Sunday, 18 May 2014

Kedudukan Hadith Nabawiyyah sebagai Hujah dalam Perubatan ||Bedah Buku||

1. Hadith Rasulullah s.a.w. adalah merupakan hujah utama di dalam syariat Islam selepas al-Quran. Ini jelas dalam hadith-hadith yang berkaitan Aqidah, Hukum halal dan haram serta perkara yang berkaitan ibadah dan muamalat.

2. Ulama berbeza pendapat dalam menyatakan adakah hadith-hadith Nabi s.a.w. yang menyebut tentang perkara berkaitan urusan keduniaan dijadikan hujjah dalam syariah atau sebaliknya?

Kedudukan Hadith Nabawiyyah sebagai hujjah didalam perubatan dan penjagaan kesihatan ;
Dr Muhammad Sulaiman al-Asyqar.

2.1 Pendapat pertama: Setiap hadith Nabi s.a.w. samaada Perbuatan, Perkataan mahupun Iqrar daripada Rasulullah s.a.w. dalam urusan dunia adalah merupakan hujjah di dalam syariat ini kerana Nabi s.a.w. adalah merupakan seorang yang maksum. Pendapat ini disokong oleh Ibn Subki, Al-Mahalli dan Al-Bunani.

2.2 Pendapat kedua: Hadith-hadith yang menyebut perkara berkaitan urusan dunia tidak dijadikan hujjah di dalam syariat kerana hadith-hadith ini berdasarkan kepada pengamatan dan pengalaman Nabi s.a.w. sebagai seorang manusia. Pendapat ini disokong oleh Syeikh Waliyullah ad-Dahlawi, Syeikh Abu Zuhrah dan Syeikh Abdul Wahab Khallaf.

2.3 Pendapat terpilih: Dr Muhammad Sulaiman al-Asyqar telah memilih (Merajihkan) pendapat kedua bersandarkan kepada hadith kacukan debungan kurma, hadith Hubab bin Munzir ketika peperangan badar dan beberapa hadith lain. Wallahu'alam.

3. Urusan keduniaan yang dimaksudkan adalah urusan yang berkait dengan kehidupan manusia seperti perubatan, pertanian, perniagaan, strategi peperangan, pengurusan pembangunan dan hal-hal lain yang tidak melibatkan urusan agama.

|Hadith-hadith berkaitan perubatan|

4. Penulis membahagikan hadith-hadith berkaitan perubatan kepada dua bahagia:

4.1 Bahagian pertama: Hadith-hadith perubatan yang dijadikan hujjah di dalam syariat. Hadith-hadith ini terdiri daripada hadith yang menyebut tentang kaedah umum dalam perubatan. Pecahan hadith bah. pertama ini adalah seperti berikut.

a) Hadith-hadith yang menyebut tentang hukum-hakam perubatan seperti apa yang diharuskan dan apa yang diharamkan. Hadith-hadith ini berlegar di sekitar hukum mukallaf; Wajib, Sunat, Harus, Haram, Makruh.

b) Hadith-hadith yang menyebut tentang piawaian syariat dalam urusan perubatan dan hal ehwal pesakit, sebagai contoh, hukum lelaki mendapat rawatan daripada perawat perempuan dan larangan menggunakan benda haram untuk mengubat pesakit.

c) Hadith-hadith larangan dalam perubatan seperti mengamalkan cara perubatan jahiliyah dan amalan-amalan perubatan yang menafikan kesahihan aqidah seperti mengamalkan ruqyah yang bertentangan dengan syariat Islam.

d) Hadith perubatan yang berkait dengan perkara ibadah seperti, Siwak, membaca surah "3 Qul" dengan kaifyyat tertentu dan ruqyah syar'iyyah.

e) Hadith yang terbina diatas ayat al-Quran sperti hadith yang menceritakan tentang kelebihan madu.

4.2 Bahagian Kedua: Hadith dalam bahagian ini tidak dijadikan hujjah didalam syariah kerana ianya berkait dengan urusan dunia yang melibatkan kepakaran dan pengalaman Nabi s.a.w. yang hidup dalam masyarakat arab. Antara hadith-hadith yang berkait dalam bahagian ini adalah Pengamalan Kurma, Habbatussauda'.

Kesimpulan.

Ibn Khaldun berpendapat bahawa perubatan adalah disebut di dalam Hadith-hadith Nabi s.a.w bukan bermaksud menjadi hujjah dalam syariat. Namun bukanlah menjadi suatu masalah untuk kita beramal dengan hadith-hadith (Yang Thabit daripada Rasulullah s.a.w.) tersebut.

Ibn Hajar al-Asqalani r.hm menyebut. "Beramal dengan setiap perkara yang ada didalam Sunnah (dengan niat) yang benar akan diberikan manfaat kepada mereka yang beramal, dan Allah s.w.t. akan menghalangnya daripada mendapat mudarat dengan niatnya (Yang benar), jika sebalinya, maka sebaliknyalah yang akan diterima."

Wallahu'alam.
Abdul Hakim Othman.
19 Mei 2014
Irbid, Jordan.


No comments:

Post a Comment