Wednesday, 28 May 2014

||Penuntut Pengajian Islam; Dunia perlukan Faqeeh, bukan semata-mata Faseeh||

Muhasabah sebagai penuntut ilmu dalam pengajian bidang agama, diberi kesempatan menelaah kitab kecil yang penuh manfaat yang dikarang oleh Fadhilatul Ustaz Dr. Muhammad Uthman Syibir. |Takwin Malakah al-Fiqhiyyah| )Membina Kepakaran dalam Feqah).

Secara ringkasnya, buku ini mendedahkan kepada para penuntut ilmu terutama  penuntut dalam bidang Fiqh dan Usul (Syari'ah) bagaimana proses pembinaan kepakaran dan pengusaan seorang penuntut ilmu kepada bidang Fiqh. Penulis mendedahkan apa kepentingan dan keperluan sebenar bagi seorang penuntut untuk menguasai kepakaran dalam bidang fiqh.


Takwin Malakah al-Fiqhiyyah: Dr Muhammad Uthman Syibir h.zh.

Membina Kepakaran dalam bidang Fiqh (Ringkasan buku)

1) Antara yang ditekankan adalah keperluan dunia semasa kepada pakar-pakar fiqh untuk membimbing masyarakat dan negara. Antara yang dinyatakan adalah peripenting pakar-pakar fiqh dalam membimbing bidang Perubatan (Sebagai Contoh: proses persenyawaan luar rahim, Ibu tumpangan), Politik (Contoh; Hubungan diplomatik antara negara), Ekonomi dan Sosial.

2) Penulis meletakkan beberapa item utama yang menjadi pemangkin utama dalam membina kepakaran ini, yang pertama dari sudut peribadi penuntut ilmu itu sendiri dalam Persediaan menuntut ilmu. Yang kedua adalah dari sudut pembinaan rohani penuntut ilmu, bagaimana hubungan penuntut ilmu dan Allah s.w.t. itu perlu dipelihara, amalan fardhu menjadi keutamaan dan amalan sunat sebagai teman setia dalam kehidupan serta sentiasa berusaha menjauhi maksiat dan yang terakhir adalah persediaan dari sudut akal, ketiga-tiga item ini adalah menjadi perkara utama sebelum seorang penuntut ilmu berjalan dalam mendalami ilmu.

3) Seterusnya, penulis membahaskan beberapa disiplin ilmu yang perlu dikuasai oleh  seorang penuntut ilmu yang berusaha menjadi seorang pakar dalam bidang fiqh. Ilmu tunjang yang perlu dikuasai oleh seorang penuntut ilmu yang berusaha menjadi seorang pakar fiqh adalah Ilmu tentang Al-Quran itu sendiri, samaada dari sudut Tafsir ayat-ayat hukum, bahasa dan balaghah. Disiplin seterusnya adalah Ilmu Hadith, mendalami perkara-perkara yang menjadi Ijma' para ulama', Usul Fiqh, Bahasa Arab, Maqasid Syari'ah, Cabang-cabang ilmu Fiqh (berlaku khilaf dalam kalangan Ulama), Qawaid Fiqhiyyah dan Ilmu Moden (Contoh:Ilmu perkomputeran, Bahasa inggeris dan Perlembagaan serta kemasyarakatan).

4) Penulis juga memberikan penekanan kepada Kaedah menuntut Ilmu dengan bertalaqqi bersama para guru. Penulis juga membawa beberapa pendapat Ulama' yang mengkritik para penuntut Ilmu yang belajar tanpa merujuk kepada guru dan bergantung semata-mata kepada buku. Antara perkara utama kenapa para penuntut ilmu digesa untuk menuntut Ilmu secara berguru adalah untuk mempelajari adab-adab dengan ilmu, melatih sifat sabar dan lemah lembut, tawadu', bersahabt dengan guru, berani berkata benar dan mendapat nasihat daripada para guru.

5) Yang terakhir, Penulis memberi peringatan kepada para penuntut ilmu untuk berhati-hati dan berjaga-jaga daripada sifat-sifat yang bisa membinasakan amalan para penuntut ilmu, antaranya Takabbur, 'Ujub, Hasad, Berasa cukup dengan apa yang dimiliki dan merendah-rendahkan orang lain.

Secara kesimpulannya, Penuntut Ilmu terutama penuntut dalam bidang pengajian Islam adalah dituntut untuk mencapai tahap pencapai yang tertinggi iaitu memiliki kepakaran dalam mengeluarkan hukum-hakam daripada Al-Quran dan sunnah, meng'Istinbat hukum-hakam dalam ruang kontemporeri. Bukan semata-mata menghafal fiqh-fiqh yang telah ditinggalkan okeh para ulama terdahulu. Wallahu'alam.

Manfaat waktu menuntut Ilmu.

Menjadi satu kerugian bagi kita yang diberi ruang untuk menuntut Ilmu tetapi disia-siakan dengan perkara yang tidak berfaedah dan langsung tidak membawa manfaat kepada proses menuntut Ilmu. Kita dilalaikan dengan hal-hal lain sehingga lupa untuk membahagikan masa untuk bertalaqqi dengan guru-guru yang Thiqah dan Mursyid. Kita disibukkan dengan hal-hal lain sehingga lupa untuk menyusun jadual bagi menelaah buku-buku diluar dewan kuliah.

Tanpa menafikan keperluan penuntut ilmu dalam menyertai aktiviti luar dewan kuliah seperti aktiviti berpesatuan, kemanusiaan dan kebajikan. Akan tetapi semua itu bukan menjadi halangan kepada para penuntut Ilmu untuk menguasai Ilmu dalam bidang masing-masing.

Penyertaan penuntut Ilmu(mahasiswa) dalam bidang politik pada hari tidak mampu dihalang lagi, pelbagai diskusi yang dijalankan, setiap disiplin ilmu hendak dibicarakan sehingga kadang-kadang kita terlupa untuk menguasai ilmu yang asas. Perkara ini tidak patut dipertikaikan, namun ianya memerlukan sedikit penambahbaikan bagi memantapkan lagi pengusaan kita sebagai penuntut Ilmu dengan bidang kita dan pengetahuan Umum.

"Tuntutlah Ilmu sebelum kamu (disibukkan dengan) dilantik menjadi pemimpin."

Yang kecil dan yang besar.

Istilah mengislahkan masyarakat sudah tidak asing lagi dengan diri penuntut ilmu (mahasiswa), isu-isu politik, kenegaraan dan sosial kemasyarakatan adalah menjadi tajuk utama perbualan penuntut ilmu. Akan tetapi, perbualan ini mungkin satu perkara yang kecil di antara perkara-perkara yang kecil.

Perubahan yang kita perlukan adalah perubahan dalam kerangka yang lebih besar, bukan hanya berlaku dalam kelompok yang kecil tetapi memberi kesan kepada kelompok yang lebih luas. Dan semua ini memerlukan bekalan Ilmu yang kuat dan mantap.

Sahabat yang dikagumi.

Secara peribadi, saya merakamkan pujian kepada seorang sahabat yang mana pada hari ini mula dikenali oleh masyarakat, minat beliau dalam disiplin Ilmu maqasid Syari'ah adalah suatu yang menakjubkan, minatnya itu membuahkan kegigihan untuk beliau bermusafir mencari guru-guru bagi mendalami disiplin Ilmu yang beliau tekuni. Beliau bukan semata-mata memiliki minat bahkan kesungguhan juga adalah suatu yang tidak asing baginya. Bukan semata-mata bergantung kepada rujukan-rujukan terjemahan bahasa melayu untuk mendalami Ilmu, akan tetapi buku-buku dalam bahasa arab dan Inggeris menjadi sahabat karib beliau dalam menuntut Ilmu.

Sikap sebeginilah yang mesti dicontohi oleh penuntut ilmu terutama yang mendalami bidang pengajian Islam. Kita bukan semata-mata meletakkan pencapaian kita untuk mendapat segulung ijazah semata-mata, akan tetapi yang lebih utama, kita berusaha mendalami Ilmu untuk menjadi pakar yang mengusai Ilmu dan menjadi tempat rujuk masyarakat.

Semoga Kita diberikan kekuatan dan kesungguhan oleh Allah s.w.t, dalam menuntut Ilmu dan menjadi golongan yang benar-benar mahir dan pakar dalam bidang yang kita dalami.

Wallahu'alam.
Abdul Hakim Othman.
Irbid, Jordan.
28 Mei 2014.

1 comment:

  1. salam, nk brtanya,
    bidang apa ya yg mnjadi tunjang dlm sume prkara yg mesti dikuasai oleh ummat islam?
    adakah bidang fiqh ?
    n mungkin ust boleh bg pndapat tntg step2 yg perlu dilalui utk capai n kuasai bidg tu.

    ReplyDelete