mata bergantung harap kepada para ustaz dan ustazah semata-mata.
Golongan agama perlu sedar, hari ini, masyarakat telah laju ke hadapan. pemikiran masyarakat telah kreatif dan kritis. jika pengisian agama masih disampaikan dengan kaedah yang sama dan lama, mungkin suatu hari tiada lagi berminat dengan para ustaz dan ustazah, lalu mereka belajar dengan Inisiatif yang lain.
Cerdikkan masyarakat.
Jangan suatu masa, komuniti Islam mengikut jejak langkah penganut kristian, setiap permasalahan agama hanya rahib yang 'alim berkaitannya, masyarakat umum hidup terbongkang tiada pedoman.
Jika para pengisi mengiri bila masyarakat telah cerdik maka tiada sumber sampul, makanya para penceramah perlu sedar bahawa hadaf mereka yang mendalami ilmu agama bukan untuk mencari sumber pendapatan, tetapi tanggujawab dakwah-lah yang menjadi amanah yang diutamakan.
Hentikanlah usaha melembabkan masyarakat, ajar mereka untuk mereka juga mampu mengajar!
Abu Abdul Rahman.
Ahli Masjid Jami' Pengadang Baru.
11 Mac 2013.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment